SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

07 Julai 2013

SENYUM !!!




Baru sahaja tiba di rumah, hampir sejam lebih aku keluar bersama Ijai selepas maghrib, destinasinya adalah Hentian Duta. Ijai bercadang mahu pulang untuk menyambut Ramadan di Gurun bersama emak dan adik - adikku yang lain, meninggalkan aku sendirian. Tidak mengapa, aku tetap senyum!!

Aku ternyata amat letih, sesudah subuh tadi aku sudah tiba di pejabat. Bertugas di hari Ahad sedikit memenatkan, mujurlah aku telah menyediakan draf kerja lebih awal. Sudah menjadi amalanku sekian lama, jika aku ditugaskan untuk bekerja pada hari minggu sama ada Sabtu atau Ahad, pada petang Jumaat sebelum pulang aku akan memastikan setidak - tidaknya aku telah menyediakan draf tugas yang bakal dilakukan pada salah satu hari tersebut. Amalanku itu telah menjadi ikutan beberapa rakan setugas yang lain, alhamdulilah kerana sekurang - kurangnya aku telah menerapkan budaya kerja yang positif di kalangan rakan sepejabat. Cuma yang aku kurang berpuas hati, mereka jarang ambil peduli akan kekemasan ruang tempat kerja. Terpaksalah aku mengemas sendiri jika mahu bekerja dalam keadaan selesa. Mungkin mereka sudah biasa bekerja dalam keadaan yang kelihatan berselerak, tetapi tidak pada aku. Kekemasan menjadi keutamaan !! 

Pagi tadi berlangsung acara 'Feel Good Run' anjuran NTV7 di perkarangan Persiaran Bandar Utama. Seawal 6 pagi lagi sudah ramai peserta larian berada di lokasi acara berkenaan. Mujur aku bermotorsikal, jika aku berkereta untuk ke pejabat mungkin aku mengambil masa yang lama kerana jalan di hadapan Sri Pentas ditutup khusus untuk larian itu. Sebenarnya aku masih berasa kurang percaya apakah benar jika aku telah melihat seseorang yang mungkin jika aku sebut namanya di sini pasti beliau dikenali ramai. Ketika sedang menonton menerusi monitor di pejabatku, kamera yang merakamkan acara berkenaan terarah kepada seorang pembaca berita sukan wanita yang sering muncul di Buletin Utama. Dan, bersebelahan dengannya adalah... Aku amat mengenali wajah itu. Kalau tidak silap mataku memandang, beliau adalah... bekas isteri seorang pembesar... Katakan ia tidak benar!! 

Berbalik kepada Ijai. Setelah selesai urusan membeli tiket, aku terus memacu keretaku pada kelajuan sederhana mendekati Tol Plaza Jalan Duta. Setelah melaluinya aku memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak berdekatan tol plaza itu lantas bertukar posisi dengan Ijai. Aku sengaja berbuat demikian kerana mahu melihat sendiri adakah Ijai benar - benar bersedia memandu jika dipinta. Ijai tidak menolak arahanku yang berlaku secara mengejut. Pada permulaan Ijai memandu dengan baik, cuma dia tidak menjarakkan kereta dengan kenderaan yang lain pada jarak yang ideal. Agak dekat. Dan pada pemerhatianku, Ijai sedikit agresif, mungkin dia berasa teruja kerana dapat memandu. Biasalah, darah muda...

Hatiku berbunga bangga, mungkin selepas ini jika memandu jarak jauh aku boleh saling bertukar peranan bersama Ijai. Dan aku juga berbangga kerana adik bongsuku yang semasa kecil sering kuboncengkan di basikalku kini telah dewasa dan boleh diharapkan untuk memandu kereta jika aku kepenatan... 

Cuma apabila melepasi Tol Plaza Kota Damansara, Ijai kurang fokus. Dia seperti tidak ingat akan jalan yang seringkali dia lalui saban hari. Ijai juga teragak - agak ketika memandu, terlalu sopan terhadap pemandu yang bersikap sambil lewa ketika menandu kenderaan masing - masing. Selepas daripada Masjid Kota Damansara, terdapat sebuah apartment, dan kenderaan banyak diparkir di tepi jalan. Di situ aku dikejutkan dengan tindakan Ijai yang memandu terlalu rapat berhampiran kenderaan yang diparkir di tepi jalan kerana memberikan laluan kepada kenderaan di lorong kanan. Mungkin jika aku tidak secara spontan meninggikan suara, pasti Ijai telah menggesel beberapa kenderaan tersebut. Hanya Allah yang tahu betapa gemuruhnya jantungku. Selepas ini aku tidak akan lagi membiarkan Ijai memandu, dia belum mahir selok - belok jalan di sini dan keadaan sekeliling. Bukan salahnya, kerana dia jarang memandu... 

Malam ini aku perlu tidur awal. Esok aku mahu masuk ke pejabat lebih awal dan memulakan tugas. Di sebelah petangnya ada mesyuarat dan demonstrasi sistem baru. Entah mengapa aku dijemput sekali aku kurang pasti. Sebelum pulang dari kerja petang tadi aku menjawab email yang merupakan sebuah pertanyaan daripada pengurusku tentang sistem pangkalan data ILS yang diamanahkan kepadaku untuk diselia. Daripada soalan - soalan yang beliau kemukakan aku pasti operasi sistem tersebut akan direhatkan seketika kerana semakin ketara kelemahannya. Aku berserah dan pasrah jika selepas ini aku ditugaskan untuk kembali bersama unit arkib. Dan aku pasti lebih gembira jika aku tidak lagi bersama unit arkib.  Walau apapun kemungkinannya selepas ini, aku akan tetap berfikiran positif !! 



Tak perlu kata apa - apa, 



SENYUM !!!












Tiada ulasan: