SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

21 Julai 2013

JADILAH LELAKI BERGUNA...





Aku rasa marah aku kali ini tidak dapat dibendung lagi. Namun terpaksa dipendam demi menjaga hati...

Aku baru pulang dari pejabat, hari ini aku bekerja syif petang. Walaupun fizikal tidak terlalu penat tetapi fikiranku amat letih. Aku berharap yang aku tak perlu lagi masuk ke dapur dan mahu berehat awal sebelum bangun di tengah malam nanti untuk menanak nasi dan menyediakan lauk yang ringkas. Tetapi selepas masuk ke rumah dan menukar pakaian di bilik, hati aku tergerak untuk membawa diri ke dapur. Memang tidak ada apa - apa masalah dengan keadaan di dapur, tetapi mata terus terarah kepada periuk berisi lauk yang aku sediakan semalam yang masih berbaki dan masih boleh lagi dimakan untuk sahur nanti. Apabila dibuka sahaja... ternyata ia sudah mula berbau basi. Aku cepat - cepat memanaskannya sehingga kering dengan harapan ia akan tetap elok walaupun sudah sedikit basi. Dalam hati aku berasa sangat kesal dengan sikap Ijai, langsung tidak mahu membantu hal - hal di rumah. Kemarahanku sekadar dipendam di lubuk hati kerana sayangkan seorang adik. Aku terpaksa bersabar dan menahan kemarahan, kelak akan memberi kesan kepada tekanan darahku yang tidak menentu. Selama beberapa hari di bulan Ramadan ini jauh sekali secara sukarela dia mahu membantu meringankan tugasku di dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur. TIDAK PERNAH !! Seolah - olah aku menjadi hamba di rumah sendiri...

Aku terpaksa meluahkan perasaan di sini demi mengelakkan tekanan dan aku tidak boleh sama sekali berada dalam keadaan marah kerana aku sakit. Tetapi keadaan telah menyebabkan aku menjadi marah dan ia perlu dilepaskan daripada bersarang di hati. Selama dia tinggal dengan aku untuk beberapa bulan ini, tidak ada langsung hal yang Ijai lakukan yang setidak - tidaknya menyenangkan aku. Jika sekadar membantu untuk membuang sampah, itupun jarang dilakukannya. Selalunya akulah yang terpaksa membuangnya setelah membusuk di dapur. Daripada membeli barangan dapur, menyimpan, memasak, dan mengemas, hanya aku seorang yang memainkan peranan tanpa dibantu oleh sesiapapun. Untuk melihat dia menyapu, mencuci bilik air, mengemas rumah, ternyata ia ibarat jauh panggang dari api. Sekurang - kurangnya Ijai perlu ada kesedaran untuk menyenangkan hidup aku yang sibuk dengan urusan kerja dan pelajaran, tetapi ia tidak berlaku sama sekali. Hidupku amat tenang semasa tinggal sendirian, sejak Ijai bersamaku, ternyata semakin bertambah tekanan yang aku terima tanpa rela...

Salah aku juga, dari kecil lagi dia dimanjakan sehingga dia tidak tahu untuk membantu, jika ada pun setelah berkali - kali disuruh, malah dia lebih banyak memikirkan hal sendiri dan sekadar mengharapkan orang lain untuk melakukan apa sahaja yang akan menyenangkannya. Ijai mewarisi sikap abang sulungku, hidup terlalu bergantung kepada orang lain dan menandang sepi kepayahan orang sekeliling. Hidupnya terlalu mudah, masa yang ada diisi dengan berkurung di dalam bilik, bermain permainan di komputer ribanya, selain mendengar lagu dan menonton DVD. Jika lapar, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana makanan pasti sudah tersedia. Itu sahaja yang dia tahu, dan sikap ini terbawa - bawa dari kampung sehinggalah dia menetap denganku untuk sementara waktu ini. Minggu hadapan dia akan mengakhiri latihan praktikalnya, dan akan kuhantar pulang semula ke Gurun. Maka emak akan kembali menjadi mangsa keadaan. Selepas ini berakhirlah penyeksaanku, dapatlah aku memberi sepenuh perhatian kepada bakal tunanganku. Entahlah, situasi menjadi amat sukar jika hidup bersama dengan seseorang yang tidak boleh diharap walaupun darah daging sendiri...

Sedarlah Ijai, jadilah seseorang yang sentiasa menyenangkan hidup orang lain dan jangan sesekali hidup semata - mata untuk menyusahkan orang sekeliling. Jadilah lelaki yang boleh diletakkan harapan dan sandaran. Belajar untuk bantu membantu meringankan bebanan orang lain dan prihatin dengan keadaan sekeliling kalau mahu orang lain memahamimu. Fahamilah kata - kata abangmu ini... 

Tidak dapat aku bayangkan bagaimana keadaan Ijai jika dia tinggal dengan orang lain selain keluargaku...





Tiada ulasan: