SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

01 Disember 2012

Keranamu Durian...




Apa aku buat di hari pertama bulan Disember 2012??

Secara jujurnya, aku lambat bangun, hendak tahu kenapa? Hari Jumaat lalu aku masih bekerja syif malam dan pulang dari bekerja aku terus bertungkus - lumus menyiapkan tugasan yang perlu dibentangkan pada malam hari Jumaat. Aku cuma tidur sekejap selepas solat Jumaat dan jam 5pm terus bergerak ke UiTM Puncak Perdana dengan perasaan sungguh teruja untuk membentangkan assignment yang telah aku siapkan. Masuk saja ke lab, terus kuhunus pendrive ke PC, konon masih punya masa untuk sedikit sentuhan terakhir, rupa-rupanya aku tidak menyimpan sama sekali tugasan aku itu di dalam thumbdrive. Dengan tergesa - gesa aku pulang ke rumah dengan Gen2 hitamku yang amat comot kerana tidak dicuci, mujur jalan raya tidak sesak dan jarak dari kampus dan rumah tidak jauh. Tiba di rumah, dokumen itu disimpan di dalam pendrive dan diemel sebagai backup kalau-kalau pendrive aku bermasalah. Dengan gigih aku memandu semula ke kampus dengan penuh sesalan kerana perlu berulang alik hanya kerana tugasan nan satu itu. Alhamdulilah, jalan raya tidak terlalu sesak dan sampai ke kampus tatkala azan Maghrib bergema. 

Aku yang terakhir sekali membentangkan tugasan aku mengenai kecekapan MAMMA.COM sebagai sebuah enjin pencarian melalui beberapa kaedah pencarian maklumat. Dengan sangat tidak bersedia tugasan itu dilakukan saat - saat akhir kerana terlalu sibuk dengan kerja dan minggu itu aku bekerja syif malam, maka semangat untuk melakukan tugasan pelajaran di siang hari terbantut dek rasa letih dan mengantuk. Sesudah pembentangan, Prof Sohaimi memberi komen di mana tugasan aku kurang baik. Aku mengaku aku tidak punya masa untuk melakukannya dengan lebih baik, mujur saja aku terpaksa 'mencuri' tugasan yang sama daripada rakan sepejabat yang sama-sama bergelar pelajar separuh masa. Usai pembentangan, aku pulang dengan perasaan yang amat tidak berpuas hati kerana gagal membuat tugasan mengikut kriteria yang diminta Prof Sohaimi dan keletihan amat menguasai diri...

Sebelum pulang, aku singgah di pasar malam berdekatan pekan Subang, konon mahu mencari laksa yang telah lama aku idamkan. Mujur ada, dan kesempatan yang ada juga aku membeli selonggok durian pada harga RM10. Hujan turun renyai-renyai, fikirku dengan memakan laksa yang akan kupanaskan kuahnya nanti dan beberapa ulas durian mampu memanaskan badan daripada kesejukan ketika berada di dalam lab yang masih bersisa di badan. Tiba di rumah, berehat seketika dan televisyen kuhidupkan, untung sekali malam tadi ada tayangan filem Spiderman II. Dengan laksa yang hangat, aku makan dengan penuh berselera, dan kerana bau durian amat menggoda, ia kubuka dan kumakan dengan sedikit lahap, sudah agak lama tidak memakan durian, kali terakhir pada sebelum bulan puasa lalu. Alhamdulilah syukur pada Allah swt di atas rezeki yang Kau kurniakan...

Perut kenyang, sambil bersandar lesu di kerusi, tengah malam tadi kulanjutkan hidangan mata dan telinga dengan menonton MAMA Award 2012 di 8TV. Amat terhibur dengan persembahan artis K Pop, terutama sekali persembahan PSY dengan Gangnam Style, bahu dan kakiku sesekali tergerak dengan sendirinya mengikut alunan muzik dan seolah - olah turut mahu menari tarian yang menjadi fenomena itu. Mataku semakin keletihan, dan tanpa kusedar pagi Sabtu tadi aku kesiangan...

Dan kini, sesudah menonton ucapan penutup Datuk Seri Najib pada persidangan agung UMNO, tanggungjawab terhadap pelajaran perlu dilaksanakan. Sepanjang siang tadi badan berasa tidak sihat, seperti demam, kufikir ini mungkin kerana durian...





Tiada ulasan: