SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

29 Mei 2013

AKU PATUT JADI PROTEGE KARAM SINGH WALIA...


Kemengantukan (Dewan Bahasa & Pustaka mesti tidak suka dengan sikap memandai - mandai aku mencipta perkataan baru), baik aku update blog dulu...
Di tv sekarang disiarkan drama bersiri baru dalam slot Sinetron iaitu Annisa yang menggantikan Aliya yang tamat episod terakhir semalam. Kenapa perlu disiarkan drama dari Indonesia aku kurang pasti, sepatutnya ketika semua orang yang mungkin mengantuk selepas makan tengah hari disajikan dengan rancangan berunsurkan hiburan sama ada konsert, game show atau apa saja, pasti ramai yang akan kembali aktif dan berjoget - joget...
Sedikit kemaluan (salah dari segi tatabahasa), itulah yang aku rasa ketika berada di training room, sepatutnya aku dan Emi perlu menghadiri kursus selama dua hari iaitu OSCAR PRESENTATION. MOTIF!! Present Oscar awards kot u ols, hahaha... Tak ada maknanya. Mujur Emi BBM kepada aku akan sesi berkenaan semalam. Dek kerana aku leka dengan tugasan ILS (Integrated Library System - yang akan aku ceritakan kemudian), terus lupa dibuatnya. Kami berdua menghampiri kaunter pendaftaran, tiada siapa di luar dan semua peserta sudah masuk ke bilik latihan. Apabila diperiksa senarai nama ternyata nama kami berdua tiada. Kaget seketika. Mujur datang seorang staf HRD, lalu kami bertanyakan tentang ketiadaan nama kami berdua di dalam senarai berkenaan. Patutlah, itu kursus lain dan kata gadis Cina itu kursus yang sepatutnya kami berdua hadiri akan diadakan pada esok - Khamis dan Jumaat. Mujur juga kami tidak terus masuk ke bilik latihan, jika tidak siapa yang malu ??

Bos seketika lalu di belakangku, mengambil air di mesin vendor air (aku tak tahu apa nama alat itu), terus aku buat - buat sibuk dengan kerja. Maafkan aku bos, aku mengantuk dan aku perlu buat sesuatu yang menjauhkan rasa mengantuk itu. Sayang bos, haha...
Untuk bulan Jun akan datang, mulai bulan lepas juga, aku diamanahkan oleh bos untuk mengendalikan tugas mengemaskinikan pangkalan data ILS (Integrated Library System) yang akan dijadikan sebagai salah satu sistem pencarian bahan di Resource Center, tempat aku bekerja. Maka, sejak April lepas aku diberikan senarai lebih seribu buah tajuk drama 'one-off' dan aku diminta untuk mengemaskinikan tajuk - tajuk drama berkenaan di ILS termasuklah menyediakan banner. Itu baru sekadar drama 'one-off', belum lagi drama bersiri dan lain - lain program tv seperti hiburan, sukan dan majalah yang lebih daripada 90 000 jam kesemuanya. Tugasnya tidak sukar, cuma sesekali aku terpaksa bersaing dengan staf lain untuk menggunakan komputer. "Sharing is caring', itulah konsep yang diamalkan di pejabatku. Malang sekali sejak mula bekerja 9 tahun lalu aku tidak punya meja dan komputer sendiri, semua perlu berkongsi dengan orang lain. Suatu ketika dulu ketika sedang melakukan tugas penyediaan bahan untuk Lembaga Penapisan Filem (LPF), bos pernah berkata sinis, katanya aku tidak punya tempat di pejabat aku ini. Dia salah tafsir dengan apa yang cuba aku sampaikan. Aku berkata aku letakkan semua pita VHS yang perlu dihantar kepada pegawai LPF di atas tempat yang selalu aku duduk. Dengan nada sinis dia berkata aku tidak ada tempat di sini. Ternyata aku berkecil hati. Aku tak salahkan dia, aku salahkan diri sendiri kenapa aku perlu untuk terus bekerja di situ sedangkan aku pernah acap kali mendapat tawaran pekerjaan di tempat lain. Mungkin memikirkan faedah yang amat baik  membuatkan aku kekal bekerja di sini dan baru saja 5 Mei lalu genap 9 tahun aku bekerja di sini. Maafkan saya bos, walaupun bos tak suka saya, tapi saya akan terus bertahan dan bekerja di sini bersama - sama dengan bos sehingga saya tidak diperlukan lagi...

Jangan baca perenggan di bawah...

28 mei lepas adalah ulangtahun kelahiran adik angkatku. Siapa namanya aku sendiri tidak pasti bagaimana mahu menyebutnya kerana dia dikenali ramai. Dia adalah Mr. Dumex, nama Yahoo Messenger yang tidak lagi digunakan. Kini dia berkerja bersama artis - artis popular dan semakin kerap muncul di kaca tv. Isnin lalu selepas 5 petang aku berjanji untuk menemui dia menyerahkan hadiah hari jadi beliau. Sebelum sampai di Palm Spring terlebih dahulu aku menghubunginya seperti yang dijanjikan, khuatir dia tiada di rumah. Telefon tidak berjawab dan dia membalas dengan SMS mengatakan ada mesyuarat. Dia meminta untuk kami bertemu di sebelah malam. Aku sedikit kecewa, terus saja aku pulang ke rumah dan tidak meletakkan apa - apa harapan agar kami boleh bertemu. Mungkin hadiah itu bakal aku poskan ke rumah beliau. Selepas maghrib, dia SMS dan mengajak aku untuk bertemu di sebuah dobi berhampiran Palm Spring. Dia di sana sedang mencuci pakaian. Aku agak keberatan untuk keluar kerana mahu berehat dan menyambung tugasan pelajaran yang acap kali tertangguh. Namun aku tetap keluar menemui beliau walau dia sedang sibuk mencuci di dobi 'self service' itu. Alhamdulilah, hadiah yang aku sediakan selamat aku beri sendiri ke tangannya. Kami memang sangat jarang bertemu, minggu lalu kami bertemu seketika selepas setahun tidak berjumpa. Masing - masing dengan kehidupan sendiri, walaupun kami tinggal berdekatan tapi kami sukar untuk berjumpa. Mujurlah teknologi yang ada hari ini mendekatkan di antara satu sama lain. Aku berharap kami berdua akan terus bersaudara sehingga hujung nyawa. Abang sayangkan kau, adik... (sayang lah sangat !!!)

Kan saya dah cakap jangan baca !!!
Petang nanti bakal adik iparku akan tiba dengan bas ekspres dari Kuala Kangsar, secara mengejut dia memberitahu akan sampai di Jalan Duta lewat petang nanti. Entah apa mimpi yang membuatkan dia mahu datang menemui aku. Semalam kami berperang SMS, entah apa isu yang kami gaduhkan. Sepatutnya dia diam di rumah membantu emak dan kakaknya yang berniaga. Biarlah, aku suka ditemani sesiapa sahaja yang sudi. Aku bencikan kesunyian...

Sebelum ini aku jarang untuk 'tug a shirt in properly', bagaimana untuk menyebutnya di dalam Bahasa Melayu?. Pagi ini dengan tak semena - mena aku berpakaian kemas. Mungkin juga mahu kelihatan sedikit terurus daripada hari - hari biasa ketika hadir di kursus pagi tadi tetapi kursus itu cuma pada esok dan lusa. Sesekali berpakaian kemas sebegini aku kelihatan 'segak' juga (perasan!!). Esok dan lusa pasti aku akan sekadar memakai jeans dan kemeja seperti kebiasaannya. Kerana aku sukakan keselesaan dan kesederhanaan...
Oh, seorang staf yang menjengkelkan sudah tiba, dia bekerja syif petang minggu ini,biasalah, staf yang sudah tua dan tidak punya banyak fungsi kepada organisasi akan melakukan sesuatu supaya dia mendapat perhatian. Adalah lebih baik untuk aku tidak bercerita tentang dia...

Di luar pejabatku sekarang ini, di sekitar sungai yang aku sendiri tidak pernah aku tahu namanya sedang giat didalamkan dan ditanam cerucuk sebagai persiapan untuk pembinaan landasan MRT.  Dalam tempoh terdepat, mungkin sekitar 2 tahun paling cepat, MRT akan melalui pejabatku ini dan stesen transitnya adalah One Utama. Ada sedikit isu dengan projek pembinaan stesen MRT di hadapan pejabatku ini. Kerja - kerja pembinaan menyebabkan gegaran sepanjang hari. Dan isu tersebut sudah diajukan kepada pihak yang berkaitan. Semalam sekumpulan individu dari syarikat yang bertanggungjawab datang berkunjung ke pejabatku, bos selaku wakil pejabat melaporkan masalah yang telah, sedang dan bakal kami hadapi. Apa yang dibimbangi sekarang ini ialah gegaran berterusan akan menyebabkan gangguan  terhadap server di pejabatku yang jaraknya cuma sekitar 200 hingga 300 meter dari tapak projek. Jika tidak ditangani segera akan menyebabkan kerosakan yang agak serius. Selepas ini pasti akan ada pertemuan susulan dan cadangan serta tindakan terhadap masalah yang dihadapi. Tidak lama lagi pemandangan jalan raya yang aku biasa aku tatap setiap hari akan mula ditutup sedikit demi sedikit dek projek pembinaan stesen MRT.

Tiba - tiba si Aida, staf yang berjiran meja denganku mengadu kesakitan di rusuk. Dek kerana tidak tertahan lagi dia menangis teresak - esak. Emi menghulurkan bantuan dan membawa beliau ke klinik. Kata doktor mungkin Aida berdepan masalah dengan sistem peranakan, mungkin juga serangan batu karang, atau lain - lain penyakit. Melihatkan keadaan beliau mengingatkan ketika aku berhadapan dengan kesakitan dek kerana batu karang. Ketika itu aku berada di dalam kelas, tiba - tiba rusuk kiri dan kanan berasa amat sakit, aku keluar sebentar dari kelas dan berehat di luar. Namun tidak meredakan keadaan. Aku minta untuk pulang awal dan berehat di rumah. Malamnya aku berguling - guling menahan kesakitan, di tengah malam ketika kawan - kawan lain sedang nyenyak tidur, aku mengagahkan diri menunggang motor menuju ke sebuah klinik di Seksyen 2 Shah Alam. Ketika itu jam 4 pagi, doktor yang aku temui masih terkebil - kebil menahan mengantuk. Cuma yang aku sesali dia tidak memeriksa dengan bersungguh - sungguh. Mujur kelas keesokan harinya di sebelah petang. Namun pada petang itu sekali lagi aku diserang sakit. Dengan tidak malu lagi aku menangis kerana kesakitan di khalayak ramai. Pensyarah mengarahkan salah seorang kawanku membawa aku ke klinik kesihatan di dalam kampus UiTM. Doktor dan jururawat yang bertugas menyarankan kepada aku jika sakit berterusan, aku perlu dimasukkan ke wad. Allah Maha Mengetahui, pada malam itu juga, ketika langit hitam bergempita dengan letupan bunga api kerana sambutan Tahun Baru Cina, aku dimasukkan ke hospital kerajaan di Klang. Alhamdulilah aku dirawat dengan amat baik sekali. Cuma sedikit kesal dengan pelawat pesakit di katil bersebelahan yang membuat bising, membuatkan aku tidak berdaya lagi menahan sakit. Aku meminta pertolongan daripada jururawat. Dengan satu suntikan aku lemah dan terus tertidur. Sedar daripada tidur aku dapati rakan serumah - Abang Idris, Azhar, Shahril, Yahya dan Zaki ada di sekilingku. Terima kasih sahabat kerana datang berkunjung. Aku meminta pertolongan mereka untuk membawa aku bersiar - siar kerana berasa amat bosan sekadar berbaring di katil. Belum pun sempat aku duduk di kerusi rosa, aku mengadu kesakitan, jururawat datang dan memberikan suntikan. Membuatkan aku berasa lemah dan tertidur. Kasihan dengan rakan - rakan serumahku yang datang melawat. Aku di diagnose dengan penyakit batu karang. Namun selepas beberapa hari aku ditahan di wad aku semakin pulih tanpa perlu menjalani apa - apa pembedahan. Aku tidak mahu lagi sakit seperti itu, cukuplah dua kali ditahan di wad dan kebosanan, sehingga kerja jururawat juga aku mahu lakukan...

Kenapa entri kali ini kelihatan sangat merepek?

Aku tak tahu kenapa aku suka melaporkan apa saja yang berlaku di sekelilingku, perlukah untuk semua orang tahu ?
Sepatutnya aku jadi protege Karam Singh Walia...
Lepas ni kene praktis berpantun sambil angkat - angkat tangan !
Azat Singh Walia melaporkan...

Tiada ulasan: