SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

31 Disember 2013

TERAKHIR DI 2013...




Hari ini hari terakhir di tahun 2013... sekejapnya masa berlalu.

Aku sebenarnya ketiadaan idea untuk menaip entri terakhir tahun ini, tidak apa yang menarik berlaku sepanjang 2013, semua biasa - biasa saja, tidak ada apa yang dapat dibanggakan. Sekejap, mahu memerah fikiran sehingga ke tarikh 1 Januari 2013...

OK, tak ingat... rasanya tak perlu diingat semula sebab aku memang tak akan ingat, baik aku bercakap tentang apa - apa yang masih di hujung - hujung ingatan...

Semalam aku baru saja pulang dari Gurun, sudah agak lama aku tidak pulang sejak selepas hari raya aidil fitri. Bukan tidak mahu balik menjenguk mak, cuma masa tidak mengizinkan. aku pulang ke sana pada hari Jumaat lalu, sejurus selepas tamat syif malam 12am, kali ini pulang dengan azab menahan mengantuk yang teramat kerana malam sebelumnya aku langsung tidak dapat tidur entah apa puncanya ditambah pula menahan rasa mengantuk memandu sepanjang malam. Alhamdulilah aku dikuatkan semangat kerana azam mahu menemui mak. Tiba di rumah pada 630am, dan... (sila sambungkan ayat mengikut kreativiti anda).

Kira - kira lewat jam 10 pagi rumah aku dikunjungi saudara - mara yang dimaklumkan oleh mak adalah saudara sebelah arwah ayah. Tujuan mereka bertandang adalah untuk menjemput kami sekeluarga ke majlis perkahwinan anak kepada saudara kami itu yang bakal diadakan pada 25 januari 2014. Menurut mak, sebelum ini dan selama bertahun - tahun waris sebelah arwah ayah memang mencari - cari arwah ayahku. Arwah sendiri tidak pernah memberitahu kami adik beradik mengenai hal ini. Ayah kepada ayahku itu selama hidup mencari - cari akan anak lelakinya itu dan apabila terlihat atau kelihatan di mana - mana, arwah datukku itu berkejar - kejap mahu menemui arwah ayahku, namun arwah ayahku mengelakkan diri. Mungkin berasa marah dan berdendam terhadap ayahnya yang meninggalkannya. Hal itu tidak aku ketahui sehingga mak sendiri yang bercerita. Pada aku walau bagaimana sekalipun seorang ayah itu, sama ada jahat atau baik, seseoranganak tidak patut memutuskan hubungan di antara satu sama lain. Mujur arwah ayah sangat baik dengan kami adik beradik walaupun dia tidak mempamerkan kasih sayangnya secara langsung kepada kami enam beradik yang kesemuanya lelaki, tetapi arwah ayah meninggalkan kami semua termasuk mak di saat kami masih memerlukannya...

Berbalik kepada cerita, arwah datukku itu sebelum meninggal dunia amat berhajat untuk menemui arwah ayah demi menyerahkan harta pusaka, namun semuanya terlambat. Akibatnya, ada saudara sebelah arwah ayah, kata mak, saudara - saudara tiri arwah ayah dengan sengaja memanipulasi segala hak yang sepatutnya arwah ayah miliki. Jika tidak, mungkin arwah ayah antara orang yang terkaya di Alor Star!

Semalam, aku singgah di rumah bakal mak mertua di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Perjalanan dari Gurun Ke Kuala Kangsar mengambil masa kira - kira 2 jam setengah. Aku disambut mesra oleh makcik Fatimah, Ida tunanganku dan Caer bakal adik iparku yang telah aku anggap seperti adik kandungku sendiri. Tujuan aku bertandang adalah untuk menyerahkan baki wang hantaran seperti yang dijanjikan. Tatkala aku mahu menyerahkan wang tersebut, makcik Fatimah mengalirkan air mata kerana terharu dengan kepercayaan dan kesungguhan yang aku pamerkan. Memang betul, aku mahu mengotakan janji dan sungguh - sungguh mahu menikahi Ida, dan kesungguhan itu telah, sedang dan akan aku buktikan. Alhamdulilah segala perbelanjaan perkahwinan di sebelah perempuan telah aku sempurnakan, cuma perlu menetapkan tarikh pernikahan dan majlis kenduri kedua - dua pihak. Selepas ini aku cuma perlu mengumpulkan belanja untuk pihak sebelahku dan tempoh yang aku jangkakan sekitar setahun ini pasti cukup untuk menjayakan perkahwinanku dengan sempurna, amin...


Ketika ini aku berada dalam keadaan yang amat mengantuk, semalam sekali lagi aku gagal untuk tidur dengan lena, entah kenapa mataku berasa berat untuk ditutup dan perasaan untuk tidur langsing tiada walaupun keletihan dek memandu jauh pada sebelah siangnya. Bermacam cara telah aku lakukan, dan aku sendiri tidak pasti adakah aku tidur atau berjaga sepanjang malam tadi walaupun aku perasan aku ada bermimpikan sesuatu. Dan sekali lagi malam tadi, ketika waktu menghampiri tengah malam, kedengaran bunyi perabot ditarik - tolak. Adakah ia perbuatan jiran di tingkat bawah atau...

Maklum mengetahui, jika terdapat bunyi - bunyi seperti perabot ditarik atau ditolak dan lantunan bunyi di lantai menandakan ada gangguan jin di sesebuah rumah itu. Aku yang sudah mengetahuinya berasa sudah lali, tetapi sesekali mendengarnya di tengah malam tetap mengundang perasaan seram. Seperti mana pengalaman ketika menyewa di rumah sewa di Seksyen 18 Shah Alam beberapa tahun lalu, ketika itu aku tidak menyedari bunyi perabot ditolak atau ditarik tatkala menjelang tengah malam menandakan sesuatu yang tersirat. Dan aku langsung beranggapan ia mungkin perbuatan anak - anak jiran yang bermain dengan kerusi atau meja. Setelah mengetahui maksud sebenar di sebalik bunyi tersebut, aku terkedu...

Waktu ketika ini melewati 1435pm, aku belum makan tengah hari, dan aku tidak tahu aku mahu makan atau menahan lapar sehingga ke petang. Cadangnya tadi mahu ke kedai di tingkat atas untuk membeli sachet nescafe atau milo dan membancuh air panas. Mungkin enak dinikmati ketika berada dalam kesejukan penghawa dingin yang suhunya sekitar bawah 18 darjah celcius. Mungkin sebentar lagi sesudah aku menyiapkan entri ini. Dan esok aku bercuti sehari, setakat ini aku belum merancang apa - apa, mungkin berehat saja di rumah. Rasanya aku sudah patut memulakan plan menguruskan badan yang semakin membesar ini bermula pada esok hari...

Sambil melakukan tugas hakiki mengemaskini pangkalan data Integrated Library System (ILS), aku berkesempatan mencari sedikit sebanyak maklumat mengenai pengajian sarjana di Universiti Malaya. Aku tertarik untuk membuat pencarian mengenai kadar yuran yang dikenakan oleh Universiti Malaya yang kelihatan agak mahal berbanding lain - lain universiti. Selepas membaca beberapa komen dan ulasan di blog, aku membuat rumusan bahawa aku tetap perlu memilih UiTM sebagai lokasi untuk meneruskan pengajian sarjana selepas aku terkandas dengan pengajian sebelum ini di tempat yang sama. Mungkin aku perlu membuang perasaan malu kerana dalam menuntut ilmu tidak perlu berasa malu dengan kegagalan kerana dari situ aku akan memperolehi kekuatan. Tetapi aku tetap malu kerana gagal dalam pelajaran, seolah - olah gagal itu satu dosa yang besar. Entahlah, aku tidak pasti kenapa aku sengaja menjemput kegagalan...

Sekian untuk tahun 2013, bertemu lagi di tahun 2014 yang pasti lebih mencabar...



3 ulasan:

Ahmad Zaki berkata...

semoga tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. =)

ZH Blogger

Mak Wardah berkata...

Memang sangat mencabar

Khai faiz berkata...

Xde2 idea tapi panjang gak entri ni...hahaha