SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

18 April 2017

ARSYAD ZAFRI...



Assalamualaikum...

Hari ini bertarikh 18 April 2017, sekitar jam 4.49 petang, tiba - tiba aku rasa mahu menaip sesuatu untuk isi blog. Terlalu banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini dan memang patut aku ceritakan di sini sebagai kisah silam di masa hadapan. Tadi aku keluar agak awal untuk ke ofis disebabkan hujan, tapi bila tiba di kedai NT hujan semakin renyai, aku singgah di situ untuk membeli double sided tapes untuk menyudahkan kerja DIY aku yang tertangguh. Aku telah membeli 15 keping cermin bersaiz A4 untuk ditampal di dinding bilik utama, tujuannya untuk dekorasi bagi menjadikan bilik utama itu kelihatan lebih luas dan sedikit terang. 

Aku tiba di parkis ofis sekitar 1.40 petang dan menyerahkan kunci kereta kepada petugas valet dan terus naik ke ofis. Sebenarnya aku agak lapar, rencananya mahu makan di kantin terlebih dahulu tetapi apabila masuk sahaja ke ofis aku terus duduk di hadapan PC dan 'online'. OK mari aku lanjutan ke perkara pokok yang mahu aku taipkan di sini...

Alhamdulillah anak pertamaku telah lahir dengan selamat pada 27 Februari lalu di Hospital Shah Alam. Ceritanya begini...

Aku pulang ke rumah hampir pada tengah malam 26 Februari, sememangnya selepas pukul 10 malam aku sudah boleh balik ke rumah tetapi aku mahu menyudahkan kerja terlebih dahulu. Tiba di rumah, isteriku sudah tidur tetapi dia sedar akan kepulanganku. Dia mengadu sakit - sakit perut, aku sekadar mengatakan mungkin dia sekadar sakit biasa sahaja dan memujuknya untuk tidur. Aku dan isteri baring di katil dan aku cuba untuk melelapkan mata. Aku sedar ketika isteriku memasang lampu dan mengadu dia sakit perut yang teramat dan mengadu ada pendarahan. Aku yang dalam kebingungan dan mengantuk terus sahaja bersiap dengan kadar segera dan mengagak isteriku sakit hendak bersalin. MUjur beg berisi pakaian isteri dan bakal baby telah tersiap sedia di tepi pintu. Kami berdua terus sahaja bergegas ke Hospital Shah Alam kerana ia hospital awam yang terdekat dengan rumah. Setibanya di sana isteriku diminta untuk masuk ke unit PAC, meninggalkan aku sendirian di perkarangan unit kecemasan hospital berkenaan. Agak lama juga menunggu, akhirnya isteriku keluar dari unit PAC mengatakan dia telah diperiksa dan belum ada tanda - tanda untuk melahirkan. Kami berdua pulang semula ke rumah sekitar jam 5 pagi. Isteriku mengadu yang dia terpaksa menahan malu yang bukan kepalang kerana dia diperiksa oleh doktor lelaki !!

Selepas subuh, sekali lagi isteriku mengadu kesakitan dan tanpa membuang masa kami bergegas semula ke Hospital Shah Alam. Sekali lagi isteriku ditempatkan di unit PAC. Kali ini agak lama juga aku menunggu di sekitar hospital, mundar mandir sana dan sini menunggu isteriku yang entah apa berlaku pada dirinya. Seblum itu aku menghubungi bos untuk memaklumkan yang aku terlu mengambil cuti kecemasan. Ketika naik semula ke unit PAC, tidak berapa lama kemudian aku dihubungi oleh jururawat hospital berkenaan mengatakan isteriku kini ditempatkan di labour room kerana telah ada bukaan sebanyak 6 cm dan aku diminta ke unit berkenaan dengan segera. Allahuakbar !! 

Mendengarkannya membuatkan aku menjadi gugup, menggeletar, tak keruan dan ketakutan. Otak ligat memikirkan apakah Ida bersedia untuk bersalin kerana kandungan baru berusia 33 minggu 5 hari. Tanpa berlengah lagi aku terus sahaja ke labour room dan mendapati isteriku mengerang kesakitan yang tak terperi. Tetapi sebelum itu aku sempat menghubungi ahli keluarga aku dan isteri untuk memaklumkan keadaan Ida yang sedang sakit untuk melahirkan.

Ketika menemani Ida, aku hanya mampu menenangkannya yang sedang bertarung nyawa menahan kesakitan untuk bersalin. Mujur jururawat yang sedang bertugas sangat - sangat memahami dan melayani isteriku dengan amat baik sekali. Ketika jam menghampiri ke pukul 4 petang, setelah bukaan telah mencapat 10 cm, sekumpulan jururawat dang pegawai perubatan dalam pakaian serba biru kesemuanya datang menghampiri katil, mereka sebenarnya mahu membantu dalam proses kelahiran. Ketika aku masih di sisi isteri, mereka mula melakukan tugas masing - masing dan dalam masa yang sama membantu dan memujuk isteriku yang sedang dalam kesakitan. 

Akhirnya, kita - kita jam 453 petang lahirlah ke dunia seorang bayi lelaki. Alhamdulillah, penantian selama ini akhirnya tiba ke penghujungnya. Bayi lelakiku itu dilahirkan secara normal dengan berat kira - kira 1.98 kilogram. Untuk pertama kalinya aku menyaksikan sendiri proses kelahiran bayi, dan bagaimana bayiku lahir dan disambut keluar. Kufikirkan aku akan pengsan apabila melihat dan menghidu baru darah. Kulihat isteriku kepenatan yang tak terhingga dan seperti mamai tidak tahu apa yang berlaku ketika itu. Bayi berkenaan terus dibersihkan dan diberi bantuan pernafasan sambil isteriku diuruskan oleh jururawat. Aku dipanggil oleh jururawat yang bertugas untuk menguruskan kemasukan bayi di unit NICU kerana bayiku itu lahir pramatang. Setelah berurusan di bahagian hasil, aku terus naik semula ke labour room untuk menemui isteriku, ternyata dia amat lemah di atas kerusi roda. Aku menemaninya ke wad 1B bersama jururawat yang mengiringi kami. Ida terus ditempatkan di katil wad bekenaan dan baring dalam keadaan amat lemah. Aku tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama isteriku kerana masa lawatan akan berakhir. Dengan masa yang masih berbaki, aku menemani pula bayiku di wad NICU, di sana aku memandang bayiku dengan perasaan yang sangat terharu sambil menangis semahunya kerana melihat keadaan bayiku yang amat kecil dan wayar berselirat di sisinya. Aku hanya berpeluang untuk melafazkan azan dan iqamat dari luar kotak kaca inkubator yang menempatkan bayiku itu. 

Menjelang pukul 7 malam aku bergerak pulang ke rumah dengan perasaan yang bercampur baur. Sedih kerana meninggalkan isteri dan bayi baruku, perasaan lapar yang tak terhingga kerana tidak makan dari malam sebelumnya malah rasa mengantuk yang tak tertanggung lagi. 

Keesokan harinya aku agak awal di hospital untuk menziarahi isteri dan bayiku. Aku terlebih dahulu menemui isteriku kerana malam sebelumnya dia ditinggalkan tanpa satupun barang yang sepatutnya disediakan. Rasa bersalah yang teramat kerana isteriku tidur dalam keadaan basah dengan darahnya malah Ida juga terketar - ketar kesejukan dan kelaparan. Setelah menguruskan isteriku aku menemani pula bayiku di wad NICU. Tidak ada apa - apa perkembangan yang ketara terhadap bayiku, hanya terbaring lemah di dalam inkubator. 

Keesokannya aku dihubungi oleh isteriku mengatakan yang dia boleh discharged, alhamdulillah. Dengan meminjam kerusi roda di kaunter hospital, aku membawa isteriku menemui bayiku. Kulihat isteriku menggagahkan diri untuk melihat bayi kami. Aku membawa pulang isteriku ke rumah tanpa bayi kami kerana dia masih ditahan di wad NICU untuk suatu tempoh masa yang kami sendiri tidak pasti. Mujur Ida mat kuat semangat orangnya, ketika di rumah aku membantu menguruskan keperluan isteriku dan dia ternyata cuba untuk menggagahkan diri tanpa menyusahkanku.

Keesokannya kami ke wad NICU untuk menziarahi bayi kami berbekalkan susu yang dipam oleh isteriku namun dalam kuantiti yang tidak banyak kerana isteriku menghadapi sedikit kesukaran. Pada hari berkenaan juga, bayi kami secara rasminya mempunyai nama... kami sepakat menamakannya ARSYAD ZAFRI.

Hampir setiap hari kami berdua menziarahi Arsyad Zafri di wad NICU, sehinggalah hari ke-9 akhirnya bayi sulungku itu dibenarkan keluar dari wad NICU untuk pulang ke rumah. Namun untuk dua malam sebelumnya Ida perlu berada di wad NICU untuk menemani anak kami kerana Ida perlu menyusukannnya secara konsisten. Mujur juga Arsyad Zafri tidak mengalami jaundis untuk tempoh masa yang lama. Akhirnya Arsyad Zafri kami bawa pulang ke rumah dan bermulalah kisah aku dan isteri sebagai ayah dan emak kepada bayi kami dengan pelbagai kisah suka dan duka ketika menguruskan bayi kami sendiri. 

Arsyad Zafri... semoga kamu menjadi kebanggaan ayah dan mak...




Tiada ulasan: