SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

13 Januari 2013

MEREKA DAN PhD...




Alhamdulilah...

Rasa penuh syukur kepada Allah swt, akhirnya motorsikal aku selamat dibaiki, rosaknya tidak seberapa, cuma sudah sampai masanya ia perlu ditukar tayar tubeless yang baharu, bateri baharu, minyak hitam baharu, lampu belakang baharu, cermin pandang sisi baharu dan serba serbi serba baharu, alhamdulilah, dengan kembalinya motorsikal itu memberi khidmat kepada aku setidak - tidaknya tidak perlulah aku terkejar - kejar ke pejabat sesudah subuh kerana fobia dengan kesesakan jalan raya. Dapatlah aku memberi ruang dan peluang kepada tuan empunya kereta - kereta mewah dan besar milik saudagar - saudagar dan ahli perniagaan serta amoi - amoi meluncur selesa di jalan raya tanpa gangguan daripada kereta Proton Gen 2 rona hitam keluaran tahun 2006 milikku, tidaklah mereka perlu 'mencilok' di jalanan dengan muka tidak bersalah...

Besar jasa motorsikal jenama Kriss milikku itu, dengan separuh duit PTPTN dan separuh wang arwah ayahku, sebuah motorsikal rona hitam akhirnya aku miliki pada tahun 2002. Alhamdulilah, dapatlah aku bergerak dengan mudah ketika melanjutkan pelajaran di UiTM. Tidak memberikan aku sebarang karenah dan masalah, Kriss hitam itu terus berbakti memacu aku laju - laju ke mana sahaja destinasi yang ingin aku tujui. Pernah memboncengkan gadis - gadis, pernah hampir dicuri tatkala aku terlupa akan kunci yang aku tinggalkan tanpa aku sedar di parkir PTAR 1 UiTM, pernah dirempuh motorsikal lain dan menyebabkan aku cedera agak serius. Dan bermula pagi esok, Kriss dengan nombor pendaftaran KBC#### akan menyambung khidmatnya selagi ia diperlukan. In sha Allah aku tidak akan mensia - siakan kamu wahai motorsikal kesayanganku...

Sekarang aku mahu memberi peluang kepada Proton Gen 2 hitam itu berehat seketika di parkir tidak berbumbung flat kediamanku, dalam masa terdekat ia bakal dibawa ke bengkel untuk penyelenggaraan. Bahkan kini ia kembali menghadapi beberapa masalah kecil yang kebiasaanya menimpa segelintir kereta buatan tempatan, banyak rungutan yang aku dengar dan aku baca namun apapun masalahnya, kereta itu sudah banyak jasanya terhadap aku sejak dimiliki Jun 2006. Ke utara, selatan, timur, barat, bahkan jika Laut China Selatan direntangi jambatan sekalipun, sudah pasti bumi Sabah dan Sarawak akan aku jejaki dengan kereta buatan Malaysia itu. Entah sudah kali keberapa ia akan melalui lebuhraya PLUS selepas Tahun Baru Cina nanti, aku mahu bercuti di kampung sebelum semester baru bakal bermula awal bulan Mac depan. Pastinya aku akan sibuk semula dengan tugasan pelajaran, tidak dapat kubayangkan apa bakal berlaku pada semester baru kelak, kerana pengajian sarjana yang sedang aku lalui bakal berakhir penghujung tahun ini, jika mengikut perancangan, In sha Allah...

Semangat untuk menaip entri kembali selepas aku berada dalam kebosanan, hari ini hari Ahad, dan aku memang bercadang untuk berehat sahaja di rumah usai membaiki motor di bengkel berdekatan rumah. Mahu tidur tidak terlena, mahu keluar terasa malas, mahu berjumpa kawan aku sedar aku tidak mempunyai kawan. Aku lebih rela bersendirian daripada mengganggu hidup orang lain. Akhirnya aku menghabiskan masa dengan ulang baca novel yang semakin bertambah koleksinya dan menonton semula klip Anugerah Juara Lagu ke-27 yang aku buat salinannya di pejabat. Seminggu sudah berlalu dan atas prinsip aku tidak lagi terlalu obses dengan hiburan, aku menonton untuk menyenangkan hati, ternyata lagu nyanyian Black yang bertajuk 'Teman Pengganti' amat mempesonakan dan penuh erti pada sesiapa yang memahami makna yang tersirat di sebalik lagu berkenaan. Bosan dengan lagu itu, aku beralih kepada Youtube dan terlihat akan paparan lagu 'Bawa Aku Pergi' nyanyian Kaka Azraf bersama Zizan, lagu itu pernah diharamkan penyiarannya kerana merakamkan maksud yang negatif dan mampu mempengaruhi golongan muda  - mudi untuk mencontohi perbuatan yang terkandung di dalam lirik lagu tersebut. Berkali - kali aku mainkannya kerana melodi lagu tersebut agak santai, maka tersasarlah aku dari prinsip tidak obses dengan hiburan. Ia ternyata sekadar lagu dan tanpa lagu itu sekalipun segelintir golongan muda - mudi sekarang sudahpun melakukan perkara negatif, bahkan sudah lebih daripada jangkaan. Remaja... penuh perasaan ingin tahu. Mereka masih anak kecil yang meronta - ronta dalam fizikal dewasa, sebagai orang yang lebih berusia, kita harus membimbing mereka ke jalan yang benar... Malah aku sendiri masih perlukan perhatian kerana aku tidak mahu lagi tersasar ke denai - denai penuh dosa... 

Dengki... itulah perasaan yang pasti ada pada hati sesetengah manusia yang hidup dan pernah hidup di muka bumi milik Allah swt ini. Perasaan ini akan menghantui hati dan pemikiran seseorang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak memuaskan hati, lalu syaitan yang direjam memainkan fungsi, dengan meniupkan api prasangka dan iri hati, supaya wujud situasi tidak sihat di antara golongan manusia, supaya manusia yang terlibat dengan konflik akan berantakan dan berlakulah perpecahan. Mukadimahnya terlalu panjang, dan dipendekkan cerita, aku sedang melalui keadaan tersebut. Cemburu dan dengki merasuk pendirian sesetengah rakan pejabat oleh kerana aku mendapat kredit terhadap hasil usaha aku bekerja dengan baik sepanjang tahun lalu. Pengurus di pejabat aku memberikan aku penilaian yang amat baik, memberikan aku tahap '5' dalam penilaian prestasi kerja yang aku lakukan kepada satu tugas, bukannya keseluruhan tugas. Namun, ada pihak yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan bagaimana aku mampu melakukan tugas melebihi sasaran dan mengatasi apa yang telah mereka usahakan. Prinsipnya mudah, aku berminat dengan tugas yang diberikan, aku tidak membuang masa seperti mana mereka yang lebih banyak keluar rehat dan aku datang awal ke pejabat untuk memulakan tugas. Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu mengerti, seolah - olah menafikan kebolehan aku dan mengatakan bahawa mereka adalah lebih baik. Kalau mereka yakin dan mampu melakukan dengan lebih baik, kenapa mereka tidak membuktikannya? Dan kelebihan aku dipertikaikan kerana aku tidak sehebat mereka, aku sekadar staf biasa yang jarang bersuara dan lurus bendul. Tidakkah mereka sedar, aku datang awal ke pejabat kerana mahu menggantikan satu jam waktu kerja di mana aku pulang awal untuk menghadiri kelas, dan aku tidak seperti mereka yang gemar mengambil masa yang lama untuk berehat ketika sedang bekerja. Aku mencari masa untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas, bukannya seperti mereka yang membazirkan masa dengan berehat terlalu lama di kafeteria dan merokok kerana bosan dengan tugas yang diamanahkan. Di manakah kesalahan aku yang memperolehi kredit di atas daya usaha aku sendiri? Mereka juga mengatakan aku mampu mencapainya kerana aku tidak punya tanggungjawab, aku belum berkahwin sedangkan mereka sudah berumahtangga dan tidak dapat datang awal ke pejabat demi untuk menguruskan keluarga terlebih dahulu. Ya! Memang aku tidak ada tanggungjawab dan itulah peluang yang aku ambil untuk bekerja dengan lebih hemah kerana hanya peluang itu sahaja yang aku ada dan aku pasti apabila aku mendirikan rumahtangga kelak aku akan menghadapi nasib yang sama. Sementara aku masih belum berkeluarga aku akan bekerja dengan baik, dan bukannya apabila sudah memiliki keluarga kita sudah tidak perlu bekerja keras. Inilah mentaliti yang mereka perlu perbetulkan. Jangan buang masa, jangan mudah menyalahkan orang lain, dan fahami keadaan diri orang lain supaya wujud perasaan toleransi dan saling bekerjasama. Sedangkan aku amat memahami situasi yang mereka hadapi, tinggal jauh, konflik dengan isteri, masalah kewangan, tetapi kenapa mereka seakan tidak cuba untuk memahami keadaan diri aku? Kata - kata mereka yang tidak berpuas hati dan penuh iri hati  itu sering dibincang dalam dialek pantai timur dan jelas aku mengerti, aku sekadar berpura - pura tidak memahaminya, bohonglah jika aku mengatakan aku tidak berasa apa - apa, sesekali hatiku pedih kerana diperkatakan sedemikian rupa.  Aku sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan mereka, menjaga hati mereka, membantu tanpa mengharapkan balasan, tetapi rasa hina kerana kedengkian mereka yang aku terima... 

Ya Allah, kuatkanlah imanku...



Tiada ulasan: