SELAMAT DATANG...

Semua paparan di dalam blog ini adalah berdasarkan maklumat daripada pelayaran di enjin pencarian dan kebanyakannya adalah penulisan sendiri yang bersifat peribadi. Paparan berbentuk gambar ataupun video yang ada di blog ini adalah dari pelbagai sumber lain dan hak cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber lain tersebut. Jika ada paparan yang melibatkan artikel, gambar ataupun video yang merupakan hak cipta anda ataupun tidak diizinkan untuk disiarkan di dalam blog ini, mohon dimaklumkan kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Anda dialu-alukan untuk memberi komen dengan bahasa yang sopan dan menjauhi isu-isu berbaur negatif. Terima kasih...

12 Jun 2021

RANTAI MOTORKU PUTUS & BANTUAN PEMUDA MERU YANG BUDIMAN

 



Khamis, 10 Jun yang lalu, seperti biasa aku akan pulang selepas bekerja sekitar jam 6 petang. Aku berjalan menuju ke arah motorsikal jenama Honda Wave 110 dengan perasaan penat dan malas. Kunci motor aku hidupkan, dan aku menekan punat stater motorsikal sambil memulas perlahan throttle lalu menderu keluar dari basement Sri Pentas menuju ke arah jalan raya. 

Aku sedari yang rantai motorsikal aku agak ketara longgarnya tetapi aku meneruskan sahaja perjalanan sambil berfikir akan berhenti di tempat yang sesuai untuk meletakkan minyak pelincir pada rantai motorsikal. Tetapi petrol motorsikal perlu aku isikan terlebih dahulu dan aku menunggang motorsikal ke arah BHP Petrol di Kayu Ara tetapi perlu melalui jejantas. Dengan sedikit kepayahan motorsikal aku terus bergerak melalui jejantas tersebut, malangnya stesen minyak berkenaan tutup dan aku perlu sekali lagi melalui jejantas yang sama untuk menyeberangi jalan menuju ke stesen minyak Petron di seberang jalan. 

Usai mengisi bahan bakar untuk motorsikalku, aku menaiki semula jejantas dengan rasa berat kerana rantai motorsikal terlalu kendur. Motorsikal aku dipintas oleh motorsikal yang dinaiki dua pemuda India tanpa memakai topi keledar dan pelitup mulut yang seakan tidak sabar - sabar dan terburu - buru untuk memintas motorsikalku kerana aku bergerak agak perlahan ketika bergerak menaiki jejantas berkenaan. 

Menuruni jejantas itu, aku terus meluncur perlahan menuju ke arah lebuhraya NKVE. Memikirkan yang aku perlu meletakkan minyak pelincir pada rantai aku mengambil keputusan untuk berhenti di pondok berteduh untuk penunggang motorsikal yang terletak di tepi lebuhraya NKVE dan terus mencapai botol minyak pelincir yang tersimpan di dalam kotak motorsikalku. Setelah selesai tugasku itu aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah sambil melayani perasaan. 

Sepanjang perjalanan sehingga ke Setia Alam motor aku bergerak seperti tiada apa - apa masalah, seperti rantai motorsikal aku itu tidak kendur sama sekali. Setibanya di bawah flyover untuk menuju ke arah Meru berhampiran dengan Giant Klang Sentral, sambil aku mengekori di belakang sebuah kereta putih yang bergerak agak perlahan, tiba - tiba aku berasa motorsikal aku seakan bergegar diikuti dengan bunyi seakan rantai motorsikal yang putus dan perjalanan aku terhenti betul - betul di tepi jalan di bawah flyover berkenaan. 

Masya Allah !! Rantai motorsikal aku putus !! Seperti apa yang pernah aku sering risaukan akhirnya ia berlaku. Mujur juga kejadian berlaku di Meru dan bukan di lebuhraya NKVE tadi yang mungkin akan menyukarkan lagi keadaan. 

Terkedu aku seketika sambil menjenguk ke bawah motorsikal dan ternyata benar apa yang aku jangkakan di mana rantai motorsikal aku terputus dan menyebabkan kesukaran untuk aku menolak motorsikal tersebut. Jika ia tidak tersekat aku masih boleh menolak motorsikal berkenaan dengan perlahan menuju ke bengkel motorsikal kira - kira dua kilometer lebih di hadapan sana. Tetapi semakin tidak bertenaga setelah cuba untuk menarik rantai berkenaan dan dalam masa yang sama aku masih memakai pelitup mulut. Sesak nafas jadinya tetapi aku tetap perlu memakainya kerana khuatir dengan kehadiran pihak berkuasa di sekitar kawasan itu. 

Aku mencangkung di tepi motorsikal, termenung, kelu, rasa marah, rasa lelah sambil terus cuba untuk menarik rantai motorsikal itu. keadaan ketika itu semakin menginjak ke senja dan aku merintih di dalam hati dengan bertanya akan adakah sesiapa yang boleh membantu aku ketika itu. Tiba - tiba ada seorang penghantar makanan Foodpanda yang menoleh pandangannya ke arahku dan dia berhenti bertanyakan apa yang telah berlaku. Aku menjawab pertanyaannya dalam keadaan nafas yang pendek dan dia bergerak ke arah hadapan untuk meletakkan motorsikalnya dan kembali kepadaku tidak lama kemudian. Sejurus selepas itu ada lagi beberapa buah motorsikal yang ditunggangi oleh penghantar makanan daripada beberapa syarikat berbeza iaitu McDelivery dan Domino Pizza turut berhenti dan tanpa perlu aku meminta pertolongan daripada mereka, dengan segera pula mereka cuba membantu sambil mengeluarkan peralatan yang mereka miliki. Seorang lagi penunggang motorsikal turut berhenti dan sama - sama menghulurkan bantuan. 

Ya Allah !! Kau benar - benar menghantar bantuan untukku di kala aku telah lelah dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan... 

Akhirnya mereka berjaya melonggarkan rantai yang menyebabkan motorsikal aku itu tersekat dan mereka menawarkan bantuan untuk menolak motorsikal aku atau dalam kata lain 'towing' ke bengkel motorsikal yang terdekat. Seorang pemuda yang berbaju merah tadi menawarkan bantuan untuk 'towing' motorsikalku setelah yang lain - lain terpaksa berlalu pergi mungkin kerana perlu mengambil atau menghantar pesanan. Secara perlahan - lahan pemuda itu menolak motorsikal aku dari tepi, dan setibanya ke bengkel motorsikal, malangnya aku dapati ia sudah ditutup dan aku meminta untuk dia terus menolak motorsikalku sehingga ke rumah sahaja. 

Melepasi lampu isyarat simpang tiga Jalan Salleh, pemuda Foodpanda pula menggantikan pemuda berbaju merah tadi menolak motorsikalku sehinggalah selamat tiba di hadapan rumah. Aku tidak berkesempatan langsung untuk mengambil gambar dan berkenalan dengan mereka kerana kejadian berkenaan berlangsung dengan sangat pantas. Aku sempat mengucapkan terima kasih dan mengangkat tangan tanda menghargai bantuan dan budi mereka yang sangat tidak ternilai. 

Aku tiba di rumah dengan rasa yang teramat lega namun masih terkesan dengan apa yang terlah berlaku terhadap motorsikalku itu. Masuk ke rumah, aku tunjukkan kedua - dua belah tanganku yang hitam dek minyak daripada rantai motorsikalku itu ke arah isteriku sambil bercerita apa yang telah berlaku. Aku tidak putus - putus mengucapkan rasa syukur kepada Allah swt sambil menghargai jasa dan bantuan pemuda - pemuda itu. 

Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar memudahkan segala urusan pemuda - pemuda yang telah bersusah payah membantu aku yang dalam kesusahan, aku mohon padaMu agar mereka diberikan kesihatan yang berkekalan dan aku memohon agar mereka sentiasa dikurniakan rezeki yang tidak putus - putus kerana jasa mereka itu. Aamiin Ya Robbal Alamin...


UPDATE TERBAHARU !!

Malam selepas kejadian, aku memuatnaik satu ucapan penghargaan kepada mereka yang membantu aku di media sosial Facebook iaitu di Meru Resident Official dan ramai memberikan respon. Aku berharap ucapan tersebut disedari oleh insan - insan yang sudi membantu aku. Semoga lebih ramai lagi akan saling bantu - membantu di antara satu sama lain dan ia tidak hanya terhenti setakat aku sahaja. 



Keesokan harinya aku cuba untuk membaiki sendiri kerosakan yang berlaku tetapi aku tidak punya peralatan yang mencukupi, aku terpaksa membeli alatan yang diperlukan di kedai 2 Ringgit tetapi ia tidak banyak membantu kerana aku tidak memiliki alat untuk memotong rantai motorsikal. Mahu tidak mahu aku terpaksa menolak motorsikalku ke bengkel yang berhampiran supaya rantai motorsikal yang baharu saja aku beli awal pagi dapat dipotong sedikit dan dipasangkan pada motorsikalku itu. 

Ternyata penduduk Meru amat prihatin dan baik hati, sepanjang hampir dua kilometer aku menolak motorsikal aku, ada dua penunggang motorsikal yang berhenti dan bertanyakan jika aku memerlukan bantuan. Aku menghargai niat baik mereka tetapi aku mengatakan bengkel yang aku tujui sudah semakin hampir dan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan mereka walaupun dalam hati berasa ralat sekiranya mereka terasa hati kerana aku menolak pelawaan mereka untuk membantuku. 


Akhirnya 'kudaku' dapat kembali beraksi gagah di jalanan membawaku ke mana - mana sahaja destinasi. KUDAKU LARI GAGAH BERANI !! 



1 ulasan:

bukankosong berkata...

org yg baik, jgn risau Allah bantu

Alhamdulillah ramai lg pemuda2 kita yg berhati mulia

syukur