SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

14 Mac 2020

MEMORI PUASA DAN RAYA DI BULAN REJAB 1441 HIJRAH...



Tak silap perkiraan aku, dalam 40 hari lagi akan menjelangnya 1 Ramadan untuk tahun 1441 Hijrah bersamaan 23 April 2020, insyaAllah semoga dipanjangkan umur untuk menjalani ibadah berpuasa sekali lagi. 

Bercakap tentang puasa ini memang tak sah kalau kita tak cakap pasal raya juga, tapi raya kali ini aku akan bekerja di hari raya untuk seminggu raya. Siapa cakap raya sambil bekerja tak best !! Sepanjang 16 tahun bekerja cuti raya kau berselang seli, contohnya tahun lepas cuti maka tahun ini kena kerja. OK TAHUN INI DI TAHUN 2020 AKU KERJA DI HARI RAYA !! Tahun pertama aku bekerja pada tahun 2004 sah - sahlah kena kerja. Tapi sebenarnya, untuk raya tahun 2020 ni aku yang sengaja mintak nak kerja di hari raya, bersebab... entahlah agak peribadi jugak untuk aku ceritakan di sini. Tapi ia semata - mata untuk kepentingan diri aku sendiri, baik aku kerja daripada aku berpenat dan menyeksa diri sendiri untuk orang lain...

Nak cerita pasal raya dulu lah ya. Aku ingat lagi, petang raya tahun 2004 itu aku bergegas balik dari pejabat dalam pukul 5, setiap ramadan office aku dapat pelepasan balik sejam lebih awal, aku terus ke kedai beli apa yang patut untuk dimasak sebagai juadah hari raya. Malam raya aku bertungkus lumus di dapur rumah bujangku memasak rendang menggunakan pes rendang segera disebabkan hanya aku seorang yang tinggal di rumah kerana housemate yang lain dah selamat berada di kampung masing - masing. Tak perlu nak masak banyak - banyak sebab raya kelima aku dah balik kampung dan di pejabat memang akan ada disediakan katering khas untuk staf yang bekerja di hari raya. Pada tahun - tahun yang aku kena kerja di hari raya, kebiasaanya yang aku ingat asal malam raya saja aku akan tidur awal, itupun kalau aku boleh tidur sebab tak mahu nak ingat yang esoknya raya sorang - sorang !!

Kejap, sambil menaip ni aku dengar lagu Airmata Syawal nyanyian Siti Nurhaliza di Youtube, meleleh airmata kot !!

Malam raya tu aku keluar merayap di Kompleks PKNS Shah Alam, saja nak buang masa. Nak tau macam mana keadaan Shah Alam di malam raya tahun 2004 tu?? Lengang !!! Baring tidur tengah jalan pon boleh. Orang semua dah balik kampung dah. Sekadar mundar - mandir di Kompleks PKNS dan akhirnya dah tak tau nak buat apa lagi di situ aku balik ke rumah dengan seplastik balang berisi kuih raya. Esoknya di pagi hari raya aku bersiap nak pergi kerja. Dengan memakai Baju Melayu lengkap bersampin rona coklat, aku merempit ke pejabat. Pada tahun 2004 tu aku ada dua pejabat, jadinya aku raya di kedua - duanya. Di pejabat aku yang terletak di jabatan berita memang tak ada kerja apapun dan lengang, maka adalah lebih baik aku pergi beraya dengan kawan - kawan officemate di Resource Center. Makan - makan, bergambar, malamnya Firdaus staf jabatan berita ajak aku lepak di Ikea Damansara. Aku ingatkan tak adalah orang nak pergi Ikea raya - raya macam tu, rupanya ramai je dan itulah kali pertama aku jejaki Ikea yang tak jauhpun dari pejabat aku, nampak sangat aku ni bukan jenis kaki merayap...

Raya keberapa entah, aku pun tak ingat aku balik ke Kedah dengan flight, secretary di jabatan berita tolong belikan tapi duit aku sendiri lah. Best weh balik raya dengan flight dari KLIA ke airport Kepala Batas Alor Setar. Kejap je sampai, aku check in di KL Sentral, naik komuter dari stesen komuter Padang Jawa jiran sebelah rumah hantarkan. Mula - mula awkward jugak lah sebab tak pernah naik flight di KLIA. Lepas pekena McD aku terus ke balai berlepas dan masuk ke kapal terbang. Dapat seat tengah berjiran dengan suami isteri berbangsa Cina. Setengah jam je dah sampai, arwah ayah aku dah siap tunggu kat airport. Sampai rumah mak menangis depan aku cakap susahnya mak nak bersiap untuk raya dengan ketiadaan aku. Selama ini aku yang jadi tukang segala macam kalau nak raya je akulah mengecat akulah memasak akulah gantung langsir akulah mengemas akulah isi kuih dalam balang kuih segala macamlah tapi kali ini aku kena kerja terpaksalah arwah mak buat semua. Huhu... Apa boleh buat...

Ok sudahlah cakap pasal raya tahun 2004 tu, banyak lagi benda boleh cakap. Tapi raya tahun 2004 tu memang the most memorable la sebab balik raya naik flight haha...Raya tahun 2005 aku cuti, kalau tak silap baju raya aku tahun tu warna pink, kot, kalau tak silap la. Rasanya aku tak beli kot baju melayu aku pakai baju raya tahun 2004 punya, Raya tahun 2005 baru aku pakai baju raya warna pink, tak silap aku beli kat Mydin. Tahun 2006 pun aku cuti raya aku tak tau kenapa aku boleh cuti dua tahun berturut dan tahun 2006 itulah raya terakhir aku dengan arwah ayah. Raya tahun 2007 sampai raya tahun 2014 aku tak boleh nak recall apa jadi sepanjang tahun - tahun tersebut macam lupa terus. Kena refer gambar - gambar raya kemudian. Raya tahun 2014 adalah raya di mana aku bergelar tunangan orang selepas raya. Raya tahun 2015 aku dah berdua sebab dah kawin, tahun pertama aku & isteri beraya bersama kami pakai baju raya warna oren, aku beli di Jalan TAR sebab masa tu bini aku kat kampung dia sibuk meniaga. Raya tahun 2016 aku kerja, aku hantar isteri aku balik kampung dia di Kuala Kangsar. Tahun 2016 itulah raya yang terakhir aku dengan arwah mak, balik raya pon tahun tu lepas seminggu kerja, balik raya macam tak raya je rasa. Arwah mak pon tahun 2016 tu dah tak larat dah. Raya tahun 2017 aku dan isteri dah ada anak, kami balik jugak raya di Gurun disebabkan adik aku tinggal sorang - sorang saja rasa kesian sangat tak sampai hati biar dia raya sorang - sorang. Raya tahun 2018 aku kerja, tak ingat apa kejadian sepanjang raya tahun 2018, tahun 2019 pulak aku dan anak isteri beraya di Kedah dan tahun 2020 ini nampak gayanya aku akan bekerja maka anak isteri aku akan beraya tanpa akulah. 

Kalau nak cakap pasal puasa dan raya ni sebenarnya banyak sangat benda yang boleh diperkatakan. Tapi memori aku sejak dah masuk umur 40 tahun ni dah mula nak slow huhuu... karang kalau format memory kang habis lupa semua kang. Tapi memori puasa memang paling best untuk diingati. Seawal darjah dua aku dah mula puasa, taklah penuh sebulan tu tapi ada usaha dan peningkatan, Puasa yang yok tu tetap ada. Aku jugaklah yang selalu akan pergi ke bazar ramadan belikan kuih muih, masa sekolah dulu kena berbasikal untuk ke pekan Gurun, nak pergi tu tak ada masalah sebab jalan menuruni bukit, nak balik lah azab paling pedih sebab kena berbasikal menaiki bukit oleh kerana rumah aku di kawasan tinggi. Lepas dah ada motor dalam tahun 1997 sebab dah masuk form 6, lega la jugak nak ke bazar ramadan atau nak ke kedai repit je dah sampai dan ada pilihan lain untuk ke bazar ramadan yang sedikit jauh. Kuih muih yang wajib aku beli adalah karipa dan burger Malaysia, memang itu lah dua jenis kuih yang paling kerap aku beli dan tak dapat bantahan daripada sesiapa. Masa itu harga kuih masuk 20 sen sebiji, bawak lima ringgit dah banyak dah kuih boleh beli. Memang itulah yang akan aku hadapi tiap kali bulan puasa, jadi tukang beli kuih muih dan ke kedai beli barang dan memang aku sajalah yang paling dipercayai untuk pergi beli kuih kerana citarasa dan pemilihan kuih aku memenuhi selera semua ahli keluarga aku berbanding adik - adik aku yang amatur pasal beli kuih. Lagipun tak lah setiap hari beli kuih, bangkrap la arwah ayah aku, mak akan top up jugak dengan masakan sendiri. dalah satu kisah ni, masa kami mula - mula berpindah rumah lain dari rumah kampung milik arwah moyang ke rumah milik arwah ayah aku, untuk tahun itu keadaan ekonomi arwah ayah agak tak stabil, maklumlah baru dapat rumah dan sah - sah kena bayar rumah lagi, lauk sardin untuk berbuka dan bersahur tu agak sinonimlah, mungkin arwah ayah dan arwah mak tak perasan tapi aku pada umur 10 tahun ketika itu dah boleh faham keadaan family aku ketika itu.  Untuk tahun itu memang puasa dan raya kami ala kadar sangat.

Bercakap pasal masakan ni, selalunya yang akan sediakan makanan juadah berbuka puasanya ni adakalanya berselang seli antara arwah ayah dan arwah mak. Makanan paling mudah biasanya sandwich sardin, agar-agar, nasi goreng, bihun goreng, mee goreng, mee sanggul goreng, mee rebus, mee kuah, mee bandung, nasi lemak, roti telur goreng, senang cakap makanan jenis yang mudah untuk disiapkan dan tak terlalu mewah. kadang - kadang ia akan diulang buat agak kerap, mujurlah kami adik beradik jenis tak cerewet pasal makan, asal buat saja mesti habis. Ada masanya tak habis jugak. Lepas aku dah pandai nak buat sandwich sardin sendiri arwah mak harapkan aku saja yang buat, arwah mak fokus kepada nak masak lauk untuk bersahur. Tapi pada aku menu yang menjadi favourite aku sampai bila - bila semestinya mee sanggul goreng yang arwah ayah aku masak. Sekali masak empat bungkus kot confirm habis. Paket mee sanggul zaman dulu banyak isinya berbanding sekarang kalau masak untuk 4 orang makan kena ada 5 ke 6 bungkus baru la kenyang makan, isteri aku pulak bukan peminat mee sanggul, jadinya kalau aku yang masak aku lah yang kena habiskan huhuu...

Menjelang raya arwah mak aku akan mula sibuk buat biskut raya, kadang - kadang balik dari sekolah dari luar rumah dah boleh hidu keharuman biskut raya yang mak aku tengah masak dalam oven nak - nak biskut kelapa dan beberapa jenis biskut yang lain yang wajib ada kalau raya, tapi sekarang dah tak dapatlah nak rasa lagi, arwah mak pun dah tak ada, dan aku tak ada bakat nak buat biskut raya sesedap hasil tangan arwah mak kecuali aku boleh masak rendang yang rasanya memang tak lari daripada resipi arwah mak. Tapi aku ada bakat dekat menghias rumah sempena nak sambut raya, luar dalam lah aku akan kemas ganti itu ini segala bagai, aku akan rasa satu kepuasan yang tak terhingga bila tengok rumah kemas lain macam tiap kali raya walaupun tak bertukar apa - apa yang baru. Akukan tak ada adik - beradik perempuan, bila arwah mak tahu aku boleh diharap, arwah mak serah pada aku saja urusan mengemas rumah untuk menyambut raya. Maka akulah orang paling sibuk dalam dunia pada sehari sebelum raya untuk mengemas rumah sampai adik beradik lain takut nak buat sepah. 

Bercakap pasal shopping raya, paling aku ingat sekali kami satu family keluar shopping barang keperluan raya di Alor Setar lepas berbuka puasa, hari tu kami berbuka puasa di rumah arwah tok di Alor Merah, malangnya bila nak balik lepas shopping, kereta arwah ayah tak boleh hidup. Jadi, kami satu family balik ke rumah arwah tok naik bas, aku ingat lagi arwah tok macam marah dan membebel dekat arwah ayah. Selepas kejadian itu dah tak ada dah kami satu family keluar shopping di malam hari. Dan satu lagi yang aku paling ingat kami keluar shopping untuk raya masa tu raya cina bakal disambut sehari ke dua hari sebelum aidilfitri, memang sibuk sangat Alor Setar masa tu. Kami adik beradik tak cerewet sangat pasal pakaian raya, selalunya main beli di kedai - kedai biasa saja tak pernahlah nak merasa pakai pakaian berjenama asal ada sudah cukup bagi kami kecuali abang aku lah yang dah tau nak bergaya. Pernah sekali di tahun 2000 kalau aku tak silap, kan kita sambut raya dua kali setahun, awal dan hujung tahun, awal tahun tu bulan Januari 2000 di mana puasanya bulan 12 tahun 1999 dan raya di bulan Disember 2000 di mana puasanya bulan November 2000, masa raya yang kali kedua tu aku di semester dua di UiTM, masak jugaklah puasa di kampus tapi nasib baiklah masa tu stay di Kolej Perindu, makan minum untuk berbuka dan sahur disediakan di kafeteria kolej. Lepas dah mula menyewa di luar kampus pandai - pandailah sendiri tapau makanan untuk berbuka dan bersahur.

Aku kan masa kecik - kecik di Kedah, jadi waktu berbuka puasa tu memang paling lewat lah di antara negeri - negeri lain. Selalunya dalam 7.30 petang waktu kebiasaannya, waktu berbuka puasa paling lewat dalam 7.40 petang, dan paling awal pernah lah merasa dalam pukul 7.05 petang. Memang penantian satu penyeksaan lah bila dengar di tv atau radio azan berkumandang untuk kawasan wilayah persekutuan dulu. Pernah juga aku berbuka puasa seorang diri di tepi kedai runcit semasa buat kerja part time di Gurun, pernah juga berbuka puasa ketika sedang memandu ke rumah mertua di Kuala Kangsar sebab masa azan maghrib berkumandang di radio tak ada tempat yang sesuai untuk berhenti di tepi lebuhraya. Kalau bersahur pulak selalunya sekitar pukul 5 pagi, jaranglah aku skip sahur, nak makan masa sahur tu pun satu azab jugak, nak - nak arwah ayah selalulah cakap suruh kami adik beradik tambah nasik, nak makan yang ada dalam pinggan tu satu penyeksaan nak habis apatah lagi nak menambah. Kami adik beradik kalau nak kasi selera makan masa sahur kena ada telur goreng panas - panas baru jalan.

Masa kecik - kecik dulu program tv yang aku suka nak tengok seperti Rumah Kedai, drama - drama sekitar pukul 4 petang siaran di TV1 RTM dan rancangan masakan yang selalunya bersiaran lewat pagi dan tengah hari. Kemudiannya bila aku dah bekerja kadang - kadang boleh saja layan apa saja program tv untuk siaran bulan ramadan sebabnya aku kan bekerja di stesen tv. Drama Diari Ramadan Rafique, Abang! Mak Panggil Balik, adalah antara drama bertemakan puasa dan raya yang paling aku layan. Dulu - dulu kami tak ada VCR player ke VCD player ke untuk menonton apa - apa filem, dalam tahun 1997 macam tu lah baru ada VCR player dan kemudiannya VCD player, apa lagi... lejun segala vcd lanun cerita yang ada yang dibeli dekat pasar malam ! 

Kad raya !! Zaman sekolah dulu aku layan jugak kad - kad raya ni, tapi paling latest aku hantar kad raya ni dua tahun lepas kot, tahun lepas langsung aku tak sentuh kad raya, sampul duit raya banyak lah dapat tapi fulus nak isi dalamnya lah tak berapa nak besar hahaha !! Tapi tahun ni aku plan nak hantar kad raya special pada isteri aku, masa belum kahwin kemain hantar kad raya lepas kahwin langsung lupa huhu...

Lagu raya !! Ini wajib !! Aku paling suka lagu raya lama berbanding lagu baru, tapi lagu raya Siti Nurhaliza dan artis lain seperti Hael Husaini, Fairuz Misran best juga sebab lagu raya yang berkualiti. Ini sambil menaip ni aku dengar lagu raya tau, saja nak seru mood raya padahal puasa lagi 40 hari kot !

Menu raya ! Kebiasaanya arwah mak akan sediakan bihun sup untuk juadah tetamu di hari raya, senang nak buat dan nak kemas, lagipun orang datang ke rumah bukan nak makan sangat nak - nak budak - budak yang lebih kepada nak mengutip duit raya. Sehari sebelum raya kebiasaanya tugas akulah menghiris daging ayam dan daging lembut untuk dibuat kurma dan rendang. Jarang adik beradik aku yang lain akan buat sebab arwah mak lebih mengharapkan aku untuk menolong walaupun tak disuruh. Lepas sahur hari terakhir puasa tu memang tak tidur dah sebab dah pasti banyak gila kerja nak buat. Ketupat rendang kekadang masak awal ada kalanya malam raya baru masak lauk takut basi kan. Ketupat nasi tu selalunya rebus yang pek segera, ketupat daun palas saja yang selalu ditempah, arwah ayah pun masa dia ada dialah yang rajin buat dan aku tukang rebus. Lepas arwah ayah dah malas nak buat, arwah mak order saja dengan kenalannya. Masa dulu kami memang tak kenal lemang dan tak pernah makan lemang, sebelah utara kan tak ramai yang buat lemang, paling banyak ketupat daun palas dengan ketupat nasi. Dah tu ketupat daun palas ni ada banyak variasi, ada yang berjagung ada yang berkacang ada yang pulut semata - mata. Rendang apatah lagi, pada pemikiran aku masa kecik dulu rendang masakan arwah mak lah paling sedap dalam dunia tak ada orang lain boleh lawan, tapi bila pergi beraya di rumah orang lain dan dapat rasa macam - macam jenis rendang memang lupalah fakta yang dah terpahat dalam fikiran aku tu tapi bila arwah mak dah tak ada ni rasa rendang yang arwah buat tetap boleh ingat macam boleh dirasa dekat lidah. Untung lah siapa yang masih ada emak ermmm...

Malam raya memang best, dapat dengar takbir raya sambil kalut buat kerja. Ada sekali tu tahun bila aku tak ingat, malam raya tu jatuh pada hari ke-29 puasa, memang kelam kabutlah nak buat persiapan, mana nak masaknya mana nak mengemas lagi tapi memang best buat kerja last minute nak - nak bila memikirkan esoknya nak raya.

Kebiasannya di hari raya, kami sambut raya sesama kami sahaja, tak kemana - mana sangat kecuali masa kami adik beradik kecil dulu arwah ayah dan arwah mak selalu bawa beraya dengan saudara - mara sebelah arwah ayah di Alor Setar, maka berayalah kami dengan jiran tetangga, saudara mara sahabat handai dan sesiapa saja yang datang ke rumah. Tahun - tahun lewat 80-an dan 90-an duit raya taklah sebanyak sekarang, dapat 20 sen pon dah ok sangat apatah lagi kalau dapat seringgit, kalau dah dikira semua hasil kutipan mencecah RM 100 dah rasa kaya raya sangat lah. Pengalaman aku bila aku dan adik aku dapat sama banyak duit raya tapi yang membezakannya jenis duit tu sama ada duit kertas atau syiling, masa tu aku kecik lagi tak faham nak bezakan nilai duit syiling dan duit kertas, pada aku nilai duit kertas tu lebih besar daripada duit syiling walaupun kedua - dua duit kertas dan syiling tu punyai nilai yang sama, contohnya sehelai duit seringgit kertas dengan dua keping syiling 50 sen, jenuh arwah ayah nak buat aku faham, huhu...

Banyak lagi kisah pasal puasa dan raya dari pengalaman aku untuk diceritakan, tapi ada yang dah lupa dan ada yang rasa tak elok untuk aku ceritakan di sini.  Dan sekarang, aku dah ada anak sendiri, apa yang aku harapkan dapat tengok anak aku gembira di hari raya walaupun tahun ni aku bakal tak beraya dengan anak isteri aku. Untuk diri aku sendiri bila dah masuk umur 40-an ini cukuplah melihat orang lain gembira di hari raya yang datang setahun sekali. Awal sangatlah aku buat entri pasal puasa+raya ni, kot ada masa aku edit dan tokok tambah lagi apa yang patut, yeeayyy dah nak puasa bulan depan !!!!

Ya Allah, ku mohon pada Mu panjangkanlah usiaku dan berikan kesihatan kepadaku untuk aku menempuhi bulan ramadan akan datang...

Aamiin...



1 ulasan:

Asrul "iLham" Sany berkata...

Ramadhan tahun ni sgt2 mencabar