SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

13 Disember 2012

LEMAH...



Malam ini aku ingin memperkatakan tentang LEMAH...

Makan malam tadi seperti biasa, tomyam campur + telur dadar + sambal belacan + nasi putih + teh o panas = kenyang. Inilah kelemahanku, gagal menahan nafsu makan...

Tugasan keempat untuk subjek Prof. Sohaimi selamat dibentangkan dengan kelam kabut sekali sebelum maghrib tadi. Ternyata aku memang tidak suka membuat pembentangan. Aku kurang berkeyakinan untuk berucap dan bercakap di khalayak ramai, dan itulah salah satu kelemahanku. Barangkali juga aku telah kehilangan semangat kerana rakanku yang ketiga dalam kelas IM770 sudah lenyap entah ke mana. Nampak gayanya hanya tinggal aku seorang yang akan meneruskan pengajian dalam kejituan semangat yang semakin hari semakin pudar. Semasa semester 1 kelasku yang majoritinya adalah perempuan turut merangkumi tiga pelajar lelaki sepenuh masa dan empat pelajar lelaki yang bekerja termasuklah aku, dan setiap semester seorang demi seorang menghilang, seorang berhenti terus dari pengajian disebabkan kekangan kerja, seorang lagi bercuti 1 semester kerana menunaikan haji dan seorang lagi terus mendiamkan diri seribu bahasa tanpa kutahu akibat dan puncanya. Entahlah apa akan aku hadapi semester akan datang...

Minggu ini Caer datang bercuti di rumahku untuk dua minggu, alhamdulilah setidak-tidaknya aku punya teman untuk berbual daripada sendirian. Aku bukan tidak mahu menyewakan bilik kepada orang lain, ini adalah disebabkan sikap aku sendiri yang amat mementingkan ketenangan, keselesaan dan keselamatan. Tiga tahun yang lalu adik bongsuku tinggal bersamaku untuk tempoh tiga bulan dan aku amat sedih selepas dia tidak lagi tinggal bersama selepas menamatkan latihan praktikalnya di syarikat tempat aku bertugas. Hilang teman untuk aku bergurau senda. Dalam tempoh itu aku cuba juga mencari teman untuk sama-sama menyewa namun tidak menemui individu yang bersesuaian. Aku tidak bersikap mementingkan diri sendiri tetapi ada masalah tertentu yang membataskannya. Dan kerana itulah aku sanggup membayar sewa rumah dalam jumlah yang besar daripada berkongsi dengan orang lain yang mungkin sukar untuk aku percayai. Entahlah, ini juga salah satu kelemahanku...

Semalam aku bermimpikan bekas teman wanitaku dan situasinya begini. Oleh kerana si dia mirip dengan seorang juruhebah wanita di sebuah radio swasta yang terkenal, si dia dijemput sebagai tetamu di slot pagi radio berkenaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar di mana orang ramai menjadi keliru dengan penampilan si dia di khalayak ramai yang disangkakan juruhebah wanita popular itu. Aku sendiri kurang pasti kenapa aku bermimpi sedemikian rupa. Maafkan aku kerana masih mengingatimu, itulah juga salah satu kelemahanku kerana selalu mengenangkan cinta yang pernah kami bina bersama namun akhirnya punah di tengah jalan...

Sejurus tiba di tempat letak kereta di syarikat tempatku bekerja, aku terus menghubungi seorang sahabat baikku kerana sudah bebarapa hari dia mendiamkan diri. Mungkin dia terlalu sibuk dengan tugas dan aku sendiri tidak keruan dengan kerja dan pelajaran. Dua kali panggilan dibuat kepada dua nombor telefon bimbitnya namun tidak dijawab. Agaknya benarlah dia sibuk dengan tugasnya dalam bidang hiburan. Adakalanya situasi menjadi rumit kerana aku akan berfikiran negatif terhadap dia jika dia tidak menghubungiku dalam jangka masa yang lama. Entahlah, bukan aku tidak percayakan dia, cuma kelemahanku adalah kerana mudah bersangka buruk...

Lemahnya kurasakan malam ini kerana masih perlu bekerja di waktu malam tatkala insan lain enak dibuai mimpi indah. Sudah 0007am, aku perlu memulakan tugas, sekian...

 

Tiada ulasan: