SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

04 Februari 2013

BELAJAR MENJAHIT ITU MENYERONOKKAN !!



Pada 2 dan 3 Februari 2013 yang lalu, aku menyertai kelas jahitan yang dianjurkan Kak Tik (sila klik pautan untuk maklumat lanjut) yang diadakan di dewan konferen, Masjid Al Gufran, TTDI. Sebelum ini aku hanya bertandang ke masjid itu setiap kali solat Jumaat sahaja dan kali ini aku hadir di situ selama dua hari  untuk bengkel kemahiran jahitan. Bila diimbas kembali memori tentang menjahit dan jahitan ini, aku tidak punya minat yang mendalam, sekadar membantu emak memotong kain untuk membuat langsir baru tiap kali menjelang hari raya, itu sahaja kenangan yang ada, selebihnya hanya menjahit sendiri mana - mana bahagian pakaian yang terkoyak. Sebenarnya aku lebih meminati sulaman dan pernah menghasilkan sulaman yang akhirnya emak jadikan alas meja di ruang tamu (terasa bangga melihat sulaman itu di atas meja tiap kali balik ke kampung). 

Berbalik kepada kursus jahitan yang aku hadiri tempoh hari, sebenarnya aku mula menyedari akan kursus berkenaan hampir setahun lalu, ketika melayari internet bagi mencari sesuatu untuk aku lakukan pada masa lapang. Minat untuk mencuba itu sentiasa ada, cuma masa amat menghalang. Dan akhirnya masa itu tiba juga, aku mendaftarkan diri seminggu sebelum kelas bermula. Perasaan malu dan segan amat menguasai diri, maklumlah amat janggal bagiku menyertai aktiviti yang lebih cocok untuk kaum hawa, namun mungkin tekad dan azam untuk mencuba sesuatu yang baru, aku ketepikan perasaan itu.

Semua peserta berkumpul di dewan konferen 3 masjid berkenaan, ternyata hanya aku peserta lelaki tunggal selain seorang peserta bukan Melayu. Majoriti peserta adalah wanita, ada yang datang bersendirian dan ada yang datang sekeluarga. Kelas bermula dengan sesi perkenalan, dan tanpa membuang masa tenaga pengajarnya yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Tik mula mengajar semua peserta dengan bantuan tiga orang anak - anaknya. Pelajaran bermula dengan mengambil ukuran dan ini sedikit mengganggu aku kerana berasa terlarang untuk mengambil ukuran peserta yang bukan muhrim, kebetulan aku berbekalkan baju kurung yang dipinjam daripada rakan sepejabat, dan mungkin Kak Tik menyedarinya, dia memberikan ukurannya sendiri kepadaku setelah aku berkata ukuran emakku kurang lebih seperti Kak Tik. Barangkali hasil jahitan aku nanti boleh digayakan oleh emak, in sha Allah...

Semua peserta mula sibuk melukis pola pada kertas minyak yang dibekalkan dan akhirnya siaplah pola baju kurung masing - masing. Tibalah masanya untuk memotong kain, perasaan teruja semakin memuncak melihatkan kain sudah dipotong mengikut pola dan bersedia untuk dicantumkan. Aku sedikit tertinggal berbanding dengan lain - lain peserta, daripada proses memotong bahagian kain sehinggalah menjahitnya. Namun akhirnya baju kurung hampir siap, cuma perlu ditambahkan dengan jahitan mata lalat pada bahagian leher baju dan silang pangkah pada hujung lengan baju. Hari pertama kelas berakhir dengan senyuman lebar pada wajah semua peserta kerana dapat menghasilkan baju kurung dengan tangan sendiri.



Hari kedua kelas pula tertumpu kepada penghasilan kain baju kurung. Kerja untuk memotong kain tidaklah sukar, namun apabila tiba masa untuk menjahitnya mulalah aku mengeluh kerana sedikit tertekan. Ia sedikit sukar terutama sekali untuk menjahit di bahagian pinggang. Mujur Kak Tik dan anak - anaknya banyak membantu. Seperti biasa akulah peserta yang paling lewat menyiapkannya. Menjelang petang, kira- kira 4pm kelas hari kedua berakhir dan acara penyerahan sijil penyertaan dan sesi bergambar diadakan lebih awal kerana ada seorang peserta perlu pulang awal. 



Pengalaman menyertai bengkel jahitan ini sangat berharga, sedikit sebanyak mendedahkan aku kepada peluang mempelajari teknik jahitan dan mungkin juga satu peluang kepada aku untuk memulakan sesuatu yang baru sebagai mata pencarian sampingan. Aku berharap pengajian sarjana yang hampir ke penghujung tidak terkubur dengan minat yang baru ini. Pastinya selepas ini aku akan menyertai lagi bengkel jahitan pada masa - masa akan datang. Terima kasih Kak Tik !! 



Informasi tentang bengkel jahitan ini boleh dilayari pada pautan ini bengkeljahitan.com


3 ulasan:

bukankosong berkata...

hebat demo

senang nak jahit baju sendiri

Anak Pak Muin berkata...

satgi leh bukak bisnes..haha

onlinejobmalaysia berkata...

mtk izin buat iklan ye. nk buat duit seminggu rm400-rm800? modal hanya rm30. senang je. sesuai utk surirumah dan pelajar.