SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

09 Mei 2009

22 Oktober dalam kenangan...


JAMIL BIN KHALIB…15 FEBRUARI 1946 – 22 OKTOBER 2007…AL FATIHAH…

22 Oktober 2007… satu tarikh yang mana mungkin aku lupakan sampai bila – bila. Satu hari di mana ayahku menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas 9 hari sambutan Aidilfitri 1428 Hijrah, meninggalkan dunia ini selama – lamanya menghadap Allah Yang Maha Pencipta. Berat menerima hakikat pemergiannya, berat lagi hati memandang emak yang teresak – esak menangisi kematian ayah. Aku redha…aku redha dengan ketentuan Allah biarpun perasaanku bercampur – baur antara sedih, sayu, tangisan, kekesalan dan kepayahan menerima hakikat.. Aku harus kuat untuk emak dan adik beradikku. Aku harus kuat biarpun hatiku hancur luluh.

Mengenangi kembali sehari sebelum pemergiannya, tidak kusangka rupa – rupanya aku, adik dan emak membawa keluar ayah untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star sebenarnya seperti membawa ayah keluar terus dari rumah buat selama – lamanya. Sepatutnya pada tengah hari itu aku pulang semula ke KL untuk bertugas pada malam berkenaan namun hati ini tidak sanggup untuk meninggalkan ayah yang ternyata sakit dan memerlukan anak – anak di sisinya sentiasa.

Saat ayah ditempatkan di Wad 7B, lantas hasratku untuk menemaninya malam itu terus bercambah setelah aku menyuarakan kesudianku menemani ayah kepada emak. Saat itu selepas emak dan adik beredar, kami tinggal berdua. Aku membiarkan ayah berehat dan aku menghubungi beberapa orang sahabat melalui SMS mengenai keadaan ayah. Ayah mencadangkan kepadaku jika berasa bosan bolehlah aku keluar bersiar – siar di sekitar hospital tetapi aku menolaknya kerana mahu sentiasa berada di sisi ayah. Memandangkan malam tersebut ayah tidak disediakan malam malam, aku turun ke kantin membelikannya sesuatu untuk dimakan. Di kantin tidak banyak terdapat pilihan makanan kecuali roti canai, nasi ayam ataupun nasi campur. Aku bercadang untuk nasi ayam, pastinya dapat mengenyangkan ayah. Nasib menyebelahiku kerana nasi ayam yang kuhajati untuk ayah adalah yang terakhir sebelum peniaga itu menutup perniagaannya. Tanpa melengah lagi aku terus balik ke wad setelah membeli apa yang diingini.

Tatkala menjengah sahaja tirai yang menutupi katil ayah lantas aku tersentak kehairanan apabila melihat ayah seakan – akan telah sedia menanti aku dengan duduk di kerusi di sisi katil. Apalah kudrat ayah untuk bergerak sendirian turun dari katil dan duduk di kerusi itu sedangkan ayah harus dipapah dan dibantu. Ayah ayah…Sambil menyediakan nasi ayam yang kubeli tadi, ayah kulihat diam dan membisu. Terlalu kasih aku terhadap insan itu tapi apalah daya hanya nasi ayam yang dapat kubelikan untuknya sebagai santapan makan malamnya. Ayah menyuapkan sendiri nasi ke mulut dengan payah sambil aku turut menjamah bekalan makanan yang disediakan emak yang sepatutnya kubawa pulang ke KL siang tadi. Alhamdulilah ayah dapat juga mengalas perutnya kerana dari siang tadi ayah hanya bersarapan dengan sekeping karipap. Tiba – tiba doktor dan jururawat datang untuk meneruskan apa yang sepatutnya dilakukan lantas membuatkan selera ayah terbantut. Kasihan ayah, sedang enak menikmati makan malamnya tiba - tiba ada gangguan yang berkunjung tiba. Aku mengemas supaya ayah dapat berbaring di atas katil untuk dirawat doktor tetapi doktor muda berkenaan membatalkan niatnya dan berjanji akan datang semula pada jam 10 malam lalu beredar pergi . Ayah kupapah untuk berbaring di katilnya dan memintanya untuk berehat ataupun tidur sementara menunggu doktor untuk datang kemudiannya.

Kulihat ayah sukar untuk melelapkan mata, mungkin cahaya terang di dalam wad sedikit mengganggu, malah ayah juga sukar untuk bernafas. Ayah mengaduh penat akibat susah untuk bernafas, keadaan sedemikian berlaku sepanjang malam, kasihan ayah kerana keadaannya terlalu sukar untuk dimengertikan bagi sesiapa sahaja yang tidak melaluinya. Ayah meminta aku mengubah kedudukan katil tetapi aku membantah kerana ia akan lebih menyukarkan keadaan jika berlaku kecemasan. Ayah hanya mendiamkan diri, pasti dia kecewa denganku kerana tidak mahu memenuhi permintaannya. Ayah juga berkali – kali meminta air minumannya, katanya terlalu haus tetapi aku melarangnya untuk minum terlalu banyak air kerana telah ditegah oleh jururawat sebentar tadi. Kata jururawat itu tadi ayah hanya boleh minum sebanyak setengah liter sehari. Sambil memakaikan tiub oksigen bagi memudahkan pernafasan ayah, aku terfikir, sampai bilakah ayah akan berterusan begini? Perlukah ayah menanggung penderitaan ini? Apa dosa ayah sehingga sakit sedemikian rupa? Tidak berapa lama kemudian, ayah memintaku membantunya untuk duduk kerana tidak selesa berbaring. Dengan kepayahan aku membantu ayah menegakkan badannya tetapi aku tetap memaksanya untuk berbaring supaya dapat berehat. Kasihan ayah, mengapa dugaan begini datang padanya? Aku berserah pada ketentuan Allah kerana kutahu setiap apa yang berlaku pasti ada natijahnya kerana fitrah manusia diciptakan Allah untuk diuji. Mungkin ini ujian yang datang pada ayah dan diriku sekeluarga.

Tidak berapa lama selepas itu doktor dan jururawat datang semula, kali ini beberapa kali ayah disuntik dan darah ayah diambil sebagai sample untuk diujikaji, barangkali. Ayah turut dipakaikan tiub untuk memudahkannya membuang air kecil. Aku pasti ia menyakitkan, ternyata ia benar seperti yang terpapar di wajah ayah. Sepanjang malam ayah sukar tidur walaupun lampu wad telah ditutup. Ayah sukar untuk berbaring. Ayah memintaku memepahnya ke tandas kerana kesukaran untuk membuang air kecil menerusi tiub yang dipakaikan di badannya. Berkali – kali sepanjang malam itu ayah memintaku memapahnya ke tandas sehingga benar – benar mencabar kesabaranku. Memang ayah cukup berat sehingga sepenuh kudrat kukerah untuk membantu ayah sepanjang malam itu. Aku benar – benar diuji…hatiku benar – benar diuji, aku hanya menahan sabar kerana mahu menghormati ayah dan kerana kasih dan sayangku pada ayah aku perlu juga memenuhi kehendaknya biarpun aku keletihan dan rasa mengantuk yang teramat. Hatiku berbisik…ayah seakan – akan sengaja mahu menyusahkanku tetapi perasaan itu kubuang jauh – jauh demi menjaga ayah. Biarlah aku tak tidur sepanjang malam, biarlah mataku merah kerana tidak cukup tidur, demi ayah perasaan mementingkan diri sendiri kutolak ke tepi. Kekerapan ayah ke tandas sebenarnya mengundang kegusaran, takut kalau – kalau ayah terjatuh di dalam tandas kerana tidak mahu ditemani. Mujurlah tandas hanya beberapa langkah sahaja dari katil. Aku hanya menunggu di luar tandas. Aku harus memaksa ayah untuk tidur kerana ayah perlukan rehat yang cukup, aku terpaksa bertegas, aku terpaksa berkeras dengan ayah. Bukan kumahu bertindak kurang sopan tetapi ayah perlu berehat. Telah berkali – kali aku menyuruh ayah membuang air kecil melalui tiub yang telah dipasangkan tetapi ayah mengatakan ia amat menyakitkan.

Kali terakhir ayah keluar dari tandas, ayah mahu terus duduk di kerusi, ayah memintaku untuk tidur dan usah menghiraukannya. Waktu melewati 4 pagi, entah bagaimana aku terlelap seketika dan apabila tersedar kulihat ayah tertidur di kerusi lantas aku mengejutkannya dan memapahnya untuk baring di katil. Ayah terus terlena tetapi hanya untuk seketika dan memintaku memapahnya ke tandas. Akhirnya menjelang subuh, ayah tidur dengan nyenyak. Syukur pada Allah kerana ayah akhirnya tidur, setidak – tidaknya ayah dapat berehat sambil menanti apa tindakan seterusnya daripada doktor pada keesokan paginya.

Mentari pagi mula bersiar – siar di luar sana, sekumpulan jururawat memasuki bilik Wad 7B yang menempatkan 4 pesakit untuk mengemas bilik berkenaan. Memandangkan ayah sedang tidur nyenyak salah seorang jururawat berkenaan membatalkan niatknya untuk menyalin cadar pada katil ayah. Sarapan pagi turut dihantar tetapi ayah tetap tidur dengan nyenyaknya. Seorang pak cik yang duduk di katil yang bertentangan datang menghampiri katil ayah lalu memperkenalkan diri. Pak cik Anuar namanya, sambil berbicara mengenai diri masing – ayah kulihat tetap tidur dengan lena sekali seperti tidak terganggu dengan perbualanku bersama Pak cik Anuar.

Menjelang 11 pagi, sambil termenung menatap ayah yang sedang tidur, aku sempat merakamkan menerusi telefon bimbit keadaan ayah yang sedang tidur namun niatku itu tidak lama kerana seorang jururawat datang memintaku memberikan ubat kepada ayah. Kucuba menyuapkan ubat kepada ayah, dengan payah ayah menelan ubat yang diberi tadi. Bibir ayah kering, tanpa berfikir panjang aku melembapkan tisu dan kuusap lembut bibir ayah biar sedikit basah. Tidak lama selepas itu, dua orang doktor dan beberapa jururawat menghampiri katil ayah sambil berdiskusi mengenai tindakan yang harus dilakukan terhadap ayah untuk hari itu. Seorang jururawat memasang tiub air menerusi tangan kiri ayah. Salah seorang doktor muda berkenaan datang menghampiriku lalu menjelaskan situasi yang dihadapi ayah. Memang mengejutkan pada mulanya kerana doktor lelaki tersebut menyatakan keadaan hati ayah sudah terlalu kronik dan cecair yang terkandung di dalam abdomennya mula meracuni otak ayah lalu mengganggu pemikiran ayah, tetapi doktor berkenaan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi merawati ayah.

Memandangkan ayah sukar untuk diawasi sepanjang masa, doktor tersebut menyarankan agar ayah dibawa ke Wad 4 atas alasan situasi ayah yang perlu dipantau sepanjang masa dan di wad berkenaan juga terdapat ramai staf dan pastinya kunjungan doktor yang lebih kerap memungkinkan keadaan ayah dapat diawasi lebih dekat. Tanpa membantah aku menyetujuinya demi kebaikan ayah. Emak kuhubungi memaklumkan agar dapat datang dengan segera. Sebelum tengah hari doktor dan jururawat telah melakukan ‘Tap’ pada sebelah kanan badan ayah yang bertujuan untuk membolehkan tiub dipasang dan air yang terkumpul di dalam abdomen ayah dapat dialirkan keluar. Kesukaran dihadapi oleh doktor dan jururawat berkenaan untuk melakukan suntikan kerana urat pada kulit badan ayah sukar dikesan. Ayah kulihat mengerang kesakitan akibat suntikan berkenaan. Nampaknya doktor wanita itu gagal melakukannya, dan ayah terus mengerang menahan sakit. Doktor tersebut memutuskan untuk melakukan suntikan di sebelah kiri badan pula. Aku terpaksa menurut kerana kupasti itu yang terbaik untuk ayah biarpun kurang senang melihat ayah seperti menahan kesakitan yang teramat akibat disuntik. Namun percubaan yang dilakukan doktor berkenaan turut gagal dan mereka hanya dapat mengambil sample cecair yang terkandung di dalam abdomen ayah, menurut doktor wanita itu kulit badan ayah terlalu lembut seakan kulit buah yang sudah lebam dan sukar untuk disuntik.

Ayah terus merintih kesakitan. Aku runsing…aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku hanya dapat meminta ayah bersabar dan mengingati Allah. Emak dan adik tiba sejurus selepas itu dan emak terus mententeramkan ayah yang tidak putus – putus meminta dipakaikannya baju. Kufikir ayah demam, dengan kepayahan aku dan adik memakaikan ayah bajunya tetapi ayah menolak untuk memakainya tetapi terus meminta baju untuk dipakai malah diselimutkan pun ayah tidak mahu. Aku, emak dan adik terus berusaha untuk mententeramkan ayah yang mengerang kesakitan. Kupegang tangan ayah, ternyata dingin. Air mata tidak tertahan lagi, aku menangis di hadapan adik dan emak dan mengatakan aku tidak tahan melihat keadaan ayah berterusan begini.

Emak tidak putus asa untuk mententeramkan ayah biarpun di wajahnya jelas terlihat kerisauan dan kegusaran. Emak meminta adik menghubungi Bangcik dan Jijul supaya dapat segera datang ke hospital kerana keadaan ayah begitu genting. Kedua – dua belah tangan ayah terpaksa diiikat kerana meronta – ronta kesakitan. Keadaaan di situ begitu tegang sehingga pesakit – pesakit di katil – katil berhampiran datang melahirkan rasa simpati melihat keadaan ayah. Tidak berapa lama kemudian beberapa jururawat datang, nyata benar ayah akan dipindahkan ke wad lain. Jam belum menghampiri 4 petang, malangnya ayah ditempatkan di wad biasa dan pelawat hanya dibenarkan masuk pada 4 petang. Ketibaan Bangcik, Mas dan anak mereka Farhana nyata melegakan sedikit perasaanku.

Lewat jam 4 petang kami dibenarkan masuk, ayah ditempatkan betul – betul di hadapan kaunter staf bagi pemerhatian yang lebih dekat. Ayah terus meracau, seakan mengkhabarkan segenap alam bahawa kesakitannya tidak tertanggung lagi. Beberapa orang doktor dan jururawat mula melakukan apa yang difikirkan terbaik untuk merawat ayah. Kami sekeluarga berkumpul di katil ayah selepas Jijul da Su tiba, bagi menenangkan ayah kami bergilir – gilir membisikkan syahadah di telinga ayah dan membaca surah yasin. Ayah sudah tidak mampu berkata apa – apa lagi, aku tidak dapat menahan air mata daripada menitis laju. Kukatakan pada emak kekesalanku kerana memarahi ayah yang langsung tidak mahu tidur dan berehat pada malam sebelumnya. Pak cik Wahab dan mak cik Bahyah tiba selepas tidak berapa lama emak menghubungi mereka. Memang agak lama aku tidak bertemu dengan mereka. Walaupun ayah tidak membenarkan emak menghubungi sesiapapun untuk mengkhabarkan keadaan ayah yang sedang menanggung kesakitan akibat penyakit kanser hati dengan alasan tidak mahu menyusahkan sesiapa. Namun emak tetap juga menghubungi saudara dan rakan terdekat ayah kerana ini bukan masanya lagi untuk berahsia.

Tidak berapa lama kemudian cikgu Ismail dan isterinya tiba untuk mengujungi ayah, ternyata wajahnya muram melihat keadaan ayah. Keadaan ayah semakin kritikal, aku mengambil keputusan untuk menghubungi Azlan. Dengan esak tangis aku memberitahu Azlan yang keadaan ayah terlalu tenat, sudah kritikal ibarat telur di hujung tanduk. Azlan memberikan kata – kata semangat agar aku tidak berputus asa dan terus berdoa kepada Allah. Aida dan Emi turut berbuat demikian, namun semuanya di tangan Tuhan, Dia yang lebih berhak menentukan.

Aku keluar sebentar dari wad dan duduk di kerusi di ruang menunggu. Ramai saudara – mara ayah yang datang berkunjung. Sebelum itu emak telah mengarahkan adik untuk menjemput Ijai di asrama sekolahnya supaya dapat datang ke hospital dan melihat ayah…mungkin untuk kali yang terakhir…mungkin. Mujur Ijai tiba tidak lama kemudian. Aku kembali semula ke katil ayah, kali ini keadaan ayah lebih teruk, nafasnya lebih perlahan walaupun menggunakan bantuan oksigen. Kepayahannya menghela dan menarik nafas jelas kelihatan.

Emak mengumpulkan kami adik – beradik, ada perkara yang perlu dibincangkan. Setelah emak berbincang dengan doktor yang ditugaskan merawat ayah, kata dua telah diputuskan, ayah kini berada dalam keadaan koma akibat dehydration dan kekurangan gula di dalam darah dan disebabkan keseluruhan organ dalaman ayah telah diracuni cecair yang terkumpul di abdomen ayah sehingga turut menjejaskan otak ayah dalam tempoh yang cukup singkat, doktor berkenaan memberikan pilihan sama ada ayah dibiarkan bernafas menerusi bantuan oksigen sehingga nafasnya terhenti ataupun ayah diberikan kejutan elektrik bagi menyedarkan ayah dari koma.

Kami sepakat dan memutuskan untuk membiarkan ayah bernafas melalui bantuan oksigen sehingga…sehingga ayah tidak sedar lagi untuk selama – lamanya. Kami sekeluarga redha dengan ketentuan Ilahi. Emak telah meminta Bangcik, Adik dan Jijul untuk pergi mencari Abang Long yang langsung tidak pulang – pulang ke rumah atas urusan kerja semenjak dua hari menjelang Aidilfitri. Abang Long kata emak perlu ditemui pada malam itu juga kerana keadaan ayah yang tidak lagi mampu bertahan lebih lama. Mereka bertiga beredar meninggalkan kami di sisi ayah yang cuma menunggu masa…menunggu masa dijemput Allah kembali ke sisi-Nya.

Dengan masa yang singkat doktor wanita itu meminta kami membacakan yasin dan mengucapkan syahadah kepada ayah. Aku terus membisikkan syahadah di telinga ayah dan emak asyik membacakan yasin. Pada saat itu hanya aku, emak, Ijai, Su, Mas dan Farhana berada si sisi ayah. Kucuba mencari pergerakan nadi ayah di lehernya…mana denyutan nadi ayah??? Firasatku berat mengatakan ayah telah tiada. Debaran semakin kencang di dada, entah kerisauan apa yang menerjah di hati. Azat, bertenanglah…ayah tidak apa – apa…seakan – akan kata – kata itu berdesir di telingaku.

Doktor wanita itu menghampiri ayah dan memeriksa denyutan nadi ayah, kulihat doktor berkenaan menghela nafas yang panjang, seakan berat untuk mengatakan sesuatu, lalu dia memandangku sambil menggelengkan kepala… menandakan ayah telah tiada, ayah akhirnya telah pergi menghadap Allah dengan keadaan yang sungguh tenang. Aku menggangguk lemah lalu menghampiri emak, dengan perlahan kukatakan pada emak yang ayah sudah tiada. Emak terus menangis kesedihan dan menyatakan emak belum puas hidup bersama dengan ayah. Ijai juga menangis dan menyatakan ayah pergi di saat dia bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Aku terpaksa menenangkan emak dan Ijai biarpun aku sendiri tidak mampu menahan tangisan. Aku perlu kuat untuk keluargaku.

Jururawat meminta kami meninggalkan seketika jasad kaku ayah. Kami beredar pergi dan berkumpul di ruang rehat. Mujur ada mak cik Bahyah yang sudi menghulurkan bantuan untuk menguruskan jenazah ayah dengan pertolongan Pak Cik Halim yang sememangnya bekerja di hospital berkenaan. Emak tidak putus – putus menghubungi saudara – mara dan kenalan ayah untuk memaklumkan akan pemergian ayah ke rahmatullah. Aku turut sama menghubungi kenalan atas tujuan yang sama, nyata ucapan takziah kuterima tidak putus – putus.

Setelah menguruskan dokumen dan beberapa perkara berkaitan pengurusan jenazah, kami sekeluarga meninggalkan wad tersebut dan berkumpul di ruang lobi hospital. Tidak berapa lama kemudian Bangcik, Adik dan Jijul tiba, namun sudah terlambat untuk mereka bertemu dengan ayah yang telah pergi buat selama – lamanya. Pak cik Wahab meminta kami berkumpul di bahagian pengurusan jenazah bagi melihat bagaimana jenazah ayah diuruskan dan mungkin kami adik – beradik dapat membantu di sana. Abang Long gagal ditemui dan masih berada di KL kerana terpaksa meneruskan tugasnya. Tidak tercapai juga hasrat ayah untuk melihat Abang Long mendukung dan bermain – main dengan Farhana and tidak kesampaian juga hasrat ayah untuk melihat kami enam beradik berbaik – baik seperti sebuah keluarga bahagia malah impian ayah untuk melihatku melangsungkan perkahwinan juga musnah akhirnya. Kuingat lagi kata – kata ayah seminggu selepas arwah keluar dari hospital, katanya bila mahu berkahwin? Kusambut pertanyaannya itu dengan ketawa kecil sebagai jawapan kepada persoalannya yang kurasakan agak lucu sambil mengatakan aku tidak mempunyai wang yang cukup. Niat ke arah itu tetap ada cuma masa belum mengizinkan. Kata ayah, wang boleh dicari. Aku terus terdiam, bukan wang masalahnya, hanya waktu yang menentukan. Tak kusangka arwah ayah tidak bermain – main dengan kata – katanya. Memang itu permintaan ayah yang terakhir terhadapku namun aku gagal menunaikannya. Maafkan aku ayah.

Telah ramai saudara – mara ayah menunggu di sana, mujurlah urusan memandikan jenazah dilakukan oleh staf hospital berkenaan. Lebih baik jika jenazah arwah ayah diuruskan terus di hospital daripada dibawa pulang terus ke rumah kerana khuatir tidak ada pihak yang dapat meluangkan masa mereka untuk menghulurkan bantuan menguruskan jenazah arwah ayah memandangkan keesokan harinya adalah hari bekerja. Setelah berbincang, Pak cik Wahab memintaku pulang dahulu supaya dapat membuat persiapan di rumah.

Sambil ditemani Su, aku memandu pulang ke rumah. Dalam perjalanan aku sempat memberitahu Su pengalaman bersama ayah dan juga petanda – petanda yang datang seakan mengkhabarkan sesuatu mengenai pemergian ayah. Pengalamanku sendiri menerusi mimpi di mana ayah menolak permintaan aku untuk membawanya ke masjid sedangkan aku sendiri dalam perjalanan ke sana dan menemuinya di pertengahan jalan. Su turut menceritakan Bangcik telah bermimpi di mana gigi hadapannya patah. Memang sesuatu cuba disampaikan, mungkin kerana tidak mempercayai mimpi aku menidakkannya. Mana mungkin mimpi mampu memberikan petanda awal kematian ayah. Mimpi hanya mainan tidur dan mungkin juga akibat gangguan syaitan.

Setibanya di rumah, aku dan Su membuat persiapan untuk menerima kepulangan jenazah ayah, tidak lama menunggu selepas Bangcik dan Jijul tiba, kira – kira jam 1.30 pagi van jenazah yang membawa jenazah ayah menyusul tiba. Bau kuat kapur barus yang cukup segar menerjah keluar dari van tersebut apabila dibuka. Dahulu aku cukup gerun dengan bau tersebut tetapi kali ini baunya seakan cukup wangi dan harum. Jenazah ayah ditempatkan di tengah – tengah ruang tamu. Tanpa membuang masa aku mencapai yasin dan membacanya untuk jenazah ayah turut diikuti Su, emak dan Tok Ngah. Berkali – kali aku membaca yasin untuk arwah ayah biarpun berasa amat keletihan.

Waktu semakin menginjak ke pagi namun mata yang terasa mengantuk hilang kerana kesedihan dan kemurungan dengan pemergian ayah. Kami sekeluarga mengambil giliran untuk menjaga jenazah arwah ayah. Aku memutuskan untuk tidur sebentar. Pantasnya masa berlalu, tiba – tiba adik mengejutkan aku kerana cikgu Ismail tiba untuk berbincang tentang pengurusan jenazah arwah ayah. Ketibaan cikgu Ismail turut disertai beberapa jiran terdekat.

Selepas jam 7 pagi jiran tetangga mula berkunjung ke rumah untuk menziarahi jenazah arwah ayah, semakin ramai dan semakin ramai tiba. Saudara – mara terdekat juga tiba tidak lama kemudian. Sambil menguruskan sedikit sumbangan yang diterima daripada khairat kematian arwah ayah, aku memandang ke sekeliling, aku bersyukur kepada Allah kerana kesudian ramai jiran tetangga, saudara mara dan kenalan yang tidak putus – putus meluangkan masa menziarahi jenazah arwah ayah. Ada yang sedih, ada yang menangis, ada yang tidak mempercayainya, ada yang muram, keliru dan sebagainya. Kebanyakan mereka tidak mempercayai bahawa ayah telah meninggal dunia kerana sesetengah daripada mereka berkata baru sahaja melihat arwah ayah malah melihat ayah seperti biasa seakan tidak sakit. Kuasa Allah siapalah yang mampu menghalangnya. Namun aku kurang senang dengan cakap – cakap beberapa orang yang datang menziarahi jenazah arwah ayah agar keranda yang memuatkan jenazah arwah ayah ditutup bagi menghalang merebaknya virus yang terdapat pada jenazah. Alangkah ceteknya pengetahuan mereka namun itu pendapat orang yang mungkin tidak faham mahupun sengaja tidak mahu memahami keadaan yang menimpa arwah ayah.

Sebelum keranda ayah ditutup aku sempat menitiskan minyak atar di atas jenazah arwah ayah, baunya cukup harum. Emak mula menangis kesedihan sambil meminta kami lima beradik mengangkat perlahan – lahan keranda berkenaan. Menjelang 10.30 pagi, keranda yang memuatkan jenazah arwah ayah mula diangkat dan dimasukkan ke van untuk dibawa ke masjid supaya dapat disembahyangkan sebelum dikebumikan. Mengangkat jenazah arwah ayah pergi bermakna membawa pergi arwah ayah keluar dari rumah buat selama – lamanya. Van yang memuatkan jenazah arwah ayah yang dipandu Adik terus keluar meninggalkan rumah dan menelusuri jalan di kala hari yang mendung yang terasa dingin bagai turut muram dengan pemergian arwah ayah.

Setibanya di masjid, dengan segera jenazah arwah ayah ditempatkan di hadapan ruang solat. Solat jenazahpun bermula. Tidak lama kemudian jenazah arwah ayah diangkat semula ke dalam van dan terus dibawa menuju ke tanah perkuburan berhampiran. Setibanya di tanah perkuburan, adik terus memandu van menghampiri betul – betul berdekatan linag kubur yang bakal menerima arwah ayah sebagai penghuninya. Keranda terus diangkat dan diletak berdekatan liang lahad sebelum dibawa turun ke dalamnya. Kami sekeluarga mengambil kesempatan terakhir untuk mencium dahi arwah ayah tanda mengucapkan selamat tinggal buat selama - lamanya. Secara perlahan – lahan keranda berkenaan diturunkan dan tanpa melengahkan masa ketulan – ketulan tanah terus diletak di belakang jenazah arwah ayah. Tanah mula ditaburkan terus ke atas keranda, sedikit – sedikit sehingga kesemuanya menutupi liang lahad. Akhirnya jenazah arwah ayah telah selamat dikebumikan.

Setelah semua duduk bacaan talkin dimulakan. Bacaan talkin berkenaan turut disertai rintik – rintik hujan yang mulai turun. Selesai bacaan talkin, kami sekeluarga mula menyiram air mawar dan menaburkan bunga di atas pusara arwah ayah. Akhirnya…akhirnya ayah pergi meninggalkan kami setelah menanggung perit kesakitannya selama ini. Aku dan keluarga telah kehilangan ayah buat selama – lamanya. Ayah telah pergi menghadap Ilahi Yang Maha Pencipta. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita kembali. Emak tetap sedih dan sugul, biarpun baru 33 tahun hidup bersama namun pemergian ayah seakan – akan sekelip mata berlaku.

Kaki terasa berat untuk berlalu pergi meninggalkan arwah ayah yang telah selamat bersemadi. Adik mengatakan Abang Long dalam perjalan pulang, namun sudah terlewat kerana jenazah ayah telah selamat diuruskan. Tidak lama Abang Long tiba, hujan turun dengan lebat sekali, Abang Long terus meluru mendapatkan emak. Ternyata kesedihan kami sekeluarga tidak terbendung lagi. Pasti Abang Long terkilan kerana tidak sempat menemui arwah ayah malah menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir.

Hujan yang turun dengan lebatnya seakan turut menangisi pemergian ayah. Menjelang tengah hari di kala hujan yang terus turun dengan lebat seakan tidak mengizinkan kami untuk berada lebih lama di situ, kami beransur pulang, meninggalkan ayah yang telah dengan sempurna disemadikan. Alhamdulilah semua urusan menyiapkan dan pengkebumian jenazah arwah ayah cukup sempurna dan pantas. Pasti hasrat arwah ayah untuk tidak menyusahkan mana – mana pihak semasa menguruskan jenazahnya tercapai juga akhirnya seperti yang diimpikan.

Ayah…kenangan bersamammu tetap utuh di sanubari anakmu ini, biarpun belum puas bersamamu, membalas jasa – jasamu, berbakti untukmu namun hanya Allah yang tahu betapa emak, abang long, bangcik, jijul, adik, ijai dan aku sendiri kasih dan sayang padamu ayah…al fatihah…..

2 ulasan:

encik aidil banting berkata...

bersabar ye. dugaan datang dan pergi. satu hari nanti kita juga akan turut hadapi bnda yang sama. al fatihah

NAZRUL AZAT JAMIL berkata...

mekasih, aidil mmg adik yg baik