SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

21 November 2013

BERBULU...





Ini adalah entri kedua di bulan November 2013...

Waktu sekarang menunjukkan pukul 1.46 pagi, aku belum rasa mahu tidur dan kebosanan dek bekerja tadi belum dapat membuatkan aku berasa mengantuk. Baru sahaja menghabiskan dua gelas kopi segera yang aku simpan di dalam flusk pagi tadi. Mujur masih panas, enak diminum sebelum tidur (teringat pula akan iklan Nescafe lakonan Tiz Zaqyah bersama lelaki 'mat saleh' itu), tetapi aku belum mahu tidur dan aku tidak tahu kenapa aku belum mahu beradu di atas katil besi yang seringkali berbunyi bising setiap kali aku bergerak. Pasti berbulu jiranku mendengar bunyi 'keriuk keriuk' katilku itu pada malam hari. Selalunya aku tidur sekadar berseluar pendek (adakalanya langsung tidak berseluar, opsss...) di atas tilam empuk bersama sehelai selimut, bantal panjang dan empat bantal biasa bersama satu bantal kecil yang berperanan sebagai 'bantal busuk' yang kesemuanya belum kutukar sarungnya sudah lebih dua minggu. Bayangkanlah bagaimana 'keharuman' baunya... 

Bercakap mengenai bantal, perwatakan aku sendiri boleh dilihat dengan jelas melalui bilangan bantal yang aku gunakan untuk tidur. Maksudnya, aku adalah seorang yang kurang berkeyakinan. Benarkah? Mungkin benar mungkin sebaliknya. Tetapi masalah yang sering aku hadapi ketika tidur dengan banyak bantal ialah aku akan bermimpi seram jika aku dengan sengaja tidur bersama dua biji bantal sebagai lapik kepalaku. Dan selepas itu pasti aku tidak dapat tidur hingga ke siang hari memikirkan tahap keseraman mimpiku itu dan 'moral of the story' yang dapat aku ambil sebagai iktibar. Berbulu jadinya jika tidak cukup tidur. Dan aku cuma boleh tidur jika aku meletakkan bantal di atas kepalaku jika aku tidur mengiring. Ini lagi pelik. dan lebih pelik lagi, aku tidak akan tidur sama sekali jika tiada bantal !!

Benarlah, aku adalah seorang yang kurang berkeyakinan...

Tetapi petua menepuk bantal untuk mudah terjaga pada waktunya adalah sesuatu yang agak menarik. Aku tidak mahu mengamalkannya lagi kerana berdasarkan pengalaman lalu, kurasakan bantal itu hidup dan bergerak - gerak untuk membuatkan aku sedar dari tidur. Menakutkan...

Selepas beristeri kelak, pasti aku tidak memerlukan banyak bantal lagi... 

Minggu ini aku bekerja syif petang, masuk pada jam 3 petang dan habis tugas pada jam 12 malam. Kebiasannya aku akan tiba di pejabat sejam lebih awal, sekitar 2 petang dan akan pulang sekitar sejam selepas 12 malam. Tiba sahaja di pejabat pada waktu semua staf berduyun - duyun masuk semula ke premis syarikat akan berlakulah insiden berebut - rebut di lif. Boleh saja menggunakan tangga sebagai alternatif tetapi perlu bergerak agak jauh. Jika mengikut tertib penggunaan lif, orang yang berada di luar lif perlu terlebih dahulu menunggu sehingga orang yang berada di dalam lif keluar dan barulah orang yang berada di luar masuk ke dalam lif. Perkara itu adalah sebaliknya di syarikatku, orang yang berada di luar lif akan berebut - rebut masuk ke dalam lif tanpa sempat orang yang berada di dalam lif untuk keluar terlebih dahulu. Berbulu rasanya setiap kali bertepis - tepis tatkala mahu keluar dari lif.  Barangkali adab dan peraturan penggunaan lif perlu dipamerkan di setiap lif. Mungkin aku patut ajukan permasalahan ini kepada rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 sebagai salah satu topik yang wajar dibincangkan dalam segmen 'Hanya Di Malaysia'. Aku terfikir untuk menjadikan ia satu filem pendek, hmm...

Pengalaman aku yang seterusnya tentang lif adalah mengenai satu peristiwa pada satu malam di mana aku masuk ke dalam lif bersama beberapa orang lain. Agak ramai juga di dalam lif dan aku berdiri hampir dengan pintu lif.  Tiba - tiba satu tangan manusia bersungguh - sungguh dihulurkan ke arah punat di tepi pintu lif untuk menekan salah satu punat di situ dan akibat daripada itu bulu - bulu lengannya yang agak panjang masuk ke dalam hidungku. Hampir bersin dibuatnya namun aku cuba bertahan. Rupa - rupanya orang yang melakukan perkara itu adalah seorang pengacara lelaki yang mengendalikan program travelog di TV9. Berbulu aku dibuatnya. Aku menggelengkan kepala, pasti dia sedar akan perlakuanku itu. Setidak - tidaknya dia bersuara untuk meminta bantuan, bukannya bertindak 'kurang ajar' sebegitu. Itu adalah kali kedua aku berhadapan 'masalah' dengan pengacara itu. Hal pertama ialah ketika aku menjadi 'usherer' untuk sebuah anugerah muzik di Stadium Putra Bukit Jalil. Mungkin aku sekadar ' usherer' dan senyuman aku tidak langsung diendahkannya malah langsung tidak dipandang. Mujur malam itu Alif Satar bersalaman denganku dan bertegur sapa bagai kenalan lama, setidaknya ia membuktikan bahawa tidak semua golongan selebriti tanahair ego dan sombong, bukan seperti pengacara 'bajet hot' itu...

Tinggal dua hari lagi aku akan bekerja syif petang, dan pada hari sabtu aku perlu masuk lebih awal. Mujur bekerja pada hari Sabtu agak santai. Kebetulan hujung minggu ini daripada Jumaat sehingga Ahad akan diadakan ujibakat mencari pelakon anjuran Grand Brilliance di Sri Pentas. Jika aku berkeyakinan, apa salahnya aku mampir ke lokasi ujibakat yang terletak cuma 10 langkah dari pejabatku untuk mencuba nasib. Jika aku menjadi pelakon, pasti ramai yang berbulu melihatku...

Dapat watak supir pun jadilah...

Sekian...




2 ulasan:

Ahmad Zaki berkata...

Hahaha. Berbulu betul dengan manusia2 macam tu. Memang biasa perkara macam ni terjadi. =)

Khai faiz berkata...

aku pun nak ujibakat juga la, sape tau kan...

ko kan dah popular... hari tu keluar muka ko kt mhi...walaupun hanya sekilas... Pasal bubur kalu x silap.. hehehehe