SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

29 September 2013

CERITA YANG PANJANG...



Jam menunjukkan waktu sekarang menghampiri 9 malam, alhamdulilah aku sudah menikmati makan malam, menjamu selera dengan nasi putih yag dimasak pagi semalam dan masih bersisa namun masih elok, serta berlaukkan telur dadar goreng bersama sambal bilis hangus yang juga turut dimasak pagi semalam sambil bersulamkan rangka ayam goreng yang dibeli di pasar malam Sungai Buloh malam semalam. Dan sekarang aku berfikir untuk melakukan sesuatu lalu terfikir akan blog yang agak lama ditinggalkan. Sudah berminggu – minggu lamanya aku tidak menghasilkan apa – apa entri terbaru, bukan kerana sibuk dengan kehidupan dan bukan kerana malas yang berpanjangan, mungkin aku sendiri sudah berasa tidak perlu lagi berblog seperti sebelum ini, anggap sahaja aku MALAS !!!

Mungkin aku akan memulakan penceritaan dengan apa yang berlangsung sekitar bulan Ogos lalu di mana aku tidak langsung berkesempatan menaip apa – apa peristiwa yang berlaku ke atas diriku pada sepanjang bulan berkenaan. Aku pulang berhari raya pada malam hari Isnin, 5 Ogos sejurus selepas keluar mencuci kereta berhampiran dengan rumahku dan pada siangnya aku terlebih dahulu hadir ke perkarangan Sri Pentas untuk mengambil subsidi daging lembu yang dibekalkan syarikat tempatku bertugas. Jika tidak kerana daging itu aku pasti pulang ke Gurun lebih awal. Aku berjanji dengan bakal tunanganku untuk singgah sebentar di rumah beliau sekitar tengah malam dan aku tiba di sana sekitar 1 pagi. Aku cuma singgah sebentar kerana tidak mahu mengganggu dia dan keluarganya untuk tidur. Kad ucapan hari raya kuserahkan sendiri kepadanya dan kepada adiknya iaitu Shahir turut juga aku titipkan kad ucapan. Aku beredar setelah urusanku selesai dan Ida membekalkan aku sebalang kuih. Terima kasih sayangku.

Aku tiba di Gurun menjelang 5 pagi dan hujan turun dengan selebat – lebatnya, adakah ia sebagai petanda yang aku amat dialu – alukan untuk selamat tiba di bumi Gurun ataupun aku pembawa hujan ke daerah itu tatkala semua umat Islam sedang bersahur, hanya Allah swt Maha Mengetahui. Aku sempat bersahur sambil ditemani emak dengan makanan yang cukup ringkas dan aku sendiri sudah tidak berasa berselera untuk bersahur kerana terlalu letih dan mengantuk dek pemanduan di malam hari. Selepas subuh aku terus sahaja merebahkan diri dan terlelap dalam kepenatan yang tidak terperi.

Lewat pagi aku bangun dan terfikir untuk mula mengemaskan rumah sebagai persiapan untuk menyambut kehadiran Aidil Fitri. Tindakan aku mula disusuli oleh adik – beradikku yang lain yang turut sama mengemas luar dan dalam rumah tanpa menunggu sehari sebelum hari raya untuk melakukan semuanya. Walaupun letih, aku berasa puas kerana dapat melakukan sesuatu daripada tidak berbuat apa – apa.

Keesokannya aku bersama emak dan adik keluar ke Alor Setar untuk membeli sedikit persiapan pertunanganku. Di sana kami mengunjungi sebuah kedai emas untuk membeli sebentuk cincin pertunangan. Alhamdulilah dengan bajet yang ada aku berjaya membeli cincin yang dihajati untuk disarungkan ke jari bakal tunanganku pada hari raya ke-3. Tanpa melengahkan masa kami berkunjung ke kedai berhampiran untuk membeli barang perhiasan untuk hantaran pertunanganku. Aku bercadang untuk menggubah sendiri hantaran dan ia pasti tidak sukar dilakukan setelah melihat banyak contoh yang terpapar di internet.  Sebelum pulang, kami berkunjung pula ke Jakel, hajatku untuk membeli sepasang baju melayu ‘Aaron Aziz’ seperti yang diiklankan. Memang benar, ramai orang berpusu – pusu berkunjung ke pusat pakaian berkenaan, dan aku turut serta mencari apa yang dihajati. Malangnya aku tidak menemui sepasang baju melayu warna biru yang aku mahu, Nampak gayanya hajat untuk bergaya seperti Aaron Aziz tidak kesampaian…

Akhirnya hari raya menjelang tiba, sangkaanku amat tepat sekali di mana kali ini puasa berakhir pada hari ke-29 Ramadan. Sebenarnya aku amat berharap untuk Ramadan genap 30 hari kerana aku sendiri belum pasti adakah aku berkesempatan untuk menemui lagi Ramadan di tahun hadapan. Semoga Allah swt memberikan aku peluang untuk hadir di bulan suci itu lagi. Aku menangis tatkala berdoa semasa solat maghrib pada hari terakhir berpuasa, berasa amat sedih meninggalkan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan.

Hari raya disambut secara sederhana, alhamdulilah tahun ini aku dapat bertemu dengan seluruh keluargaku. Tahun ini aku tidak membeli baju melayu seperti mana yang aku hajati, mungkin berasa tiak perlu. Menjelang tengah hari aku dan keluarga mengunjungi pusara arwah ayahku. Sudah agak lama aku tidak melewati pusaran insan kesayanganku itu. Seperti biasa, seperti tahun – tahun sebelum ini, hati kecilku tetap berkata, alangkah indahnya hari raya jika ayah masih ada…

Hari raya kali ini agak istimewa buatku kerana aku melangsungkan pertunangan pada 3 Syawal, alhamdulilah semua urusan berjalan dengan lancar,cuma sedikit kelewatan tiba di rumah  tunanganku itu dek kerana kesesakan jalan raya di sekitar Seberang Perai menuju ke arah selatan. Rombongan keluargaku tiba sekitar jam 3 petang, lewat daripada perancangan namun urusan pertunangan tetap berjalan dengan sempurna walaupun ada sedikit permasalahan yang timbul. Aku kini selamat bergelar tunangan kepada Noorul Hidayah. Mas kahwin yang ditetapkan adalah sebanyak RM 1 800 dan wang hantaran sebanyak RM 10 000 yang telahku dahulukan separuh daripadanya pada hari tersebut. Hari pernikahan belum ditetapkan dan akan dibincangkan ketika aku bertandang lagi ke rumah tunanganku itu untuk menyerahkan baki wang hantaran dalam masa terdekat. Aku sendiri tidak menyangka aku akhirnya akan bertunang dan bakal berkahwin, dan tekad yang telah aku azamkan awal tahun ini nampaknya berjaya aku kotakan. InsyaAllah aku bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada Hari Raya Aidil Adha tahun hadapan. Kepada tunanganku, terima kasih kerana menerima diriku seadanya, akanku membahagiakan dirimu seumur hidupku...

Aku mengambil cuti sempena hari raya hampir dua minggu lamanya, tujuannya adalah untuk berehat dan menenangkan fikiran daripada tugas di pejabat. Selain itu aku berhajat untuk menemani emas sepanjang beliau berpuasa sunat Syawal. Tidak banyak yang aku lakukan sepanjang bercuti, sekadar berehat, menonton televisyen dan berbual bersama keluarga. Alangkah selesanya berada di samping keluarga sendiri, jika dibandingkan kehidupanku di Kota Damansara, hidupku ibarat robot…

Aku pulang semula ke Kota Damansara pada 17 Ogos, berasa amat berat untuk meninggalkan emakku kerana aku jarang pulang. Semoga emak akan sentiasa sihat dan aku juga berharap untuk pulang lagi dalam masa terdekat. Dalam perjalanan, aku singgah sebentar di rumah tunanganku di Kuala Kangsar. Kami sempat berbual lama tentang persiapan perkahwinan sehingga tidak sedar waktu menjelang senja. Aku beredar dan meneruskan perjalanan menuju ibu kota. Namun pemanduanku seringkali terganggu dengan keadaan keretaku di mana lampu yang menunjukkan enjin kereta berada dalam keadaan panas seringkali menyala. Aku menyangkakan enjin kereta benar – benar panas. Dan akibat acap kali berhenti menyebabkan aku lewat tiba di Kota Damansara, hampir 11 malam. Setibanya aku di rumah sewa aku terus menghubungi emak, ternyata beliau risau kerana aku belum juga menghubunginya untuk mengkhabarkan ketibaanku di Kota Damansara. Dalam keadaan letih, aku menggagahkan diri mengangkat bagasi dan barang dari dalam kereta menuju ke tingkat lima rumah sewaku. Menjelang tengah malam, aku tertidur kepenatan…

Aku memulakan tugas selepas dua minggu bercuti sempena hari raya. Minggu berkenaan syarikat tempatku bekerja akan mengadakan sambutan rumah terbuka. Aku turut disenaraikan untuk membantu membuat persediaan. Tema yang ditampilkan oleh jabatanku bersama dengan sebuah lagi jabatan ialah ‘Nostalgia Jalan Liku’. Aku diamanahkan oleh Encik Sulaiman untuk membuat kompilasi video berdurasi sekitar 10 minit mengenai nostalgia penyiaran TV3. Pada awalnya aku menghadapi kesukaran ketika proses penyuntingan namun aku dapat menyiapkan pada malam sebelum berlangsungnya acara rumah terbuka. Pada hari tersebut gerai jabatanku menyediakan hidangan nasi lemak bungkus. Jabatan lain juga turut menyediakan hidangan juadah yang menarik. Kemuncak acara hari rumah terbuka Media Prima adalah persembahan pentas gabungan daripada setiap jabatan. Alhamdulilah, acara rumah terbuka kali ini berjalan dengan lancar…

Seperti biasa aku menyambung tugasanku untuk mengemaskini sistem maklumat perpustakaan seperti yang diamanahkan. Cuma aku berasa sedikit kecewa apabila Encik Sulaiman mengatakan sistem tersebut bakal dihentikan seketika kerana tidak mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan IT. Namun Encik Sulaiman menaikkan semula semangatku dan berjanji akan memberikan tugasan lain. Pada perjumpaan unit arkib yang diadakan pada minggu lalu, Encik Sulaiman mengumumkan bahawa aku diberikan tugasan untuk mengendalikan bahagian pengurusan maklumat bersama – sama dengan seorang lagi eksekutif perpustakaan. Nampak gayanya tugasanku selepas ini akan lebih mencabar dan berwarna – warni…

Sebelum aku terlupa, di sini aku ingin memperkatakan sesuatu mengenai satu peristiwa yang agak mencemaskan. Beberapa minggu yang lalu aku dikejutkan dengan sebuah panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Inspektor James Valentino dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Tujuan beliau membuat panggilan telefon tersebut adalah bertujuan untuk mengambil keterangan daripadaku mengenai kes wang haram. Beliau mendakwa seorang suspek telah ditahan di Balai Polis Muar dan suspek tersebut iaitu Jamilah Said mendakwa aku turut terlibat sama dalam sindiket wang haram dan aku didapati membuka akaun AMBANK dengan sejumlah wang di cawangan bank tersebut sekitar bulan Mei lalu. Kata beliau lagi jika disabitkan kesalahan aku akan didakwa atas kesalahan wang haram. Tanpa teragak – agak aku memberikan kerjasama selepas beliau mahu merakamkan keteranganku. Aku yang dalam ketakutan terpaksa memberikan keterangan dan menjawab semua persoalan yang diajukan. Aku juga meminta untuk menemui pegawai polis berkenaan di Bukit Aman keesokan harinya. Namun hatiku terdetik apakah benar pihak polis akan mengambil keterangan menerusi panggilan telefon. Tengah hari itu aku masuk ke pejabat dengan perasaan bercampur baur. Supaya aku lebih pasti aku mencari – cari di internet tentang kes wang haram. Dalam pencarian itu, sesuatu yang mengejutkan berlaku, aku menemui sebuah forum yang membincangkan tentang kes yang aku hadapi. Ternyata aku hampir – hampir memasukki perangkap sindiket wang hitam. Menerusi keterangan beberapa individu yang telah mengalami kes sepertiku, aku dapati semuanya mempunyai jalan cerita yang sama, nombor telefon yang sama, nama suspek yang sama dan banyak lagi maklumat yang hampir serupa yang diulang – ulang pada individu berbeza. Tidak syak lagi aku hampir masuk ke perangkap sindiket wang haram. Tengah malam itu selepas tamat waktu kerja aku ditemani rakan sekerja membuat laporan polis. Menerusi maklumat yang diperolehi, anggota polis yang menerima laporanku itu mengatakan terdapat banyak kes yang sama telah diterima. Alhamdulilah aku tidak terjerumus ke kancah penipuan oleh golongan manusia yang pandai mengambil kesempatan…

Pada awal September lalu aku bertandang ke IPSIS UiTM Shah Alam untuk pendaftaran semula pengajian. Sesuatu yang mengharukan telah berlaku. Dalam kelam kabut aku telah tertinggal kunci keretaku di dalam beg yang berada di dalam keretaku. Dalam kekalutan aku perlu terlebih dahulu menguruskan pendaftaranku dan akan menyelesaikan masalahku itu kemudian. Usai urusan di kaunter IPSIS, aku kembali ke keretaku, sambil memikirkan cara untukku membuka kereta yang aku tertinggal kunci di dalamnya. Sambil memerhati sekeliling mencari sesiapa yang dapat membantu, mataku terarah kepada seseorang  yang seakan – akan mengerti akan diriku yang berada dalam kesulitan. Tanpa membuang masa aku menghampirinya dan meminta bantuan. Alhamdulilah tanpa berasa terpaksa dia terus membantuku. Menurut beliau, cara yang tinggal untukku membuka keretaku itu adalah dengan kepakaran tukang kunci, dan dia sudi memmanduku mencari tukang kunci di Seksyen 2, Shah Alam. Mujur juga ada kedai kunci di situ dan pekerjanya sanggup membantu dengan upah RM100. Ketika itu aku membuka dompet, mujur aku ada sedikit wang. Tanpa mengambil masa yang lama, tukang kunci yang dibawa dari kedainya di Seksyen 2 dapat membuka pintu keretaku. Alhamdulilah urusan berjalan lancar dengan bantuan staf UiTM tersebut dan pekerja kedai kunci itu. Kepada Encik Azmi, staf UiTM yang bekerja di Unit Penerbitan Buku yang terletak di dalam kawasan INTEKMA tersebut, aku mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga di atas bantuan beliau. Sedar dalam dompetku tidak punya wang lagi, jika ada barang seratus dua pasti aku akan menghadiahinya. Aku akan mencari masa untuk menemui beliau dan memberikan sesuatu sebagai tanda berterima kasih. Inilah dia yang telah membantuku, Encik Mohd Azmi Rafi, translation officer di unit editorial dan pengurusan manuskrip, UiTM Press, Shah Alam...

  
Jam menghampiri 1030 malam, aku mahu beradu awal tetapi mahu menonton dua episod terakhir UMMI yang ditayangkan serentak di TV3. Sejurus selepas itu aku pasti terus tidur.  Esok hari bekerja dan aku perlu rehat yang cukup. Setakat ini dahulu, aku pasti akan mencoretkan sesuatu lagi di sini sebagai kisah silam di masa hadapan, wasalam…


Tiada ulasan: