SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

31 Januari 2017

SALAM 31 JANUARI 2017


Tiba - tiba aku rasa hendak menaip...

Lapar, keadaan di pejabat agak sejuk, mahu ke kantin tapi agak malas, kaki rasa lebih ringan untuk ke One Utama, mungkin di OU lebih banyak pilihan makanan, tapi... perlu banyak berjimat, anak yang bakal lahir nanti perlu banyak wang untuk dibelanjakan. Entahlah, kebelakangan ini keinginan aku semakin terbatas, apatah lagi keperluan aku sendiri, semakin dikurangkan. Kerana hanya aku sahaja yang bekerja, maka amat perlu berjimat cermat. Tapi, kalau tiba - tiba aku menghayunkan kaki ke arah premis makanan segera di OU, itu adalah 'cheat day'... 

Minggu ini aku berkerja syif petang - 3PM to 3am. Esok aku bercuti kerana akan menemani isteri untuk ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Meru Klang, semestinya esok perlu lebih awal berada di KKIA sekitar jam 7.30 pagi kerana isteri perlu menjalani BSP check up dan seterusnya temujanji bersama doktor pada pukul 8 pagi. Perut isteriku yang hamil 7 bulan akan dilakukan imbasan ultrasound sekali lagi. Mungkin esok bakal tahu apa jantina kandungan isteriku, apakah aku bakal mendapat anak lelaki atau perempuan maka esoklah penentunya. Bukan tidak mahu membawa isteri ke klinik swasta yang menyediakan pemeriksaan 3D atau 4D, mungkin lebih elok dilalukan di klinik kerajaan terlebih dahulu dan bakal menyusul pemeriksaan lanjutan di klinik swasta. Insya Allah. 

Menjelang waktu asar, sebelum aku mengambil peluang bersolat dan 'hilang' sebentar ke OU untuk mencari sesuap dua sebagai isi perut, aku terus memandang skrin komputer ini dan jejari semakin rancak menari di papan kekunci, menaipkan apa sahaja yang terlintas di fikiran. Agak lama juga aku tidak menghasilkan apa - apa entri di blog ini. Sebab utama - MALAS. Tetapi seronok juga bila kerajinan itu kembali, lantas keseronokkan berblog bebrapa tahun lalu menggamit memori pahit dan manis. Dan ada juga sebab aku semakin menjauhi blog ini, kerana mahu jadi lebih 'low profile' tanpa bercerita apa - apa lagi kepada umum. 

Kesihatan emak semakin merosot, entahlah, fikiran aku adakalanya buntu, apa yang perlu aku lakukan untuk mengembalikan kesihatan emak, pasti jenuh Ozair menjaga emak sendirian. Mujur juga ada adik beradik yang lain rajin menjenguk emak, cuma aku sahaja yang tidak berpeluang untuk pulang selalu kerana faktor jarak dan masa, sementelahan isteriku semakin sarat. Ya Allah, sihatkanlah ibuku, bahagiakanlah dirinya sebagaimana dia lakukan kepada kami enam beradik. 

Aku harap akan datang lagi kerajinan luar biasa untuk aku menaip di sini, tetapi aku perlu beransur terlebih dahulu, ada sepasang dua mata yang asyik mengerling ke arahku seperti tertanya - tanya apa yang sedang aku lakukan sedangkan orang lain sibuk dengan tugasan masing - masing...

Assalamualaikum...

Tiada ulasan: