SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

18 Ogos 2014

PANJANG...




Bismillahirrahmanirrahim!


Selepas mengambil 'mood' dengan membaca beberapa blog, akhirnya aku berkeputusan untuk menaip satu entri terbaharu selepas beberapa lama tidak memuat naik apa - apa entri, dan entri yang terakhir daripada aku adalah mengenai episod akhir drama KERANA TERPAKSA AKU RELAKAN. Mari mulakan...

Selalunya aku akan memulakan entri dengan lafaz AND THE STORY GOES LIKE THIS... bersempena dengan nama blog aku yang terdahulu, namun atas sebab - sebab peribadi ia ditukar kepada DIARI MAT ARKIB. Dan sebaik - baik lafaz sebelum memulakan sesuatu adalah bismillahirrahmanirrahim...

Sepanjang  bulan Ramadan yang lalu aku tidak banyak menghasilkan entri, mungkin taip menaip ini bukan lagi keutamaan aku memandangkan tuntutan tugas di pejabat adakalanya membuatkan aku lupa yang aku memiliki sebuah blog yang menagih aku untuk sentiasa dikemaskini. Lagipun, aku mengambil pendekatan untuk 'low profile' kerana aku bukan siapa - siapa untuk orang lain ambil peduli. Cukuplah sahaja niat aku untuk bermadah di blog ini untuk tujuan peribadi sebagai kenangan di masa hadapan. Alhamdulilah bulan Ramadan dilalui dengan tenang dan menggembirakan walaupun sedikit penat, biasalah siapa tidak berasa penat jika berpuasa. Pada minggu pertama puasa aku berpeluang untuk pulang ke rumah emakku di Gurun dan memulakan ibadah puasa di sana selama beberapa hari. Itulah yang akan aku lakukan sekiranya aku ditugaskan untuk berkerja pada sepanjang minggu hari raya. Aku akan mengambil cuti dan memulakan Ramadan bersama keluargaku. Untuk hari pertama puasa kesemua ahli keluargaku berkumpul kecuali adikku Hafizul dan isteri bersama anak lelaki mereka. Sesungguhnya perasaan berbuka puasa beramai - ramai bersama keluarga amat menyeronokkan. Cuma sedikit perasaan hambar tetap dirasa setelah ayah telah tiada.

Aku pulang semula ke Kota Damansara selepas beberapa hari bercuti, dan berpuasa sendirian mengajar aku untuk lebih ala kadar dalam menyiapkan juadah berbuka puasa dan juga untuk bersahur. Apa yang aku lakukan adalah dengan memasak lauk sejenis dua untuk dinikmati pada masa berbuka puasa dan bersahur, mujur aku tidak cerewet tentang makanan dan aku sedikit sebanyak boleh memasak. Sepanjang bulan Ramadan yang lepas juga hanya sekali aku berkunjung ke bazar Ramadan dan selebihnya aku menyediakan sendiri makanan ataupun membeli sedikit lauk pauk di kantin pejabatku. Jika bekerja pada syif petang aku berbuka puasa di surau pejabat kerana ada disediakan juadah khusus untuk individu yang bekerja. 

Mujur pada minggu ketiga Ramadan, Shahir datang dan tinggal bersamaku untuk beberapa hari, dan peluang yang ada aku ambil untuk menyediakan beberapa menu yang tidak pernah aku sediakan sebelum ini iaitu nasi tomato berlaukkan ayam masak merah. Cubaan kali pertama menyediakan nasi tomato dan ayam masak merah tidak mengecewakan, cuma perlu diperbaiki pada masa - masa akan datang. 

Pada tiga hari terakhir Ramadan, aku terpaksa melakukan pemeriksaan kesihatan di Tropicana Medical Center berhampiran dengan rumahku kerana selama beberapa hari aku mengalami denyutan yang luar biasa pada dada sebelah kiri. Pada hari Jumaat itu aku perlu melakukan pemeriksaan khusus untuk mengesan sebarang masalah pada jantung. Bayangkan aku terpaksa berlari di atas 'treadmill' untuk beberapa minit dan jantung aku diperiksa dengan beberapa jenis alat. Sesuatu yang agak memalukan aku adalah di mana aku perlu berlari tanpa memakai baju dan disaksikan oleh seorang doktor dan dua pembantu perubatan. Agak memalukan juga tetapi kerana terpaksa... aku relakan. Hasil ujian, aku tidak mengalami sebarang masalah pada jantung dan doktor memberitahu bahawa jantung aku amat sihat, beliau pasti aku mengalami keasidan di dalam badan sehingga mengganggu beberapa fungsi organ di dalam badan. Alhamdulilah...

Sepatutnya pada hari tersebut aku mahu membeli - belah di ibu kota namun demi kesihatan, aku relakan cuti sehari aku itu dimanfaatkan untuk pemeriksaan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Usai pemeriksaan tersebut, aku terus sahaja menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat, iaitu Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan 1436 hijrah.

Demi mengubat rasa hampa kerana tidak dapat membeli belah di Kuala Lumpur, aku sekadar mengunjungi pasaraya besar di Kota Damansara, mendengar lagu - lagu raya yang berkumandang setidak - tidaknya dapat mengubat sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga, namun lagu - lagu raya tersebut tidak cukup kuat untuk membuatkan aku gembira, kerana kegembiraan yang mutlak untukku adalah mencium tangan dan memeluk emak di pagi raya. Sesuatu yang tidak dapat aku lakukan pada hari raya kali ini...

Pada petang hari raya, aku sibuk menyediakan bahan - bahan untuk memasak juadah lazim di hari raya seperti rendang. Kali ini aku menyediakan rendang daging, masak lemak serai,  ketupat palas segera dan nasi dagang impit segera yang aku beli di pasaraya. Cukuplah untuk aku seorang menikmatinya. Rumah telah aku bersihkan lebih awal, walaupun aku beraya sendirian namun hari raya tetap diraikan biarpun aku di perantauan. 

Seperti yang diduga, Ramadan kali ini hanya 29 hari, dan 1 Syawal disambut pada 29 Julai 2014. Aku amat mengharapkan Ramadan akan genap 30 hari, namun kuasa Allah swt siapa yang dapat menghalangnya. Tatkala mendengar alunan takbir hari raya, perasaan rindu pada bulan Ramadan amat dirasai. Aku berdoa agar umurku dipanjangkan lagi untuk menemui Ramadan yang akan datang, in sya Allah...

Minggu pertama hari raya aku ditugaskan untuk bekerja di sebelah petang iaitu dari jam 3 petang sehingga jam 12 malam. Malam raya aku tidur agak lewat, selepas menonton siaran hiburan dan mendengar takbir raya di televisyen, aku terlelap dan hanya terjaga ketika azan subuh berkumandang. Usai solat subuh aku tidur semula, menyebabkan aku terlepas terus untuk solat sunat hari raya. Suasana hari raya tidak dirasai sama sekali, di blok apartment tempat yang aku tinggal ini sedikit sunyi sepi kerana kebanyakan masyarakat Islam yang menetap di Blok Siantan 5 ini adalah perantau yang pasti pulang berhari raya di kampung halaman masing - masing. Lot parkir juga agak lengang dan jumlah kereta yang ada boleh dibilang dengan jari. Aku menuju ke pejabat dengan membonceng motorsikal, malas rasanya untuk memandu kereta ke pejabat yang jaraknya cuma 7 kilometer. Setibanya di pejabat, hanya aku yang berpakaian biasa, lain - lain staf berpakaian hari raya sama ada baju melayu lengkap bersampin dan juga berbaju kurung mahupun kebaya. Aku terus menyambung tugas. mengambil sedikit masa untuk berbual - bual dengan rakan setugas sambil menonton rancangan hiburan di televisyen. Dan perkara itulah yang aku lakukan sepanjang seminggu bekerja di hari raya. Tidak mengapa, tahun lalu aku berkesempatan untuk bercuti pada hari raya dan pada tahun depan juga in sya Allah aku tetap berpeluang untuk berhari raya bersama keluarga. Selang setahun bercuti dan bekerja sempena hari raya tidak menjadi soal, asalkan aku gembira...

Aku pulang bercuti semiggu selepas hari raya, iaitu pada 3 Ogos 2014. Pemanduan yang bermula seawal jam 8 pagi berakhir di destinasinya iaitu di Gurun lewat petang, sengaja aku berlengah dan membuang masa. Sebenarnya aku menemani Shahir yang bermotorsikal dari Kuala Kangsar ke Bukit Mertajam, mujur aku menemaninya kerana sepanjang perjalanan dari Kuala Kangsar ke Bukit Merah, hujan turun sekejap - kejap sepanjang perjalanan. Jika tidak, beg yang Shahir galas sepanjang menunggang motorsikal pasti basah. Kunjunganku ke rumah Shahir di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar juga bertujuan untuk menemui tunanganku iaitu Noorul Hidayah, kakak kepada Shahir, namun hajat tidak kesampaian kerana si dia dan bakal ibu mertuaku sehari lebih awal telah pergi ke Putrajaya.

Setibanya aku di rumah emakku di Gurun, perasaan letih dan mengantuk mula menguasai diri. Tidak dapat tidak, selepas makan malam bersama emak, aku terus tidur kerana sudah kepenatan. Namun seperti biasa, asal sahaja aku pulang, aku akan diserang selesema, mungkin aku alah kepada bulu kucing, dan daripada selsema aku mendapat batuk, dan hal itulah yang perlu aku hadapi sepanjang aku bercuti selama seminggu. Tidak mahu menyalahkan emak mahupun Ozair kerana membela kucing, mungkin benar aku alahan kepada kucing, mujur aku lebih cepat bertindak kerana telah menyediakan ubat selesema, 'Vic', 'inhaler' dan ubat batuk. Kali ini selesema dan batuk aku tidak terlalu kronik walaupun aku tetap berasa lelah dan sukar untuk bernafas. Apa yang aku risaukan ialah aku pasti akan mengalaminya setiap kali pulang ke Gurun dan tidak dapat tidak, aku pasti akan melaluinya lagi pada masa - masa akan datang. Aku berharap aku tidak akan mengalaminya pada majlis perkahwinanku pada bulan Disember nanti. Bagaimana mahu melafazkan akad nikah jika aku tidak sihat...

Tujuan aku pulang ke Gurun juga adalah untuk membuat sedikit persiapan untuk perkahwinan, tetapi usaha ke arah itu agak terbantut kerana aku mengalami selesema dan batuk yang langsung membuatkan aku berasa tidak selesa. Aku mengambil keputsan untuk membuat persiapan perkahwinanku pada minggu hari raya aidiladha nanti. Mujur aku sudah membuat sedikit persediaan dan bakal disusuli dengan pembelian lain - lain barang dalam masa terdekat. Harap masa masih panjang walaupun persiapan sepatutnya perlu dirancang lebih awal. Kira - kira cuma tinggal 100 lebih hari sahaja lagi sebelum aku bergelar suami yang sah kepada Noorul Hidayah...

Selepas seminggu bercuti, aku kembali bertugas dan aku bekerja syif malam selama tiga hari lalu bekerja pada syif normal selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lepas. Ini kerana aku perlu menghadiri latihan penggunaan sistem pengurusan aset media yang baharu dan bakal digunapakai dalam masa terdekat. Aku berharap dengan hadirnya sistem baharu yang dikenali sebagai DALET ini akan membuatkan tugasan unitku lebih lancar dan sistematik. Ciri - ciri dan fungsinya amat mudah dan pastinya akan membuatkan staf dalam unitku lebih bersemangat untuk bekerja selepas sistem terdahulu telah tamat tempoh hayatnya. 

Syawal masih berbaki, dan masih ada kesempatan untuk aku mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI dan ucapan ini aku tujukan khas untuk mereka yang tidak lagi aku hubungi ini:

PARIZAN MOHD ZAIN
NORASHIKIN MD NOOR
AIDIL DULBAHRI
ABDUL RAHMAN MOHAMED
SYED FARIQ IKHWAN 
SNAVE GUY LAVOIE JR
dan sesiapa sahaja...

Aku pernah berdosa kepada kalian, dan sempena hari raya ini dengan rasa rendah diri aku memohon kemaafan...





Wasalam...

DIARI MAT ARKIB





Tiada ulasan: