SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

06 Julai 2013

AKU SI TIKUS MAKMAL...



Alhamdulilah, rasa kekenyangan dengan nasi tomato berlaukkan ayam goreng berempah yang dibeli di pasar malam Seksyen 8 Kota Damansara, mujur aku pergi sedikit lewat, penjual nasi tersebut menawarkan kepadaku tiga bungkus nasi - nasi ayam, nasi beriyani dan nasi tomato pada harga RM10. Aku tertarik dengan tawaran itu dan membelinya. Satu telahku makan dan dua bungkus lagi pasti akan dimakan oleh adikku Ijai setelah dia pulang dari bertugas di lokasi berlangsungnya Showdown 2013. Aku bersimpati dengan Ijai, sudah empat hari berturut - turut pulang sekitar 2 pagi. Walaupun dia cuma menjalani latihan praktikal, tetapi tenaganya dikerah umpama kakitangan tetap syarikat. Bersabarlah Ijai, masa tinggal dua minggu lagi untuk engkau meneruskan latihan praktikal dan selepas ini engkau boleh pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran semula...

Hari Sabtu ini aku sekadar bermalasan di rumah. Aktiviti pertama yang aku lakukan ialah membuat sedikit sarapan untuk Ijai, dan kemudian itu aku melihat - lihat mesin basuh yang rosak pada bahagian pengeringnya. Sudah berbulan aku terpaksa memerah basuhan secara manual. Namun aku bukan pakar yang boleh membaiki kerosakan pada mesin basuh itu. Biarlah, aku akan bertahan selagi mampu, mana tahu Dinar Iraq bakal dinilai semula dalam masa terdekat setelah bebas dari Bab 7, mungkin tahun ini, mungkin tahun hadapan, mungkin dua tahun lagi, mungkin tahun - tahun mendatang, selepas itu bukan lagi tanggungjawabku untuk membasuh pakaian... 

Cadangnya selepas Zohor mahu keluar ke mana - mana pasar besar untuk membeli barang - barang keperluan sebagai persiapan sepanjang bulan puasa, namun setelah mata berasa ditarik - tarik untuk menonton sebuah teledrama di TV1 lakonan Izzue Islam, Marsha Milan Londoh dan lain - lain pelakon yang tidak aku ingat nama mereka, aku melupakan terus niatku itu. Nampak gayanya rencana 'Ketuk Ketuk Ramadan 2013' yang aku rancang telah terbengkalai. Drama tersebut berkisar tentang empat sahabat yang datang dari kampung ke ibu kota dan mencuba nasib untuk menjadi artis. menyebut tentang artis, sebut sahaja siapa, di mana, pasti ramai yang mahu menjadi artis, kerana jika menjadi artis pendapatannya pasti lumayan. Paling tidak pun punya kenalan dari kalangan artis, dapatlah menumpang populariti. Aku tidak punya kenalan artis, ada juga saudara mara yang bergelar artis, dan ada juga sahabat yang berkawan dengan artis. Pada aku, artis juga manusia biasa, tidak ada apa yang perlu dibanggakan walau mereka punyai kelebihan dari sudut material dan dikenali ramai...

Keliru, kenapa tiba - tiba aku berkata - kata tentang dunia artis??

Azlan menghubungiku mengajak aku keluar, dia yang berada di salah sebuah gimnasium di Puncak Alam datang ke rumahku setelah berjanji akan tiba selepas Asar. Entah bagaimana, aku terlelap, hampir jam 6.30 petang baru aku tersedar. Aku terus meihat telefon bimbit, banyak pesanan SMS dan BBM daripada Azlan. Aku terus menghubunginya dan meminta maaf. Mungkin aku terlalu letih sepanjang minggu ini, dan aku perlu rehat yang cukup. Esok hari aku perlu bekerja, perlu tiba awal kerana di sekitar Sri Pentas akan menjadi lokasi larian 'Feel Good Run' anjuran NTV7. Jumaat lalu, sebelum pulang, Azlan berbisik, katanya dia terdengar perbualan di antara Pengurus di pejabatku bersama dengan senior eksekutif yang menyebut namaku yang bakal diberikan tugasan lain setelah ILS menampakkan sedikit kacau bilau selepas aku berjaya mengenalpasti masalah di sebalik pangkalan data berkenaan. Aku sudah terbiasa dengan situasi itu, situasi di mana aku menjadi tikus makmal untuk projek - projek mereka berdua, ditolak ke sana dan ke sini, disuruh itu dan ini. Aku tidak membantah, kerana aku hanya orang kecil, dan mereka orang besar. Biarlah, pada mereka rezekiku bukannya daripada Allah swt tetapi di tangan mereka berdua, dan mereka mempunyai kuasa veto untuk menetukan segala  - galanya. Tiba - tiba terasa mahu menyanyikan lagu PASRAH dendangan Erra Fazira...



Sebenarnya aku punya isu utama yang mahu dikatakan di sini. Sebelum jam 3 petang, secara tiba - tiba aku berasa pening dan sedikit terhoyong - hayang seakan mabuk. Ketika itu aku baru sahaja duduk, aku fikirkan aku berasa pening kerana telah memakan mee segera. Kebetulan di TV1 ada disiarkan berita, ternyata benar telahanku, pada jam 1 petang tadi berlaku gempa bumi sekuat 6.1 skala Richter di selatan Sumatera. Itu adalah kali kedua aku berasa sedemikian kerana gempa bumi. Kali pertama merasainya ketika ada satu gempa bumi juga di Sumatera beberapa tahun lalu. Dan yang paling ketara ketika aku menetap di Shah Alam, pada 24 Disember tahun 2004, malam itu aku berbaring di ruang tamu menonton televisyen, tiba - tiba aku berasa seperti gegaran. Tidak lama selepas itu ada berita tentang gempa bumi di Acheh. Itulah gegaran yang paling ketara pernah aku rasai. Aku pasti, dalam tempoh 100 tahun akan datang atau lebih cepat, Malaysia akan berada dalam lingkungan kawasan gempa bumi kerana pergerakan plat bumi. Adakah bangunan tinggi di seluruh Malaysia berada dalam keadaan selamat daripada ancaman gempa bumi? Nauzubillah... 

Aku perlu tidur awal, esok sekitar 5 pagi aku perlu bangun dan bersiap ke pejabat. Sekian...




Tiada ulasan: