SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

18 Februari 2013

DOAKAN AKU...




Alhamdulilah...

Sudah dua hari aku berada di rumah emakku yang tersayang, Puan Hajjah Marinjan Ismail Khan di Gurun, Kedah. Baru mendapat peluang untuk bercuti setelah memberi ruang terlebih dahulu kepada rakan - rakan sepejabat yang berkeluarga bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Untuk tempoh seminggu percutian ini aku tidak merencanakan sebarang aktiviti, semuanya bakal berlaku tanpa perancangan, cuma peluang diambil untuk bersama - sama dengan emak dan adik - adik setelah lebih tiga bulan tidak pulang. Maka  percambahan dan peningkatan kadar lemak - lemak tepu akibat pemakanan yang berlebihan pasti 100 peratus akan berlaku. Sekembalinya ke Kota Damansara minggu hadapan aku perlu meningkatkan kuantiti senaman melebihi had kebiasaan. Bukankah azamku tahun ini mahu kurus sempena hari perkahwinanku? Perkahwinan??



Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M) yang aku perolehi minggu lepas belum aku tebus guna. Kebarangkalian untuk aku menambah koleksi novel adalah tinggi kerana aku lebih cenderung untuk membeli novel berbanding bahan bacaan berbentuk ilmiah. Ini pasti menyalahi fungsi sebenar baucer buku berkenaan, tetapi aku akan tetap memanfaatkannya untuk pelajaran yang berbaki dua semester lagi, Apapun, terima kasih kerajaan Malaysia di atas bantuan yang dihulurkan. Cuma lima subjek masih berbaki untuk menyempurnakan pengajian sarjana, in sha Allah, pertengahan tahun hadapan aku akan menggengam segulung ijazah sarjana dan pengajian ke peringkat PhD pasti akan menyusul, aku semakin bersemangat untuk terus belajar !!

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kalian yang sudi memberikan semangat dan dorongan menerusi entri aku yang terdahulu yang memaparkan kesedihanku terhadap pertunangan seorang wanita yang sememangnya aku amat berhajat untuk memilikinya. Namun apakan daya, jodohnya milik dia bersama lelaki lain. Aku redha, dan aku tidak akan sesekali lemah menghadapi dugaan daripadaNya. Sekiranya si dia membaca penulisanku ini, aku mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah di atas pertunanganmu, aku mendoakan semoga dirimu berbahagia bersama tunanganmu itu...

Sepulanganku ke Gurun berbekalkan beberapa buah novel yang belumku sempat baca walaupun sudah berminggu - minggu dibeli. Dek kerana mengutamakan kerjaya, aku lupa untuk mengiburkan diri sendiri. Ternyata dengan membaca apa sahaja bahan bacaan dapat membuatkan aku lupa seketika pada apa sahaja masalah yang melanda di jiwa selain mengisi masa yang terluang dan pastinya menambahkan ilmu dan pengetahuan yang baru. Baru - baru ini aku membeli novel bersiri DIARI MAT DESPATCH, lima siri kesemuanya yang dihasilkan oleh Bahruddin Bekri. 



Watak utama di dalam novel berkenaan adalah Idlan Rayyan yang bekerja sebagai seorang 'mat despatch' yang menghadapi pelbagai cabaran dalam usahanya untuk bergelar editor sambilan. Sesuatu yang amat menyentuh perasaanku apabila membaca mukasurat 168 siri kelima Diari Mat Despatch dengan tajuk 'Naluri Ayah', menggambarkan tentang Rayyan yang menyesal akan perbuatannya yang menyinggung perasaan bapanya. 



Penulisan Bahruddin Bekri pada mukasurat berkenaan seakan hidup dan apabila membacanya tanpa dipaksa ia membuatkan aku menitiskan air mata semahu - mahunya. Mungkin aku mudah tersentuh kerana aku sudah tidak mempunyai ayah dan aku mengambil peluang ini untuk berpesan kepada kalian agar menghargai lelaki yang kalian gelarkan sebagai ayah, bapa, papa, abi, abah dan sebagainya selagi dia masih hidup... 

Apa lagi yang mahu aku perkatakan? sebelum pulang ke Gurun, aku singgah di Kampung Lubuk Merbau yang terletak di Kuala Kangsar, Perak, menemui saudaraku Caer yang sudah kuanggap seperti adikku sendiri. Menemui beliau, emak dan kakaknya seakan aku sudah pulang ke pangkuan keluarga. Ternyata mereka sekeluarga bukan lagi orang asing bagiku. Sebenarnya, setiap kali aku berhadapan dengan kakak Caer, aku merasakan suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Apakah itu yang dikatakan sebagai cinta pada pandangan pertama?? Jika ia benar, doakanlah aku...






2 ulasan:

Somoon berkata...

Terima kasih dengan perkongsian. Ada masa lawat balik ya ...

caer sasuke berkata...

dup dap dup dap..apekah tu?hehe =p