SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

04 Julai 2013

KUAKUI AKU SEPERTI LALANG...



Aku rasa mahu menghasilkan satu entri malam ini, hmmm... and the story goes like this...

Tentang Ijai...

Sesekali aku sibuk memikirkan hal adik bongsu aku, si Ijai yang tinggal bersama - sama dengan aku sehingga pertengahan puasa nanti. Selepas tamat internship nya di Media Prima, sudah pasti dia akan pulang semula ke Gurun. Aku sudah menyuarakan cadangan agar dia cuba memohon pekerjaan yang mungkin ada ditawarkan di mana - mana jabatan di Media Prima kecuali jabatan aku. (aku tidak mahu ada saudara mara bekerja di bawah satu jabatan, khuatir berlakunya kronisme). Nampak gayanya dia lebih berminat untuk kembali ke Gurun, Kedah dan mencari pekerjaan atau menyambung pelajarannya di sana. Dasar anak emak... 

Selepas hari raya nanti aku akan keseorangan lagi, tiada lagi teman di rumah. Selama Ijai ada denganku, memang aku perlu menguruskan makan minumnya. Aku sediakan apa - apa kemudahan untuknya. Dia adik yang bongsu, maka sewajarnya aku bertanggungjawab setelah ayah tiada. Tidak syak lagi, sifat penyayang aku adakalanya melebihi had sehingga mengabaikan keperluan diriku sendiri, pada aku, kebahagiaan adik - adikku adalah kebahagiaanku... 

Aku cuma mahu Ijai berjaya dalam hidupnya, dan aku akan bantu sedaya upaya. Sesekali terfikir akan adik angkat dan bekas adik angkat serta adik angkat tak jadi, bagaimana sekiranya aku tidak pernah muncul dalam hidup mereka...

Aku sentiasa mengampunkan kesalahan orang lain, aku bukan Tuhan untuk menghukum...

Tentang kesesakan jalan raya...

Setiap hari kebiasannya aku akan menunggang motorsikal ke pejabat dan pastinya akan pulang ke rumah juga dengan motorsikal yang sama, amat jarang pergi bermotorsikal balik dengan bas atau teksi atau menumpang kawan - kawan sepejabat. Pernah terjadi, tatkala motor pancit...

Ok, kembali semula ke isu utama, walaupun bermotorsikal, aku tetap juga perlu 'cilok - mencilok' di antara kereta dan lain - lain kenderaan. Bermotorsikal belum menjamin aku dapat meneruskan perjalanan dengan lancar. Kota Damansara mempunyai tiga jalan keluar, satunya melalui Persiaran Surian, keduanya melalui Tropicana dan ketiganya melalui NKVE, ok aku silap, ada lagi satu jalan keluar keempat iaitu jalan Sungai Buloh. Selalunya aku akan melalui NKVE untuk ke pejabat dan selalunya juga aku akan melalui Persiaran Surian untuk pulang ke rumah. Namun keadaan di mana - mana jalan sekalipun, tetap sesak. Tambahan pula sekarang ini di Persiaran Surian sedang giat dijalankan operasi untuk pembinaan MRT. 

Mujur aku mempunyai motorsikal, setidak - tidaknya aku boleh 'cilok - mencilok' dan tidak mengambil masa terlalu lama ketika pergi dan pulang. Bayangkan, jika aku bermotorsikal, pergi dan pulang kerja mengambil masa sekitar 10 minit, jika berkereta aku akan mengambil masa lebih daripada 45 minit. Masa terbuang begitu sahaja bagi manusia yang produkif bekerja sepertiku. Aku tak pasti sampai bila aku harus berdepan dengan masalah sebegini. Alangkah indahnya tinggal di luar bandar, di mana kesesakan jalan raya adalah satu perkara yang pasti sesuatu di luar jangkaan untuk berlaku. 

Mujur sepanjang Ramadan nanti staf dibenarkan pulang awal pada jam 5 petang dan waktu berbuka puasa juga sekitar jam 7.30 petang. Sempat untuk membuat apa -apa persiapan walaupun aku pasti aku akan singgah di bazar dan membeli juadah berbuka dan lauk pauk untuk bersahur. 

Tentang Ramadan...

Aku tak pasti sudah berapa tahun aku menyewa di rumah sewa sekarang ini dan sudah berapa kali bulan Ramadan aku lalui di rumah yang sama. Terlalu banyak kisah dan aku akan cuba ingati dan coretkan di sini sebagai kisah silam untuk masa hadapan. Aku terus teringatkan satu peristiwa di mana ketika sedang memasak sesuatu untuk berbuka puasa, gas memasak tiba - tiba padam. Aku panik ! Aku tidak menyimpan apa - apa nombor telefon kedai yang terdekat untuk aku meminta pekedai menghantar tong gas yang baru. Keputusannya, aku terpaksa membawa turun sendiri tong gas ke kedai dan naik semula ke rumah dengan tong gas seberat 16 kilogram ke tingkat 5 tidak berlif ! Azab dan seksanya pasti hanya Allah swt Maha Mengetahui... Ya, aku perlu menukar tong gas yang baru hujung minggu ini sebelum sejarah lama berulang... 

Tentang saat berbuka puasa, selama aku tinggal bersendirian aku cuma makan sesuatu yang sangat sederhana, aku memasak nasi dan makan bersama sejenis atau dua jenis lauk yang aku beli sama ada di kantin syarikat atau di bazar Ramadan. Sesekali disulam dengan kuih muih sekadar cukup untuk mengalas perut dan air manis. Percayalah, sesekali aku berlinangan air mata tatkala berbuka puasa sendirian. 

Mujur juga sesekali aku akan bekerja syif petang dan pastinya akan berbuka puasa di pejabat bersama rakan - rakan. Ternyata ia sangat menyeronokkan, makan bersama rakan - rakan dan saling bertukar juadah  berbuka. Paling tidak pun berbuka puasa di surau syarikat yang sentiasa menyediakan juadah berbuka puasa. Indahnya saat berbuka puasa beramai - ramai... 

Antara juadah yang paling kutunggu - tunggu adalah bubur lambuk, itu adalah makanan wajibku di bulan Ramadan. Jika hendak dibandingkan bubur lambuk di ibu kota yang sering kujamah setiap kali Ramadan dengan bubur lambuk di tempatku iaitu di Gurun, serius kukatakan bubur lambuk di tempatku adalah yang terbaik! 

Sahur, selalunya aku sekadar menjamah roti, atau buah - buahan atau sekadar minum minuman berserat seperti oat dan sebagainya. Aku cuma berselera untuk bersahur jika berada di kampung. Masing kedengaran di telinga, arwah ayah tidak putus - putus menyuruh aku menambah makanan dan lauk ketika bersahur. Maaf, aku tak bisa ingat, kerana ia akan membuatkan aku menangis... 

Tentang program tv sepanjang Ramadan, aku sedia maklum banyak program yang telah, sedang dan akan ditayangkan oleh saluran tv Media Prima, tempat kubekerja. Namun aku masih tetap berkali - kali menonton tanpa rasa jemu akan satu drama bersiri 15 episod bertemakan Ramadan iaitu 'Syurgamu Ramadan'. Antara pelakonnya adalah Elfira Loy, Zarina Zainoordin dan ramai lagi. Drama bercorak kekeluargaan itu antara intipatinya membawa mesej kasih sayang keluarga yang tidak akan putus selama - lamanya. Watak Aishah yang dilakonkan Zarina Zainoordin adalah watak yang paling aku minati. Drama yang disiarkan dua tahun lalu kini diulang siar pada setiap sabtu dan ahad. Berkali - kali airmataku berderai menonton beberapa babak sedih drama bersiri itu...

Pada tahun lepas, aku perlu bekerja di hari raya, dan pada malam raya dengan sengaja aku memaksa diri untuk tidur awal, seawal 9 malam, kerana aku langsung tidak bersemangat untuk mendepani Aidil Fitri di perantauan dan jauh dari keluarga... 

Tentang dia...

Aku belum sepenuhnya membuat persiapan untuk pertunanganku pada hari raya ketiga nanti, sikap malas untuk keluar membeli belah menjadi saka terbesar di dalam diri. Tengoklah, mungkin minggu pertama Ramadan nanti aku akan usahakannya... 

Cuma sesekali terdetik di hati, adalah aku membuat keputusan yang betul ? 

Aku telah meletakkan harapan besar kepada seseorang untuk bergelar permaisuriku, namun hatiku masih ada sisa kasih dan sayang pada seseorang yang lama dahulu pernah bertakhta di hati. Aku keliru...

Di hari pertunangan si dia dahulu, dia pernah berharap yang aku datang dan menyelamatkannya. Andai kutahu, takakan  kulakukannya kerana aku tidak mahu menjadi pemusnah impian orang lain...

Cuma aku masih sangsi dengan pendirianku... 

Lalang, personafikasi terbaik melambangkan diriku...


(Sumber gambar: mashimulamerapu.blogspot.com) 


Ok, hobi aku suka mengenang masa lepas walaupun barang yang lepas tidak perlu dikenang - kenangkan, kerana ia adalah kenangan terindah...

Cukup untuk malam ini, sekian...





Tiada ulasan: