SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

16 Disember 2019

ESOK TETAP DI TANGAN TUHAN...




16 December 2019...

Sepatutnya pada hari ini, sekadar membayangkan yang aku menerima surat yang mengesahkan aku melalui fasa 'retrenchment' pada hari ini, tetapi... setakat tengah hari ini selepas berkali - kali refreshing email dari hari Jumaat lepas, sah lah aku tidak menerima apa - apa emel daripada secretary HOD aku seperti lain - lain staf yang sudah declared status diri masing - masing seraya mengucapkan selamat tinggal di dalam Whatsapp group office aku yang mereka ada menerima emel untuk mengadap HOD petang tadi bagi menerima surat pemberhentian kerja. Jadi, nampak gayanya aku masih diperlukan untuk bekerja di syarikat ini sehingga bila hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui... Bak kata bait lirik Wann, "ESOK TETAP DI TANGAN TUHAN..."

Di tahun 2020 ini atau lebih tepat pada 5 Mei 2020 genap lah 16 tahun aku bekerja di sebuah stesen televisyen swasta pertama di Malaysia. Aku seolah - olah berasa seperti bermimpi dan kekal di dalam mimpi yang aku memulakan kerjaya aku di sini pada 5 Mei 2004 yang lalu, ceritanya bermula begini, aku di Alor Setar pada masa itu sedang mengisi butiran di dalam borang dan menunggu giliran untuk ditemuduga di sebuah hotel kerana sudah menamatkan kursus Bahasa Inggeris menerusi Skim Latihan Graduan (SLG) selama enam bulan, daripada tidak berbuat apa - apa baik aku pergi mencari kerja, kerana pada masa aku masih di dalam kursus itu ada diajar mengenai teknik membina resume yang efektif,  terdetik di fikiran untuk aku mengambil peluang dengan menghantar resume aku ke  stesen TV berkenaan sekadar mencuba nasib, tidak berapa lama selepas itu aku dipanggil temuduga, sudahlah pada masa itu aku sedang menunggu giliran untuk ditemuduga di hotel di Alor Setar itu, apabila menerima panggilan telefon yang mempelawa aku untuk hadir temuduga di Sri Pentas aku terus pulang dari hotel itu ke rumah, dan memikirkan persiapan untuk temuduga tersebut. Seingat aku dalam pertengahan bulan April 2004 aku pergi menghadiri temuduga di stesen TV itu yang terletak Bandar Utama. Pada masa itu aku diibaratkan seperti rusa masuk kampung kerana pertama kali berada di stesen TV berkenaan.

Baiklah, aku flash back semula, beberapa hari selepas mendapat panggilan temuduga, aku berada dalam kebimbangan apabila memikirkan bagaimana aku hendak pergi ke stesen TV itu, maklum lah pada masa itu belum ada lagi kemudahan seperti Google Map atau Waze atau seumpamanya. Tiba - tiba datang idea untuk ke Jom Heboh yang pada ketika itu sedang berlangsung di Stadium Darulaman. Dan di situ aku sambil - sambil membelek barangan di booth MYTV3, dengan kesempatan yang ada aku bertanya kepada salah seorang staf yang menjaga booth berkenaan cara untuk aku ke lokasi Sri Pentas di samping memaklumkan yang aku perlu menghadiri temuduga kerja.

Pada tengah malam dalam pertengahan bulan April 2004 aku menaiki bas ekspres menuju KL dan tiba awal pagi, lepak sebentar di Puduraya dan kemudiannya apabila sudah siang aku membawa diri ke Masjid Jamek untuk berehat sebentar sebelum check in di sebuah hotel bajet berhadapan Puduraya. Aku merasakan diri aku ini seperti gelandangan yang melepak di dalam ruang legar Masjid Jamek, terbaring di lantai masjid yang sejuk sambil lengan diletakkan di dahi sambil merenung nasib diri. Sekitar pukul 12 tengah hari kurang lebih aku check in di hotel bajet, kemudiannya seingat aku lah, aku keluar semula mencari bas yang menuju ke Bandar Utama. Dan bas itu membawa aku sampai ke One Utama dan mundar - mandir lah aku di sekitar shopping complex itu sambil  meninjau lokasi stesen TV berkenaan yang bersebelahan sahaja dengan One Utama. 

Selepas mengetahui keberadaan stesen TV berkenaan, aku menaiki bas untuk balik ke KL, sampai di hotel aku terus tertidur kerana kepenatan. Lewat petang aku keluar dan mencari kedai makan untuk menjamah makan malam di Jalan Masjid India. Sekembalinya aku ke hotel bajet tersebut, aku dapati ada gadis - gadis berkemungkinan besar *******  bersidai di tangga hotel berkenaan, aku terus masuk ke bilik walaupun ketika menaiki tangga aku dilemparkan senyuman manis oleh salah seorang daripada mereka. Oh tidak, aku masih kuat iman. Sebelum tidur aku buat persiapan untuk temuduga keesokan harinya dan akhirnya terlena di dalam kebingitan sekitar Jalan Pudu.

Tepat pukul 6 pagi aku checkout dari hotel berkenaan dan menuju ke bahagian simpanan bagasi di Puduraya, aku menyimpan beg aku di situ kerana aku perlu menghadiri temuduga, tak perlulah dibawa bersama. Dengan berbaju kemeja lengan panjang rona peach, berseluar slack biru gelap, berkasut kulit berkilat dan bertali leher UiTM sambil berbekalkan fail berisi sijil kelulusan akademik dan juga sebuah proposal pengurusan perpustakaan yang aku rasakan penting untuk menyokong temuduga itu, aku menaiki bas ke Bandar Utama. Entah bagaimana sama ada aku sendiri yang terleka untuk turun betul - betul berhampiran Sri Pentas atau bas yang terlalu laju yang kemudiannya terlajak sehingga menghala semula ke TTDI, aku turun di sebuah perhentian bas dan berpatah balik semula menaiki teksi menuju ke Sri Pentas. 

Setibanya aku di Sri Pentas, aku melaporkan diri terlebih dahulu di pondok pengawal, dan bertanyakan arah untuk ke bahagian sumber manusia. Aku menuju ke kafeteria terlebih dahulu untuk bersarapan sambil melihat gelagat pekerja stesen TV berkenaan dan kelihatan beberapa personaliti TV juga sedang bersarapan. Selepas dibantu oleh seseorang, aku akhirnya berada di bahagian sumber manusia sekitar jam 9 pagi dan diminta oleh seorang staf untuk menunggu seketika sehingga dipanggil. Selain aku ada seorang lagi calon yang datang untuk temuduga berkenaan yang hanya aku perasan akan kehadirannya sejurus selepas aku keluar dari bilik temuduga. 

Giliran aku untuk ditemuduga telah tiba, aku masuk ke dalam bilik berkenaan dan diminta duduk di hadapan tiga orang penemuduga, seorang lelaki dan dua wanita. Salah seorangnya adalah mantan bos aku yang telah bersara melalui skim VSS dua tahun lalu dan dua orang pengurus di jabatan masing - masing. Diringkaskan cerita, temuduga dijalankan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris, selain memperkenalkan diri, aku banyak disoal mengenai pengurusan perpustakaan, diuji untuk memberikan description dan keyword yang sesuai berdasarkan sekeping poster yang memaparkan beberapa ekor bangau putih, kesanggupan aku bekerja di hujung minggu dan cuti umum, juga diterangkan tugas - tugas yang bakal aku lakukan sekiranya diterima bekerja dan aku juga sempat menunjukkan proposal pengurusan perpustakaan yang telah aku hasilkan sebelum tamat pengajian. Aku difahamkan bahawa sekiranya aku berjaya diambil bekerja, aku akan ditempatkan di divisyen berita dan hal ehwal semasa untuk menguruskan tugasan arkib di jabatan tersebut. Usai temuduga, dan aku dijanjikan akan dihubungi semula dalam masa terdekat sekiranya aku berjaya. Aku pulang semula ke Puduraya dan mengambil beg di bahagian simpanan bagasi, kemudiannya menunggu bas ekspres untuk pulang semula ke Kedah. Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap temuduga yang telah aku hadiri itu cuma sekadar berharap dapat segera bekerja untuk membalas jasa mak dan ayah. 

Seminggu kemudiannya, ketika itu aku di Alor Setar, aku dihubungi oleh Ms. Silvia memaklumkan yang aku berjaya dalam temuduga tersebut dan perlu melaporkan diri pada 5 Mei 2004. Alhamdulillah syukur kepada Allah swt akhirnya aku berjaya diterima bekerja. Maka pada 5 Mei 2004 itulah bermulanya kerjaya aku di stesen TV berkenaan dan dalam tempoh tersebut sehingga kini pelbagai suka duka, pahit manis pengalaman telah aku lalui. Kini, menghampiri tahun ke-16 berkhidmat di stesen TV berkenaan, nasib aku sebagai pekerja agak terumbang ambing dan penuh dengan tanda tanya akan nasib diri ekoran keadaan syarikat yang kurang memberangsangkan dari segi perolehan pendapatan sejak tahun - tahun kebelakangan ini dan disebabkan itulah pada hari ini kebanyakan pekerja berstatus kontrak dan segelintir pekerja berstatus tetap menerima surat penamatan tugas yang bakal berkuatkuasa pada 13 Mac 2020. Dan terdengar ura - ura juga khabar angin yang mengatakan bahawa pembuangan pekerja akan diaktifkan sekali lagi pada sekitar bulan Jun tahun hadapan. Bertabahlah, bekerjalah selagi diperlukan... 

Aku akan menulis lagi mengenai pengalaman setahun aku bertugas di divisyen berita dan hal ehwal semasa. Suka duka aku bermula di sini !!