SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

30 Oktober 2013

PTD




Baru pukul 0119 pagi...

Aku teramat mengantuk tapi tetap tak boleh tidur, macam mana nak tidur? Aku kat pejabat kot !! Syif malam berbaki untuk dua hari lagi, tetapi untuk melaluinya seakan seperti dua tahun lamanya. Bukan aku tidak suka bekerja syif malam, masalahnya aku teramat susah untuk tidur di siang hari, puas sudah aku ikhtiarkan pelbagai cara, kenyangkan perut semahunya, cuma satu saja yang aku patut aku buat untuk memudahkan tidur, MINUM UBAT BATUK BANYAK - BANYAK !!

Aku tak tahu apa yang perlu aku taipkan di sini, mungkin apa sahaja yang terlintas di fikiran, mahu memerah otak sekuat mungkin untuk membuatkan aku mengantuk dan tidur seketika, lantaklah apa rakan sekerja mahu katakan. Aku memang tetap akan tidur sebentar lagi walaupun ada tugas yang perlu dilakukan. Baik, aku mahu memperkatakan sesuatu...

Pada hari Rabu minggu hadapan aku bakal berhadapan dengan temuduga jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, gred M41 di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya. Aku sudah maklumkan akan hal ini pada entri yang lalu. Sebetulnya aku telah memadamkan rekod permohonan untuk jawatan itu daripada senarai jawatan yang dipohon menerusi portal SPA, kerana tidak mahu menaruh apa - apa harapan terhadap jawatan itu. Kebetulan aku telah mengemaskini permohonan jawatan menerusi portal SPA itu beberapa minggu yang lalu dan minggu lepas aku menerima emel mengenai undangan untuk temuduga jawatan tersebut. Aku tidak terlalu teruja dengan kehadiran emel itu, kerana aku telah menyedari dari awal aku memang tidak layak untuk menjadi PTD, dek terpengaruh daripada pembacaan di blog - blog peribadi individu yang telah melalui proses pemilihan jawatan itu. Permulaannya ketika memohon jawatan itu sekadar mahu mencuba, dan aku telah diundang untuk menduduki peperiksaan gred 41 beebrapa tahun lalu dan terus dipanggil untuk menjalani PTD Assessment Center di INTAN Chukai, Terengganu, namun aku gagal dalam ujian itu. Maka aku terus melupakan sahaja niat untuk mejadi PTD. Entah tiba - tiba datang pula undangan untuk temuduga jawatan itu ketika aku mengharapkan adanya apa - apa peluang pekerjaan yang baru. Aku belum pasti sama ada mahu menghadiri temuduga itu atau tidak, sekali lagi aku katakan, aku sudah banyak terpengaruh dengan pengalaman individu yang telah melalui sesi temuduga itu dan seterusnya pengalaman mereka yang sedang berada dalam kadet PTD. Antara faktor yang boleh aku fikirkan :

1. Aku tidaklah terlalu kuat dari segi fizikal dan mental, yang pastinya aku 'overweight', kuat makan, malas bersenam
2. Aku kurang mengambil tahu akan isu - isu semasa, pendek kata, aku malas membaca akhbar dan menonton berita di televisyen, bagaimana jika aku diasak dengan soalan - soalan mengenai hal ehwal semasa ketika temuduga nanti?
3. Aku masih mahu meneruskan pengajian sarjana yang tergendala seketika, kerana ketika ini fokus aku lebih kepada kerjaya dan perkahwinan
4. Aku berasa yang aku tidak layak untuk menjadi pemimpin, kerana antara skop tugas PTD adalah memimpin, cukuplah sekadar aku memimpin diriku sendiri yang masih terumbang - ambing
5. Aku tidak pasti sama ada aku sanggup untuk meninggalkan kerjaya sekarang untuk melalui tempoh setahun sebagai kadet PTD yang cuma dibayar elaun sekitar RM 2 ribu sedangkan aku mempunyai banyak komitmen, pendek kata, aku banyak hutang !
6. Aku pasti aku tidak dapat menyeimbangi di antara tugasan dan juga lain - lain aktiviti berbentuk fizikal jika terpilih menyertai kadet PTD, kerana orientasi aku ketika melakukan sesuatu perkara adalah melakukannya satu demi satu dan bukannya serba serbi dilakukan serentak
7. Aku tidak suka berpakaian formal, berbaju kot, bertali leher, memakai kasut kulit, pendek kata, aku cuma suka pakai apa yang aku suka sahaja
8. Aku tidak suka aktiviti lasak, berkawad, berjemur di tengah panas, berlari - lari, masuk keluar hutan, panjat sana sini, pendek kata, aku suka duduk diam - diam sahaja
9. Setahun berada di INTAN pastinya akan menyekat kebebasan aku untuk kerap balik ke kampung dan bermanja dengan emak !
10. Alasan terakhir, aku sudah selesa dengan kerjaya aku sekarang dengan gaji, faedah dan prospek kerjaya yang semakin baik
11. Aku khuatir jika gagal dalam DPA itu bagaimana aku hendak mencari pekerjaan sedangkan aku pasti telah meletakkan jawatan untuk menyertai kadet PTD, individu yang sedia ada bekerja di sektor kerajaan pasti boleh kembali kepada jawatan asal atau diserap ke mana - mana skim yang lain tetapi bagaimana dengan nasibku yang bekerja di sektor swasta? Adakah jika aku gagal sekalipun aku tetap akan diserap untuk bekerja dalam sektor kerajaan?

Apa yang aku faham daripada hasil pembacaan di blog - blog peribadi dan lain - lain laman forum yang membincangkan mengenai kadet PTD, semuanya memberikan maklumat yang jelas dan dengan sendirinya telah menjawab kesemua persoalan aku di atas. Pendek kata, tepuk dada tanya selera, mahu atau tidak mahu pilihan ada di tanganku sendiri. Tidak salah mencuba, namun apabila memikirkan pelbagai risiko yang bakal dihadapi, aku mengambil keputusan untuk tetap hadir temuduga itu atas alasan menghormati undangan dan tidak meletakkan apa - apa harapan. In sya Allah rezeki aku ada di mana - mana sahaja asalkan aku berusaha.

Alhamdulilah, petang tadi aku mendapat kiriman BBM daripada seorang sahabat dan beliau memaklumkan telah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank aku. Aku bersyukur pada Allah swt kerana beliau telah memulakan usaha untuk membayar hutangnya. Setidak - tidaknya dengan wang yang beliau beri dari semasa ke semasa dapat aku gunakan untuk menampung keperluan membuat persiapan perkahwinanku. Sahabatku itu telah meminjam wang daripada aku berjumlah RM 6 ribu. Namun aku memberikan peluang kepadanya untuk mula membayar hutang setelah mendapat pekerjaan tetap. Aku menghulurkan bantuan kewangan kepadanya ketika beliau amat mengharapkan bantuan daripadaku ketika di akhir - akhir pengajian beliau di UiTM untuk menampung perbelanjaan seharian dan beliau turut meminjam wang untuk membeli kamera DSLR sebagai salah satu cara untuk beliau mencari pendapatan sampingan. Bersahabat dengannya bolehlah dikatakan menyeronokkan walaupun beliau agak berat mulut dan kurang mesra. Selepas ini aku berharap kami akan terus bersahabat walaupun kami semakin kurang berhubung. Terima kasih aku ucapkan kepadanya kerana telah memulakan usaha untuk membayar hutang. Cuma pesanku, belajarlah menghargai kebaikan orang lain dan berpijaklah di bumi yang nyata, jangan cepat alpa dengan kelebihan yang ada...

Waktu melepasi 0218 pagi, aku perlu berpura - pura membuat kerja walaupun kenyataannya aku amat mengantuk !!



2 ulasan:

Mak Wardah berkata...

basuh muka banyak kali nak kurangkan ngantuk...All the best take care

Cekem Mirza berkata...

jadi apa pun tak apa... jangan jadi ajhat sudahlah saudara.