SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

08 Julai 2013

KETUK KETUK RAMADAN 2013



Sebelum keluar ke Hentian Duta, aku mahu menaip satu entri...

Hari ini aku tidak pergi bekerja. Sedar sahaja dari tidur kepala terasa berat dan berdenyut. Cadanganku mahu masuk ke pejabat selepas subuh cuma tinggal mimpi. Aku ke klinik pun agak lambat, ramai pula yang sakit di hari Isnin. Petang tadi masa yang ada diisi dengan tidur, mahu berehat dan menjana semula kekuatan untuk mendepani Ramadan dengan penuh takwa...

Selepas pulang dari klinik, ubatku makan dan rehat seketika. Namun tidak lama kerana menyedari aku belum membeli apa - apa keperluan dapur untuk menyambut Ramadan. Walaupun mungkin selama beberapa hari aku akan sendirian kerana Ijai akan pulang ke Gurun, tetapi aku tetap perlu menyediakan barang - barang dapur, kalau - kalau aku malas mahu ke bazar Ramadan, pilihan yang ada cuma perlu memasak sendiri. Lainlah jika ada yang mahu menjemput untuk berbuka puasa dan bersahur bersama - sama. Tengah hari tadi Aku ke AEON Big berhampiran dengan rumahku di Kota Damansara. 

Hasilnya, inilah yang aku beli khusus untuk edisi KETUK KETUK RAMADAN di rumah... (maafkan saya Puan Hajah Sheila Rusly kerana meminjam tajuk rancangan anda). 


Tidak dapat kupastikan selama mana stok barang yang kubeli itu boleh bertahan. Sekadar barang - barang dapur yang asas. Mungkin jika aku berasa malas untuk memasak, cara yang mudah hanya dengan membeli masakan siap yang banyak dijual di bazar Ramadan. Gusar juga apabila difikirkan kerana Cafe Haslam yang beroperasi di tempat kerjaku akan menamatkan operasinya buat selama - lamanya, mungkin tidak lagi mahu menyambung kontrak. Jika tidak, seperti bulan puasa sebelum ini aku lebih gemar membeli makanan siap di kafe itu berbanding membuang masa di bazar Ramadan semata - mata mahu membeli kuih muih dan akhirnya tidak habis kerana aku lebih gemar berbuka puasa dengan nasi bersama lauk pauk sejenis dua. Kebiasannya menjelang penghujung Ramadan aku akan lebih senang membeli daripada memasak kerana kekangan masa. 

Ramadan adalah bulan untuk makan? Oh tidak, itu adalah tanggapan yang salah sama sekali. Konsep yang salah adalah apabila membeli atau memasak secara berlebihan yang akhirnya akan dibuang begitu sahaja. Membazir adalah amalan syaitan yang direjam. Ingatlah mereka yang serba kekurangan. Mungkin aku kelihatan seperti lebih mementingkan soal pemakanan sepanjang Ramadan. Sebenarnya aku berasakan perlu untuk menitikberatkan soal pemakanan sepanjang bulan puasa kerana seperti pengalaman yang lepas, aku sering sakit perut gara - gara membeli juadah di bazar Ramadan yang ternyata terdedah dan mungkin juga kurang bersih. Mungkin dengan memasak sendiri aku dapat berjimat, maklumlah, hari raya ketiga kelak aku akan melangsungkan pertunangan.  Jika dihitung perbelanjaan sehari dalam bulan puasa, paling sedikit wang yang dibelanjakan mungkin sekitar RM 15 untuk juadah berbuka puasa dan sahur. Jika dicongak untuk sebulan ?? 

Aku berasa sedikit hiba, kerana permulaan puasa kali ini aku berjauhan daripada keluarga. Inilah kekurangan yang paling ketara kepada individu sepertiku yang merantau, dan lebih memilukan, aku tinggal bersendirian. SEDIH !!! Mungkin apabila berada di masjid semasa solat tarawih mulai malam esok mampu melenyapkan kesunyian...

Aku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna, agar dapat kulalui dengan sempurna...

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN !! 






1 ulasan:

Anak Pak Muin berkata...

salam ramadhan :)