SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

15 November 2012

DI HARI TAHUN BARU 1434 HIJRAH





Assalamualaikum...

Salam Maal Hijrah 1434 Hijrah, semoga umat Islam seluruh dunia bersatu dalam satu saf dan menuju keredhaan Allah swt... 

Alhamdulilah, hari ini aku diberikan peluang untuk bercuti, selalunya aku jarang mendapat cuti PH, dan sistem di pejabatku hanya memberikan cuti PH kepada staf yang memohon dan mana-mana staf yang tidak memohon untuk bercuti akan bekerja seperti biasa. Setahu aku setiap pekerja mempunyai hak untuk bercuti pada hari cuti umum. Entahlah, aku tak mampu untuk melawan, aku orang kecil... engkau orang besar... tiada kata.. ku hanya semut merah...

Malam tadi aku sempat menonton KUCH KUCH HOTA HAI di TV2,  lama juga tidak menonton filem berkenaan yang mula diperkenalkan kepadaku oleh abang long sekitar tahun 1998 mungkin, aku ingat lagi, malam itu malam raya Aidil Fitri, entah dari mana dia pulang dan terus memainkan VCD filem hindi tersebut, kami sekeluarga terpana dan terkesima, keesokan harinya kami beraya dengan filem KUCH KUCH HOTA HAI dan serentak dengan itu aku mula kenal siapa Shahrukh Khan, Kajol, Rani Mukherji, Salman Khan. Bukannya tidak pernah menonton filem hindi sebelum itu, cuma lebih didedahkan oleh mak dan ayah kepada filem-filem klasik seperti Andaaz, An Evening In Paris, Sangam, Love in Tokyo dan banyak lagi. Ketika itu, tahun 1998 barangkali menjadi pencetus kepada era populariti filem Bollywood moden di Malaysia. Radio - radio memutarkan lagu hindi siang dan malam malah wujud carta lagu hindi ketika itu. Dari tahun ke tahun apa sahaja tentang filem dan lagu hindi menjadi kegilaan sesetengah rakyat Malaysia seperti mana yang dapat kita lihat senario kini di mana demam K-POP mengambil tempat di hati ramai anak-anak muda. Dan sekarang, kegilaan terhadap Bollywood sudah berlalu... 

Pagi tadi aku sekadar mengisi masa dengan menonton tv, menyaksikan siaran langsung sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang diadakan di PICC, Putrajaya. Apa yang dapat aku lihat menerusi kaca tv adalah warna warni pakaian orang ramai di dewan berkenaan. Sesekali terlihat seseorang yang tertidur apabila kamera diarahkan kepadanya. Mungkin dia mengantuk, keletihan atau kebosanan. Tokoh Maal Hijrah kali ini disandang Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid Othman. Aku pernah sekali terserempak dengan allahyarham di stesen minyak di Seksyen 9 Shah Alam beberapa tahun dulu. Aku tidak pasti apa relevannya memberi anugerah di masa allahayham telah tiada di dunia ini. Namun aku pasti jasa allahyarham cukup besar demi menegakkan syiar Islam di Malaysia. 

Sambil menonton siaran tv yang banyak menyiarkan drama berunsurkan keislaman, aku sempat menyediakan sarapan, pulut kukus bersama dua jenis lauk - ikan gelama masin goreng bersama kelapa parut dan serunding kelapa. Tinggal sendirian tidak bermakna aku tidak memasak, tetapi hanya ketika lapang. Kalau terlalu sibuk, biasanya gerai - gerai makan dan restoran mamak menjadi tempat aku bersarapan, makan tengah hari dan makan malam. Untungnya aku tidak cerewet dalam memilih makanan, dan semalam selepas tamat kelas aku singgah untuk makan malam di sebuah gerai di seksyen 6 Kota Damansara. Seperti biasa pada malam hari aku mahu makan yang ringkas, sekadar nasi putih bersama tomyam campur dan air teh o limau panas. Itulah menu yang kebiasannya aku pesan jika makan malam di luar. Tomyam yang disediakan amat enak dan bertepatan dengan citarasaku yang gemarkan tomyam, bermakna tukang masak berkenaan sememangnya pandai memasak dan masakannya pasti ikhlas. Alhamdulilah...

Ternyata tugasan - tugasan pelajaran aku tergendala lagi hari ini. Aku sering hilang fokus jika berada di rumah, apa yang aku tahu cuma mahu berehat dan memenangkan fikiran. Penat bekerja yang bergabung dengan penat belajar amat terasa lelahnya. Mungkin hujung minggu ini aku perlu pergi ke mana - mana perpustakaan dan menyiapkan semua tugasan daripada berada di rumah dan menjadi malas. Tolonglah Azat, jangan buang masa... kamu cuma tinggal dua semester ini sahaja untuk menamatkan pengajian sarjana mu... 

Sebentar tadi, aku menyelongkar fail - fail di dalam cakera keras. Satu demi satu fail kubuka, terpapar gambar - gambar lama keluarga, teman, dan bekas-bekas kekasih yang pernah bertakhta hati, menyingkap kembali kisah - kisah lama yang penuh suka dan duka, yang tak mungkin akan berulang lagi. Tiba-tiba hati jadi sebak, aku rindu pada kenangan lalu...  




1 ulasan:

Tembikai Laici berkata...

Selamat Tahun Baru!
Moga2 berjaya dlm apa yg dikerjakan..
Cepat kayes rayes (nnti boleh hadiahkan cheq rumah tang area K.D'sara sebijik naaa..hahah)

Kami pong amatttt suka tomyam juga!
Tapi bihun tomyam lerr.. Ada satu kedai tang sini, kami pggil kedai Nyah (pasai dulu2 pekerja depa ramai kaum2 itu) depa masak mmg sedapp.. pd citarasa cheq la..
Ada satu ketika tu, hari2 balik keja mesti cheq p singgah tapau bihun tomyam. Sampaikan mem besau kt rumah nih sarankan cheq kawen jer dgn salah sorang mak nyah ituu... adeiiii... hahaha

Citer KKHT itu mmg pada dasarnya boleh dikira besh gak lerr jln ceritanya.. ada unsur2 kesayuan yang ketara...
Akn tetapi cheq kureng berkenan skett ada tang part2 tertentu yg mana lakonan depa nmpak cam hagak over acting gitu. Cheq lg suka hat natural.. Lebih terkesan di hati cam lakonan Johnny Depp, Eun Hye tuu... ;p kuikuii...

Kenangan2 lama.. jika di rewind2 kembali mmg ler akan mmbangkitkan perasaan sayu yg sukar utk ditafsirkam dlm hati nih kann...
Apapong, hidup musti diteruskan...
Inilah kehidupan, suka duka silih berganti...
Moga2 masih ada esok buat kita... ecehhh! :D