SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

07 Januari 2013

AKU SI LELAKI SKEMA...



Selamat pagi isnin, dunia !!!

Entah angin apa yang telah menyapa dan menyeru aku untuk menaip satu entri pada pagi ini sebelum aku pergi kerja.  Sudah seminggu usia tahun 2013 ini dan niat untuk berblog baharu sahaja menjengah, mengetuk pintu dan jendela minda aku untuk menulis sesuatu, walaupun pada hakikatnya aku tidak menulis, aku menaip huruf - huruf di papan kekunci dan ia dipaparkan di skrin komputer. Apa sahaja yang mahu aku perkatakan tidak lagi direncana, mungkin apa sahaja yang terlintas di minda pasti akan diterjemahkan dalam bentuk susunan huruf yang membentuk ayat berdasarkan idea, dipengaruhi situasi dan keadaan semasa lalu terhasillah sesuatu yang aku sendiri pasti tidak mengerti untuk membuat orang lain memahaminya. Sila abaikan ayat yang bergaris itu. Apa yang pasti, ini adalah entri kedua untuk tahun 2013 dan ia tetap sama seperti entri -entri sebelumnya, kesinambungan itu jelas menggambarkan bahawa aku terkapai - kapai dan tersasar dalam hala tuju aku berada di dalam dunia blog...

Hari ini aku dikerahkan untuk bekerja pada syif petang. Aku rasa lebih santai jika bekerja syif petang, bebas untuk sekadar memakai kasual, dan tidak perlulah aku menyumpah - nyumpah mana - mana pemandu kenderaan ketika kesesakan jalan raya walaupun pada jam 7 pagi bila mana mereka sering sahaja 'mencilok' dari sebelah kiri untuk memotong dengan muka yang bersahaja dan terus mara ke hadapan tanpa menghiraukan pemandu lain. Apakah itu mentaliti hidup sesetengah insan di kota metropolitan ini? Ada kalanya sikap oportunis mereka di jalan raya seakan sudah jelas menggambarkan cara hidup mereka yang sebenar iaitu mengambil apa sahaja kesempatan ke atas peluang yang ada selagi boleh !! Maaf, sedikit emosi apabila mengenangkan sikap buruk sesetengah pemandu di bumi bertuah ini... 

Aku bangun agak lewat pagi tadi, bukan bermakna aku tidak bangun pada subuh hari. Hampir ke awal pagi aku masih tekun membaca dua buah novel yang telah lama aku beli tetapi masih belum juga dibaca dek kerana mahu menumpukan fokus kepada peperiksaan dan tugasan cadangan penyelidikan. Kedua - dua novel tersebut adalah hasil tulisan dua penulis lelaki yang berkisar tentang hidup lelaki yang mendepani hidup dalam ruang lingkup pekerjaan dan percintaan terhadap wanita, dan kurasakan janggal sekiranya aku membaca novel penulisan wanita yang sudah terang lagi bersuluh menyelami rasa cinta dan kasih sayang kepada lelaki, oh tidak...

Pukulan dua buah novel sederhana tebal itu menyebabkan aku sengaja lupa kepada siaran langsung Anugerah Juara Lagu ke-27. Dan mungkin juga aku sudah kurang berminat dengan dunia hiburan, menyebabkan aku terus menyambung pembacaan sehingga lewat malam. Dua keping tiket untuk menghadiri acara berkenaan dikira hangus, sama seperti nasib yang menimpa tiket - tiket acara yang sama pada tahun - tahun kebelakangan, ternyata minat aku terhadap hiburan kian pudar dan aku menyedari bahawa pada peringkat umur sebegini aku seharusnya menumpukan kepada perkara yang lebih serius daripada hiburan yang cuma bersifat dunia...

Dengan bihun goreng yang aku sediakan, aku mencoret - coret di minda apa yang mahu aku perkatakan. Kebelakangan ini kecenderungan aku untuk menulis di blog sudah tidak segah dulu, sebelum ini hampir setiap hari ada sahaja entri terbaharu, apa sahaja yang berlaku di sekelilingku akan aku laporkan di dalam blog ini, namun kini ia berbeza, tanpa aku sedar aku sudah hilang minat untuk berblog kerana memikirkan yang ia cuma bersifat sementara dan pendekatan aku menceritakan kisah hidup aku di sini bukanlah sesuatu yang boleh aku harapkan untuk menarik minat orang untuk membacanya. Dari awal lagi niat aku berblog di sini adalah untuk menceritakan tentang diriku sahaja, tiada niat untuk meraih simpati dan ia semata - mata untuk meluahkan rasa hati yang mungkin sukar untuk dimengertikan oleh mana - mana manusia sekalipun. Aku cuma seorang lelaki 'skema', lelaki yang dikaitkan dengan istilah 'skema' adalah lelaki yang menyisir rambutnya ke sisi sama ada kiri atau kanan, lelaki yang pastinya berkaca mata, lelaki yang tidak tahu bercinta dan masih sendiri seperti aku dan lelaki yang tidak mempunyai hobi kecuali berblog seperti aku. Blog ini tidak mengerti apa - apa, paling tidak dengan berkongsi rasa hati di sini sedikit melegakan dan menenangkan. Hanya pada Allah swt sahajalah tempat untuk aku mengadu...

Ah, tahun 2013 bukan tahun untuk aku berduka nestapa seperti mana tahun - tahun sebelumnya. Dan persepsi lelaki 'skema' yang aku sandang sekian lamanya harus kuhalau dan kuusir pergi jauh - jauh meninggalkan aku, yang pasti amat banyak peluang sedang menanti aku di hadapan, tugas aku cuma perlu jadi lebih berani, dengan menghadiri seminar Berani 2013 pada 26 Januari hadapan di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Apa yang aku harapkan dengan menghadiri seminar motivasi sedemikian akan mengubah persepsi 'skema' aku menjadi lelaki yang lebih berketrampilan... cewahhhhhhhhhhhhh...

Masa untuk bersiap pergi bekerja, tidak pasti mahu berbekalkan bihun goreng yang aku sediakan tadi atau makan sahaja di kantin pejabat, pasti ada lauk kegemaran, paling tidakpun dapat makan bersama dengan kawan - kawan se'skema'. Apa yang pasti aku tetap perlu pergi bekerja tanpa atau dengan bekalan makanan...

Sekian... 





Tiada ulasan: