SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

19 Januari 2014

GIGITAN ASMARA...





Empat hari lagi sebelum pulang bercuti ke Gurun, aku mahu menaip satu entri…

Tatkala kegatalan dek gigitan asmara hama – hama yang berkubu di rumah sewaku ini, aku tergerak untuk menaipkan sesuatu di blog yang kian sepi diabaikan tuannya yang tidaklah sesibuk mana tugasnya di pejabat. Sudah berminggu aku ditawan bala tentera hama yang entah datangnya dari mana tidak sesekali diundang untuk berada di singgahsanaku ini. Sepulangnya aku dari bekerja syif malam pada cuti Thaipusam lalu aku terus bertungkus lumus mengemas rumah demi menghambat pergi sang hama dari terus bertakhta. Alhamdulilah sesudah dikemas dan dibersihkan, rumahku indah berseri bak di pagi aidilfitri, namun belumpun lelahku hilang, tiba – tiba masih ada gigitan manja dari hama yang enggan sesekali melepaskan nikmat berasmara dengan tubuh gebuku. Mujur dengan bekalan ubat sapu yang diambil di klinik, sedikit melegakan keenakan gigitan sang hama. Mujur juga pada minggu lalu aku bekerja pada syif malam seorang diri, dek kerana tergaru sana dan sini seperti monyet tidaklah mendatangkan rasa curiga di kalangan rakan sepejabat. Saban malam sebelum tidur aku perlu menyapu sama ada minyak gamat ataupun minyak Johnson & Johnson ke seluruh anggota badan, jika tidak dilakukan alamatnya gatal dan mianglah satu tubuhku ini kerana hama…

Baru – baru ini aku bereksperimen dengan diri sendiri. Apakah eksperimennya? Aku cuba untuk mengurangkan makan semaksima yang mungkin. Di suatu hari aku langsung tidak bersarapan, sekadar meneguk air kosong dan aku hanya mengambil makanan pada lewat petang supaya aku tidak lagi perlu makan malam. Pendek kata, aku hanya makan sekali sehari. Aku melakukannya beberapa hari berturut dan hasilnya aku mampu hilang sehingga seinci saiz pinggang cuma dalam masa tiga hari. Agak menghairankan kerana aku tidak melakukan apa – apa senaman berat kecuali bermain dengan ‘dumb bell’. Namun untuk terus berlapar aku tidak sanggup kerana aku perlukan tenaga untuk bekerja. Sekadar mencuba, mungkin cara itu dapat membuatkan aku kurus dengan lebih cepat sebelum menjelangnya hari perkawinanku. Dugaan bekerja di pejabat yang pendingin hawanya agak kuat yang menyebabkan aku sentiasa lapar adalah satu ujian paling berat untuk aku hadapi. Mujur di rumah aku sengaja tidak membeli barangan dapur dan memenuhkan peti ais dengan stok makanan seperti yang aku praktikkan sebelum ini. Pada tahun 2014 ini seperti tahun – tahun sebelumnya aku nekad untuk kurus, maka berusahalah!

Tahun 2013 diakhiri dengan permulaan tayangan drama bersiri Ariana Rose di TV3. Memang pada episod pertama lagi aku sudah mengikutinya dan kemudahan yang ada di pejabat membolehkan aku menonton drama itu lebih awal sebelum siaran di tv. Namun aku lebih teruja untuk menonton di tv kerana berasa begitu ‘gembira’ dengan selingan iklan. Maaf TV3, aku tahu itu salah satu sumber pendapatanmu yang juga sumber untuk gajiku. Aku pasti ramai di luar sana mengikuti Ariana Rose. Aku pasti ia mampu mencipta fenomena tersendiri seperti drama – drama bersiri sebelum ini yang disiarkan menerusi slot Akasia. Aku bercadang mahu membeli novel karya asal yang diadaptasi oleh drama bersiri tersebut . Khabarnya hanya sekitar 60 peratus sahaja jalan cerita asal yang dipaparkan menerusi drama itu untuk mengikut kesesuaian tayangan di tv berbanding kandungan asal di dalam novel. Tiba – tiba aku juga mahu menulis novel, mana tahu bakal diangkat menjadi versi drama di tv…

Baru – baru ini aku mengunjungi tunangku di Kuala Kangsar, dengan hajat untuk menyerahkan baki wang hantaran kepada keluarganya. Alhamdulilah urusan kewangan yang akan digunakan sebagai perbelanjaan kenduri – kendara di sebelah tunangku sudah dijelaskan, cuma aku perlu mengumpulkan sedikit lagi wang untuk perbelanjaan kenduri – kendara di sebelahku pula termasuklah peruntukan perbelanjaan luar jangkaan dan juga perbelanjaan selepas perkahwinan. Baru aku tahu betapa peritnya menjadi bakal pengantin. Pada bahu bakal pengantin lelaki itulah tergalasnya tanggungjawab untuk menyediakan setidak – tidaknya sekitar RM 30 ribu untuk perbelanjaan perkahwinan. Lebih perit lagi, tunanganku itu tidak bekerja dan hanya berniaga kecil – kecilan di rumahnya. Alangkah bertuahnya sang lelaki yang pasangannya bekerjaya kerana dapat membantu dalam soal persiapan perkahwinan. Aku terpanggil untuk menyediakan barang hantaran untuk kedua – dua pihak kerana tidak mahu membebankan tunangku itu, mujur barang hantaran tidak banyak dan aku awal – awal lagi telah membeli barangan secara berperingkat.. Pada mulanya akubercadang untuk mengadakan majlis resepsi yang sederhana di sebelahku nanti, tetapi awal – awal lagi emak telah mengkhabarkan kepada sanak saudaranya di Sabah dan juga saudara – mara sebelah arwah ayah akan perkahwinanku yang bakal diadakan penghujung tahun kelak. Dalam serba salah, aku perlu memikirkan untuk menyediakan bajet yang lebih besar. Aku tahu perkahwinan ini cuma sekali seumur hidup, mungkin sudah menjadi sikapku selama ini untuk tidak terlalu boros berbelanja pada sesuatu perkara tertentu. Tetapi ini adalah perkahwinanku. Setidak – tidaknya aku perlu melakukan sehabis baik dan memikul apa sahaja tuntutannya. In sya Allah, pintu rezeki akan terbuka untukku…  

Minggu lalu aku berkesempatan menonton sebuah drama menerusi slot Festival di TV3 yang bertajuk ‘Olong’. Aku hanya menyaksikannya separuh jalan ketika tiba di pejabat untuk bekerja syif malam dan aku menonton secara penuh di TONTON.



Drama tersebut berkisar tentang kehidupan sebuah keluarga yang terdiri daripada Pak Muluk, lakonan Sabri Yunus, watak Lut yang dilakonkan oleh  Takiyuddin Bakar dan watak utama iaitu Olong dijayakan oleh Melly Amalin. Olong menggantikan bapanya iaitu Pak Muluk untuk mengendalikan kotak yang sering ulang alik di Sungai Muar kerana bapanya diserang strok. Aku amat tertarik dengan lakonan Melly Amalin sebagai Olong kerana sangat neutral dan drama tersebut sememangnya memaparkan realiti kehidupan masyarakat di luar Bandar yang jarang kita ketahui. Sesekali apa salahnya drama – drama di kaca tv di Malaysia ini memaparkan kisah seperti yang dibawa menerusi drama ‘Olong’ daripada terus – menerus menayangkan drama berunsurkan percintaan, hasad dengki dalam perniagaan, pergaduhan suami isteri yang membawa kepada perceraian dan sebagainya. Aku menantikan jam 10 malam untuk menonton drama menerusi slot yang sama malam ini yang bertajuk ‘Balqis’, lakonan Puteri Balqis, Nabila Huda dan Pekin Ibrahim, satu lagi drama masyarakat arahan Erima Fatima yang patut diambil iktibar oleh semua.

Mahu berundur seketika, blog ini akan kembali dikemaskini jika tuannya tidak sibuk dengan tugas arkibnya…

Sekian.







3 ulasan:

Ahmad Zaki berkata...

Dasyatnya berlapar. Boleh makan tapi kuantiti sedikit. Bahaya berlapar, boleh dapat sakit.

ZH Blogger

DIARI MAT ARKIB berkata...

berlapar kerana nak merampingkan pinggang mcm ekau, hehe

Khai faiz berkata...

Aku pun Guna tektik yang sama... Memang berkesan bro... Skang ni x buat dah... Cuma gantikan dgn buah... Pagi setengah buah apple dgn susu.. Tgh hari sebijik buah apple dan oat... Cuba la bro...