SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

16 Januari 2013

HAJAT...




Mimpi ngeri...

Tidak tergambar bagaimana ngerinya perasaanku kelak menyertai sesi 'lempas otak' di Gold Coast minggu hadapan selama tiga hari dua malam yang dianjurkan sebuah unit baru di syarikat tempat aku bekerja, kerana aku akan menyertainya bersama - sama dengan segelintir orang - orang yang dapat aku istilahkan sebagai tidak 'ngam'. Mati akal untuk menyuarakan alasan kepada Pengurus, hajat untuk mengelakkan diri ternyata sudah terkubur tanpa nisan dan menyedari akan sikap Pengurus yang tidak gemarkan sebarang alasan, terpaksalah aku bersetuju walaupun hati amat berat untuk pergi. Selain aku sememangnya tiada yang secara sukarela mahu untuk menyertainya, semuanya sudah menolak, semuanya punya tanggungjawab tersendiri dan memang mahu mengelakkan diri, hanya aku yang tinggal untuk mengisi kuota unit aku bagi sesi berkenaan. redhalah, dan berfikiran positif...

Kerja yang ditugaskan kepada aku sepanjang minggu ini selamat disiapkan tepat 6 petang tadi, maka untuk dua hari esok dan lusa aku cuma akan berpura - pura menyibukkan diri. Hajat untuk menambah kuantiti hasil kerja sentiasa mekar di hati, bukan untuk berbangga diri tetapi hasil kerja berkenaan adalah penentu dalam penilaian prestasi kerja di hujung tahun, namun apabila memikirkan sikap dengki sesetengah rakan sepejabat, hasrat itu terbantut. Tidak perlulah aku berlebihan lagi dalam menambah kuantiti pada kerja yang ditugaskan, kerana sesungguhnya terlalu ramai yang mencemburui kelebihan aku menggandakan hasil kerja melebihi sasaran. Aku sekadar fokus pada kerja yang diamanahkan dan tugas itu tidaklah terlalu sukar, dengar apa yang dikatakan, dan tafsirkannya dalam bahasa Inggeris, itu sahaja, tetapi mentaliti Melayu penuh dengan sikap cemburu, sukar menerima hakikat apabila melihat bangsa sendiri melebihi satu sama lain...

Sudah berhari - hari aku mengelakkan diri daripada makan selepas 8 malam, oleh yang demikian aku lebihkan sedikit sarapan dan makan lewat petang supaya pada sebelah malam aku tidak perlu lagi mengisi perut. Ini adalah kerana aku berhajat mahu mengurangkan sedikit berat badan, sungguh - sungguh mahu mencapai berat badan ideal sekitar 60 kilogram, dan jika itu menjadi kenyataan, pasti aku akan kelihatan tampan... 

Sehingga ke saat ini aku belum berkesempatan bersenam secara berkala, sekadar bermain dengan 'dumb bell' supaya berpeluh, itu sudah pasti membantu membakar sedikit lemak - lemak di badan daripada tidak bersenam langsung. Hajat di hati mahu bersenam di gymnasium yang baru beroperasi berdekatan tempat tinggalku, namun aku sedikit pemalu... 

Malam tadi aku mula memasang hajat untuk bercinta lagi. Dan kali ini aku nekad mahu membawa perhubungan itu sehingga ke jinjang pelamin, bahkan lebih daripada itu, aku mahu sehidup dan semati bersama pasanganku itu. Perasaan cinta itu amat indah, pengalaman - pengalaman sebelum ini mengajar aku akan erti percintaan, sukar mahu digambarkan dengan kata - kata, tetapi ia amat membahagiakan. Ya Allah, temukanlah aku dengan seorang perempuan untuk aku mencintainya seumur hidupku, untuk menemani hidupku kala susah dan senang, untuk melahirkan zuriat untukku, untuk bahagia bersama - sama selamanya...








Tiada ulasan: