SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

23 Mac 2013

KETAGIHAN...




Assalamualaikum...

1950pm, baru terdetik di hati untuk menaip sesuatu untuk disematkan pada jurnal bulan Mac 2013. Tidak sibuk, tidak lupa, mungkin kemalasan melanda, punca utama aku alpa mencoretkan sesuatu sebagai kisah silam untuk masa depan...

Kebelakangan ini aku mulai ketagih membaca novel untuk mengisi masa lapang, dan MPH di One Utama sering kujadikan lokasi kunjungan wajib saban minggu semata - mata untuk mendapatkan novel yang bersesuaian untuk dibaca. Sebelum ini aku agak selektif dalam memilih bahan bacaan, keutamaan sering diberi kepada majalah dan buku yang berbentuk ilmiah namun selepas mengalami ketagihan membaca siri novel tulisan Bahruddin Bekri iaitu Diari Mat Despatch, aku terus - terusan memburu novel hasil penulisan novelis yang lain, dan keutamaannya lebih kepada novel yang dihasilkan oleh penulis lelaki, kerana aku merasakan agak janggal membaca novel yang ditulis oleh penulis wanita yang sudah terang lagi bersuluh mengupas kisah cinta sang perempuan untuk sang lelaki, mana mungkin aku membacanya... 

(sumber: sendiri)

Baru - baru ini juga aku berurusan dengan agen perumahan, dengan niat untuk membeli sebuah rumah. Setelah membuat sedikit penyelidikan di laman web hartanah dan bertanyakan kepada pihak yang berkenaan, aku bercadang untuk membeli satu unit rumah apartment di Puncak Alam, memandangkan kawasan tersebut giat dibangunkan setelah wujudnya kampus UiTM Puncak Alam dan setelah diberitahu oleh agen berkenaan akan potensi hartanah di kawasan tersebut yang bakal melonjak berlipat kali ganda, aku pasti tidak tersilap membuat perhitungan. Khabarnya fakulti - fakulti di UiTM Shah Alam bakal berpindah ke lokasi barunya di Puncak Alam. Mungkin rumah yang bakal kubeli itu boleh disewakan jika aku tidak mahu mendudukinya. Setelah melihat sendiri keadaan rumah berkenaan dan suasana persekitarannya, aku membuat keputusan muktamad untuk mendapatkan rumah itu walaupun ia sedikit jauh untuk pergi ke tempat kerja. Untuk permulaan aku merasakan bahawa dengan memiliki rumah yang kecil sudah memadai supaya tidak terlalu terbeban dengan bayaran bulanannya, rumah itu berukuran 760 kaki persegi, berada di tingkat 4 tanpa lif, kurasakan sudah cukup sesuai untuk diduduki bagi memulakan kehidupan berkeluarga, dan setelah kereta yang dimiliki sekarang habis tempoh sewa belinya dalam masa dua tahun lagi, aku bercadang mahu membeli rumah yang lain pula, In sha Allah...

Dua minggu yang lalu, tercetus insiden yang tidak pernah berlaku dalam hidup aku sebelum ini. Ini adalah tentang satu subjek elektif untuk pengajianku di UiTM. Seorang kenalan memberi cadangan untuk aku membetulkan pendaftaran subjek elektif di pejabat fakulti supaya membolehkan aku mengambil subjek yang tidak diaturkan untuk aku secara automatik di portal i-student UiTM iaitu subjek Fundamental of Knowledge Management, subjek yang sepatutnya diambil semasa semester 1. Lantas aku berfikir dan mengambil tindakan 'terburu-buru' menggugurkan subjek User Needs & User Studies dan mengambil subjek Fundamental of Knowledge Management. Pensyarah subjek tersebut menghubungi aku setelah mengetahui hal berkenaan dan bertanyakan tindakan mengejut aku menggugurkan subjek yang dikendalikan oleh beliau.  Aku cuba 'menegakkan benang basah' dengan mengatakan bahawa aku tidak boleh mengambil subjek User Needs & User Studies atas dasar perlu mengikut syarat pengajian yang telah diprogramkan dengan mengambil subjek Fundamental of Knowledge Management dan aku menambah lagi bahawa aku telah 'dinasihatkan' oleh koordinator program supaya berbuat demikian. Sebenarnya aku terpaksa 'menipu' pensyarah tersebut kerana mahu bersama rakan - rakan yang lain mengambil subjek elektif mengikut program IM770 dan juga tidak mahu terus membuang masa bersoal jawab lebih lama dengan pensyarah berkenaan yang bersikap terlalu 'mengambil berat'. 

Tidak lama kemudian koordinator program telah menghubungi aku dan menyoal tindakan aku mengaitkan namanya yang dikatakan telah 'menasihati' aku menukar subjek elektif. Terus tercetus masalah yang telah melibatkan tiga pihak iaitu aku, koordinator program dan pensyarah subjek tersebut. Pensyarah tersebut telah 'berperang mulut' dengan koordinator program IM770 kerana aku!! Aku diminta bertemu dengan koordinator program untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Keesokannya seperti diminta aku bertemu dengan kordinator program tersebut dan terus memohon maaf sambil menjelaskan hal yang sebenar. Mujur koordinator program berkenaan amat memahami keadaanku namun dia meminta aku mengambil subjek elektif yang telah diaturkan untuk aku seperti mana yang telah diprogramkan di dalam sistem pendaftaran secara atas talian. Bermakna subjek User Needs & User Studies sememangnya sudah diaturkan 'cantik sedemikian rupa' untuk aku dan bukannya subjek Fundamental of Knowledge Management. Aku telah menghubungi pensyarah subjek itu dan memohon maaf, mujur dia mengerti dan sudah menjangkakan masalah itu akan berlaku. Minggu berikutnya aku masuk ke kelas pensyarah berkenaan, tanpa sebarang masalah. Alhamdulilah, pensyarah - pensyarah fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Puncak Perdana amat profesional, cuma sesetengah pelajarnya sahaja iaitu aku yang suka bertindak sendiri yang akhirnya menyusahkan pihak lain. 

Namun masalah lain pula timbul, subjek pensyarah berkenaan bertindih dengan kelas pelajar lain yang mahu mengambilnya dan kerana aku tidak dapat mengubah jadual subjek tersebut ke hari khamis seperti yang diminta mereka membuatkan ramai pelajar lain tidak dapat menyertai kelas itu. Sekali lagi aku dalam dilema, adakah aku perlu menggugurkan subjek System Analysis & Design yang dijadualkan pada hari Khamis untuk membolehkan subjek User Need & User Studies diubah kepada hari berkenaan bagi membolehkan pelajar lain mengambilnya atau aku mementingkan diri sendiri dengan meneruskan subjek User Need & User Studies pada hari Selasa dan menyebabkan pelajar - pelajar lain gagal mendaftar untuk subjek tersebut ? Akukah atau merekakah yang perlu berkorban ?

Ingin juga aku kongsikan di sini mengenai ketagihan aku menonton sebuah drama bersiri Korea yang kini bersiaran di TV AL HIJRAH iaitu Jewel In The Palace yang sebelum ini pernah bersiaran di saluran 8TV dan NTV7 beberapa tahun lalu. Ketika ditayangkan di saluran milik Media Prima Berhad itu aku tidak dapat menontonnya dengan konsisten kerana sibuk dengan tugasan dan ketika masih disiarkan di TV AL HIJRAH juga aku tidak berkesempatan. Supaya lebih mudah untuk ditonton aku membeli DVD drama bersiri itu pada harga RM169 ketika berkunjung ke Setia City Mall hujung minggu lalu yang ditawarkan pembelian 1+1 di mana dengan membeli 1 siri DVD aku mendapat percuma 1 lagi siri DVD yang lain, tanpa berfikir panjang aku mengambil DVD drama siri Coffee Prince yang juga pernah disiarkan di 8TV kerana mengenangkan lagu - lagu runut bunyi di dalam siri berkenaan sangat menarik. Ketagihan menonton Jewel In The Palace atau Dae Jang Geum membuatkan aku kekal kaku di hadapan televisyen dari siang ke malam dan dari malam ke siang. hasil carian di Google mendapati bahawa drama ini mendapat sambutan di luar jangkaan di negara asalnya sendiri dan juga seantero dunia. Drama bersiri 70 episod ini berkisar tentang kisah benar yang berlaku di sekitar kurun ke-14 di mana Jang Geum iaitu watak utamanya yang dilakonkan oleh Lee Young-Ae berdepan pelbagai suka dan duka. 

(sumber: google)

Beliau memulakan kehidupan sebagai pembantu dapur istana ketika usia masih kecil dan tersingkir dari istana bersama dengan Puan Han kerana suatu konflik yang melibatkan dirinya dan Puan Chui yang amat mendendaminya. Beliau berazam mahu kembali ke istana dan beliau menjadi pelajar perubatan. Setelah mendapat tauliah sebagai jururawat, Jang Geum secara kebetulan mendapat peluang untuk kembali ke istana sebagai pembantu tabib. Kehadiran Jang Geum ke istana mengejutkan ramai pihak terutama sekali Puan Chui yang telah dilantik menjadi ketua di kalangan ketua wanita istana dan juga seteru utamanya iaitu Gui Ying yang telah dilantik sebagai Ketua di bahagian dapur istana. Sekali lagi Jang Geum berdepan dengan pelbagai ujian sehingga hampir menggadai nyawanya sendiri. Jang Geum telah dilantik menjadi tabib diraja sekaligus wanita pertama yang memegang jawatan itu dan ia mencetuskan revolusi baru dalam sejarah Korea yang sekaligus mengangkat martabat wanita. Siri ini amat menarik dan harus ditonton oleh wanita sebagai pencetus inspirasi supaya terus maju dalam kehidupan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan. 

Sudah 2117pm, aku perlu menyiapkan tugasan pelajaran pula selepas ini. In sha Allah aku akan menulis lagi...




1 ulasan:

Tulip Merah berkata...

I'VE jaNG-GEUM MOVIE IN MY COLLECTION... ITS AWESOME RITE??? =)