SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

08 September 2012

CERITA YANG PANJANG...


BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM

Sudah terlalu lama aku meninggalkan dunia blog, tiba - tiba saja aku hilang minat, puncanya malas, penat, sibuk dengan study, menyibukkan diri dengan kerja, sibuk - sibuk dengan hidup orang lain, kecewa dalam percintaan, keadaan diri yang kerap kali tidak sihat, malah aku pernah dituduh sebagai blogger yang menjadi spammer di blog seorang pemerhati politik sedangkan dia sendiri yang memautkan entri blognya pada blog aku. Mungkin juga dipengaruhi oleh isu di mana blog aku secara tiba - tiba menjadi hangat di office. Ya! Ini sebab utama aku terus mendiamkan diri, buat seketika... tetapi, malam ini aku mahu bermula semula, AND THE STORY GOES LIKE THIS...

Semester lepas, alhamdulilah aku lulus semua ketiga - tiga subjek, termasuk subjek yang aku repeat. Diulang... REPEAT !!! Tapi CGPA jatuh sedikit, tak mengapa, aku sedar aku cuma biasa - biasa saja, janji aku buat sendiri setiap assignment tanpa bantuan daripada senior atau mencedok dari GOOGLE. Minggu hadapan akan bermula semula pengajian di semester 3, bermakna aku berbaki 2 semester lagi sebelum menamatkan pengajian sarjana. Sedikit lambat berbanding rakan - rakan yang lain oleh kerana aku menggugurkan beberapa subjek setiap semester supaya lebih fokus. InsyaAllah mau diteruskan lagi ke tahap PhD, seronok belajar ni, semakin banyak aku menggali ilmu semakin aku sedar banyak lagi yang aku tak tahu. Bercerita tentang pelajaran, ada suka ada dukanya tetapi rasa duka melebihi segalanya. Cuma seperkara yang aku kesalkan, sikap rakan sekumpulan yang tidak menunjukkan kerjasama, mungkin kerana dia berpangkat dalam kerjayanya di sektor kerajaan, membuatkan dia sibuk dengan tugas dan membebankan aku yang bekerja di sektor swasta untuk menyelesaikan segalanya. Cukuplah, sudah 2 semester aku dipergunakan, nasihatku kepada segelintir pegawai kerajaan, fikir masak - masak sebelum bercita - cita besar untuk menyambung pelajaran, jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas kebaikan orang lain ! Nasihat ini juga untuk sesetengah pekerja di sektor swasta yang juga bijak mengeksploitasi pihak - pihak tertentu untuk kepentingan diri. Pastikan berkat ilmu yang anda perolehi.

Cerita tentang bulan puasa yang lepas, aku berpeluang berpuasa di kampung bersama keluarga pada hari pertama dan kedua, lalu kembali ke kota. Puasa kali ini masih terasa tiada serinya sejak ketiadaan ayah. Sedari kecil lagi, mulut arwah ayah tak pernah putus menyuruh aku menambah makanan setiap kali ketika berbuka dan bersahur. "Ajat, tambah nasik" ... "Ajat, habiskan kuih ni" ... Sesekali terasa bosan kerana makan pun disuruh - suruh ayah, tapi kini, suara itu yang aku rindu. Kembali saja ke kota, aku berbuka puasa dan bersahur sendiri, kecuali ada hari bekerja malam, bersahurlah sendirian di pejabat, adakalanya bekalan yang dibawa tidak disentuh kerana tidak berselera. Juadah yang aku sediakan ketika berbuka seperti siaran ulangan di tv, nasi lemak, nasi goreng, mee goreng, dan diulang 18 kali lagi. Adakalanya aku cuma membeli lauk pauk di kantin pejabat, dan selepas hari ke 15 ke atas barulah aku berminat untuk ke bazar ramadan. Lebih kurang RM15 pasti dibelanjakan untuk membeli makanan berbuka puasa dan bersahur. Termenung juga setiap kali memikirkan kos yang agak banyak dibelanjakan setiap kali ke bazar. Tentang persiapan hari raya, aku tidak membeli hatta sehelai pakaian sekalipun, kerana memikirkan aku akan bekerja pada hari raya. Sepatutnya aku dan beberapa rakan yang lain mendapat peluang untuk bercuti dua tahun berturut untuk menyambut hari raya tetapi kali ini aku terpaksa bekerja dan bercuti selang setahun. Sistem yang encik bos praktikkan berdasarkan budi bicaranya, jangan disanggah kerana buruk padahnya ! Pada malam raya, sejarah dicipta semenjak 33 tahun kehidupan aku di atas muka bumi ini kerana aku masuk tidur selepas isyak, lebih tepat 9 malam tatkala takbir raya sedang berkumandang, aku terlalu letih dan tidak ada mood memikirkan tentang hari raya!

Bercerita pula tentang hari raya, aku menyambut 1 syawal di pejabat, bersama rakan - rakan yang lain yang turut senasib diriku. Mujur pada pagi raya ada rakan - rakan yang sudi membawa sedikit juadah hari raya dan dikongsi bersama. Kerja tetap berjalan seperti biasa walau dalam hati bersungut akan tugas yang dilakukan yang dirasakan tidak relevan untuk dijalankan pada minggu hari raya itu. Sekali lagi, encik bos jangan disanggah, buruk padahnya. Mujur pada hari raya kedua aku diberi cuti sehari, tak mungkin cukup sehari tersebut untuk ke sana sini berhari raya, maka aku sekadar berehat dan memasak sendiri juadah hari raya yang mahu dimakan. Sekadar menyediakan lontong, ia sangat menyelerakan. Dan aku bertugas semula pada hari raya ketiga sehingga hari raya ketujuh. Mujur pada hari sabtu iaitu hari raya ketujuh Caer sekeluarga singgah sebentar mengunjungi aku di Sri Pentas ketika mereka dalam perjalanan dari Putrajaya untuk ke Rawang. Mereka sekeluarga dalam rombongan merisik teman wanita abang kepada Caer, Shukri. Terima kasih yang tidak terhingga untuk Caer sekeluarga kerana kesudian menemui aku di pejabat. Untung punya keluarga angkat sebaik mereka.

Aku pulang ke Gurun pada hari raya kelapan, untuk bercuti selama 10 hari. Konon mahu berhari raya tetapi feel raya sudah berlalu, aku cuma pulang ke kampung seperti cuti biasa. Sebelum itu aku singgah di Kuala Kangsar untuk menziarahi keluarga Caer. Ternyata aku langkah kanan, Caer sekeluarga menyediakan jamuan dan kami makan beramai - ramai. Aku berasa seperti berada di rumah sendiri, seperti bersama keluarga sendiri. Aku bersyukur kerana bukan sahaja aku punya adik angkat sebaik Caer malah aku mendapat seluruh keluarganya sekaligus sebagai keluargaku. Terbit di hati rasa sayang terhadap keluarga itu. Allah Maha Besar...

Selepas menghantar Caer pulang ke IPTB di Bukit Mertajam, aku memecut laju menghala pulang ke Gurun, mahu menemui mak dan adik - adik. Setibanya di rumah, mak dan adik menyambutku. Aku sedikit terlewat kerana Ijai telah terlebih dalulu pulang ke Kulim. Rasa simpati dan kasihan kepada mak, adik dan Ijai mencanak, raya kali ini sangat sepi. Bangcik sekeluarga cuma pulang ke rumah pada petang raya pertama, begitu juga dengan Jijul sekeluarga yang cuma beberapa jam saja di rumah pada raya pertama kerana perlu pulang awal ke Jeli, Jijul perlu bekerja semula pada raya ketiga. Seri hari raya sudah hilang sejak kematian ayahku dan ketiadaanku di rumah kerana bekerja menambahkan lagi kesunyian mak. Tentang abang sulungku, aku sudah malas mau memikirkan tentang dia, pada aku dia tidak pernah mengganggap kami 5 beradik adalah adiknya, malah kami seakan musuh baginya, walaupun aku tau aku tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Kalaulah aku boleh menceritakan segalanya...

Sepanjang 10 hari bercuti aku cuma berehat, makan selagi perut boleh diisi, menonton tv selagi ada program menarik dan tidur selagi rasa mengantuk. Memang aku menjadi sedikit berisi. Biarlah, aku tak punya teman wanita, tak perlu risau dengan penampilanku, biarlah aku gemuk kerana aku sendiri benci melihat diriku kurus! Bercakap mengenai bajet hari raya, aku telah memperuntukkan kira - kira RM3k, RM1k untuk keluargaku dan RM2k untuk diriku sendiri dan RM2k itu cuma untuk membeli tv baru! Pada pertengahan bulan puasa lalu tv yang lama secara tiba - tiba rosak, puas membuat survey akhirnya aku membeli LED tv jenama dari negara Korea. Puas dapat kembali menonton cerita hindi dan baru - baru ini fenomena GANGNAM STYLE melanda dunia, berulang kali aku menonton MTV tersebut sambil terikut - ikut menari tarian seakan menunggang kuda itu. OPPA !!

Bercakap tentang soal hati, sekali lagi aku sendiri selepas percintaan bersama dua wanita pada masa yang hampir sama berakhir dengan kekecewaan. Aku tidak sesekali menyalahkan mereka. Aku sedar aku belum cukup matang, kebudak - budakan, lemah, tak berpendirian. Aku tak ralat ditinggalkan kerana aku tahu kedudukanku tetapi aku tetap sedar aku masih berpijak di bumi yang nyata. Aku akui, bercinta dengan seorang wartawan majalah yang khusus untuk wanita itu adalah terlalu risiko untuk jangka masa panjang, biarlah dia dengan dunianya dan pasti dia lebih cocok bersama seseorang yang sealiran. Pada wartawan itu aku amat memohon kemaafan, kita tiada jodoh walau ibumu tetap berkeras mahu bermenantukan aku namun kau telah menyumpah diriku dengan hukum karma, dan aku telahpun melalui hukum karma itu dengan penuh derita. Dan aku juga tidak harus mengambil risiko menjalin cinta dengan ibu tunggal yang mirip dj radio terkenal, malah lebih tepat dengan kekasih seseorang yang lama ditinggalkan terkontang kanting dan digantung tak bertali. Mujur aku cepat sedar diri dan aku nekad tidak mahu menjadi orang ketiga dan mengganggu hubungan cinta pasangan itu lagi, pada pasangan itu aku memohon maaf. Aku tak layak menjadi ayah kepada seorang anak dara suntimu yang dahagakan kasih sayang seorang bapa, dan menjadi suami kepada wanita cekal sepertimu. Moga bakal suamimu itu akan bersikap berani kerana benar, takut kerana salah, tidak cemburu buta dan punya pendirian sebagai lelaki sejati jika dia benar - benar mencintaimu. Kalian berdua sudah menjadi sejarah dalam hidupku, terima kasih kerana pernah singgah di hati seorang lelaki bernama Nazrul Azat. InsyaAllah, aku akan berkahwin juga suatu hari nanti, dengan seorang wanita yang menerima aku seadanya...

Sekali lagi aku dalam dilema, sebenarnya aku mahu memperkatakan tentang soal wang. Abang kepada seorang rakan karibku yang merangkap adik angkatku beria - ia mahu meminta bantuanku supaya membuat pinjaman di sebuah syarikat kewangan antarabangsa untuk dirinya. Urusan pinjaman ternyata mudah namun yang menyukarkannya adalah aku bukan kakitangan kerajaan. Setelah berfikir seketika, aku membuat keputusan di mana aku tidak dapat memenuhi permintaanya dengan alasan aku mahu membuat pinjaman perumahan dalam masa terdekat dan aku tidak mahu dibebani dengan lain - lain hutang. Namun dia tetap seakan bertegas, kali ini mengubah fikiran untuk meminjam wang daripadaku secara pinjaman peribadi. Tujuan dia untuk meminjam adalah untuk menampung perbelanjaan perkahwinannya yang dijangkakan pada awal tahun hadapan. Aku menjadi keliru dan kepada adiknya aku mengadu yang aku tidak dapat memenuhi permintaanya. Sebenarnya aku pernah mengalami situasi di mana seorang kenalan meminjam wang daripadaku berjumlah RM6 ribu, dan sehingga kini dia gagal membayarnya malah menghilangkan diri. Dan sekali lagi, seorang lagi sahabat yang kuanggap adik kandung sendiri turut meminjam wang, juga dalam jumlah RM6 ribu, oleh kerana atas dasar kasihan dan perasaan sayang pada seorang adik aku memberikan pinjaman tersebut, namun sehingga kini aku tidak nampak sebarang kesungguhan usaha daripada dirinya untuk menjelaskan hutang. Entahlah, aku bukan mahu mengungkit, cuma terdetik penyesalan, sesekali datang kekesalan itu kerana mengabaikan keperluan diri sendiri demi mahu melihat orang lain gembira. Tatkala aku memerlukan bantuan, semuanya hilang. Ternyata, aku cuma lilin yang menerangi kehidupan insan lain...

Sekian untuk kali ini, wassalam...

3 ulasan:

THE LEKAT LEKIT STORY berkata...

penuhi permintaan keluarga dulu sebelum memenuhi permintaan kawan.. sebabnya kalau adik beradik kita tak bayar at least dia darah daging kita, kalau kawan.. siapa dia? Sakit kita belum tentu dia sanggup kongsi bersama.. dua kali kena tipu.. rasanya awak lebih matang untuk buat keputusan. Pinjam untuk kawen.. tak di galakkan sebab yelah.. bila dh kawen esok lg banyak tanggungjawab dia, kita x tau dia mampu bayar ke tak sedangkan dia nak kawen pun kurang mampu apatah lagi lepas kawen. ni cuma pendapat saya sbg rakan blogger

caer sasuke berkata...

kuatkan semangat ye..caer tau abg kuat orangnya =)

ch000tz axoera ヅ berkata...

lupakah kau padaku wahai nok²!!!